suria

Mak ayah ‘berbunyi’ anak banyak pakai duit sejak masuk IPT, siswa mula tawar hati... Buntu fikir RM500 sebulan besar atau kecil

Kesulitan yang dihadapi pelajar di institut pengajian tinggi boleh membuatkan kita insaf. -Gambar hiasan.

PERJALANAN untuk menggenggam segulung ijazah memerlukan banyak pengorbanan terutamanya daripada sudut kewangan.

Ini kerana tidak semua insan di muka bumi ini dilahirkan dalam keluarga senang tanpa perlu terlalu bersusah payah mencari wang untuk kegunaan kos pendidikan.

Begitulah luahan seorang pelajar perempuan ini mengenai kekangan kewangan di institut pengajian tinggi (IPT) yang membuatkan dia runsing.

Luahan di laman TikTok.

Kisah yang dikongsikan melalui video tular di TikTok itu bermula apabila adik kepada pelajar tersebut memberitahu bahawa ibu bapa di rumah sedang bergelut untuk membiayai keperluan pengajiannya.

"Aku ada soalan, semalam aku ada video call dengan adik aku. Aku tanya dia semua okay ke dekat rumah.

"Dan dia jawab yang mama dan abah cakap aku banyak pakai duit sejak masuk degree," kata pelajar itu yang sekarang sedang berada dalam semester pertama pengajiannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pukul 5 pagi cikgu nampak bilik ‘prep’ asrama menyala, ada seorang pelajar... MasyaAllah rupanya tengah ‘me time’ baca al-Quran

ARTIKEL BERKAITAN: Kejadian aneh di surau terjawab, rupanya ‘kerja’ pelajar Cina istimewa! Diam-diam susun kasut guru, rakan tengah solat

Gelisah kerana mendengar perkahabaran kurang enak dari rumah, pelajar itu membuat congakan ringkas tentang jumlah perbelanjaan yang diperlukan bagi menampung pengajiannya.

"RM500 untuk pelajar degree sebulan cukup tak? RM500 untuk makan, minum, barang keperluan dan beberapa hal di universiti yang aku kena bayar.

"Atau aku yang tak pandai berjimat sebenarnya," getus pelajar itu bersendirian sambil mengenang nasib hidupnya.

Aku pun teringin buat degree, tapi berhenti sampai diploma je sebab fikir adik-adik lebih berhak sambung belajar.

NETIZEN

Meskipun persoalan tersebut bermain di fikiran, pelajar itu mengatakan dia sudah berikhtiar untuk bersederhana dalam perbelanjaannya dan dia seperti mati akal mengapa masih tersepit dalam situasi sebegitu.

"Tapi aku dah serius cuba untuk berjimat. Siapa-siapa ada cadangan lain tentang cara yang lebih baik untuk aku berjimat?

"Aku pun ada cari kerja sambilan tapi kawasan aku ni tak banyak kerja part-time untuk student," kata pelajar itu dalam kebuntuan.

Melanjutkan pelajaran ke menara gading pastinya disulami dengan ujian dan cabaran. -Gambar hiasan

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya memahami situasi yang dihadapi pelajar tersebut dan mengambil peluang untuk menyingkap pengalaman pahit mereka sendiri.

"Ini la salah satu sebab mengapa aku ketepikan impian degree aku. Aku tak nak keluarga bergolok-bergadai lagi. Sekarang aku pula kerja demi balas jasa mereka.

"Aku pun teringin sangat nak sambung degree, tapi aku berhenti sampai diploma je sebab fikir adik-adik aku lebih berhak untuk sambung belajar.

"Aku sanggup lepaskan hasrat nak sambung degree sebab aku nak tengok adik aku berjaya dan dapat apa yang dia nak," kata sebahagian warga maya.

Beberapa warga maya lain turut menceritakan bagaimana mereka mencatu dalam perbelanjaan ketika masih bergelar seorang pelajar.

"Untuk saya sebagai seorang pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), makan sehari kena bawah RM6 dan malam memang bantai makan mi segera sahaja. Maksudnya untuk sebulan, saya belanja makan RM180 je.

Perkongsian sebahagian warga maya.

"Entah la. Dulu aku RM250 sebulan. Itu la buat makan, have fun apa semua pakai duit itu je. Tapi tak pernah minta lebih sebab tahu abah pun susah.

"Saya RM200. Buat kerja sambilan. Apabila kawan ajak lepak, sebulan sekali je keluar. Ada keinginan tapi lebih dahulukan keperluan. Saya pun tahu kemampuan orang tua saya macam mana.

"Sama la aku buat kerja part-time, itu pun kalau ada event dekat hotel dan dapat duit bulanan RM150 je, tambah lagi harga barang sekarang mahal," kongsi netizen mengenai asam garam kehidupan mereka.

Ada juga warga maya yang sempat memberikan nasihat dengan mengatakan pihak institut pengajian tinggi ada menyediakan tajaan dan bantuan untuk pelajar kurang berkemampuan.

"Cuba pergi dekat unit bendahari di universiti. Tanya untuk bahagian scholarship dan kalau ada sebarang bantuan yang disediakan pihak universiti. Kadang-kadang ada tapi pelajar yang tak tahu.

"Dekat kafeteria dalam kampus pun biasanya ada lot kedai yang disediakan untuk pelajar, boleh berniaga kecil-kecilan untuk buat duit poket dan pendapatan sampingan," kata warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain