suria

Abang Grab dapat durian runtuh! Pelanggan pemurah bagi tip RM500 tunai... Memang rezeki kumpul duit kahwin

Penghantar makanan ini mendapat hadiah lumayan sehingga tersenyum lebar.

TUAH ayam nampak di kaki, tuah di badan siapa yang tahu.

Kata pujangga di atas sesuai untuk menggambarkan bahawa rezeki boleh datang tanpa disangka-sangka.

Begitulah kisahnya untuk pasangan penghantar makanan ini yang mendapat 'durian runtuh' berupa wang tunai RM500 daripada seorang pelanggan berhati mulia.

Perkongsian asal di TikTok.

Pelanggan yang dikenali sebagai Pinn Yang itu merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), KL Foodie.

Melalui video yang dimuat naik di TikTok, penghantar makanan tersebut diminta untuk memilih daripada dua helaian kertas yang tertera tawaran hadiah nilai RM100 dan RM500.

Permainan sebegitu pada mulanya menjadi ikutan terkini di aplikasi TikTok dalam kalangan pasangan romantis di mana segala pilihan yang diambil harus diikuti dan dipenuhi.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Sakit-sakit pun nak selesaikan ‘order’ dulu... Rider terlibat kemalangan dipuji amanah, siap panggil adik tolong sambung kerja

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Motor ‘panas’ hadiah arwah bapa kena curi, pemuda terkilan sampai hilang selera... Tak sangka Ebit Lew gantikan Yamaha 125ZR

Pinn Yang pada mulanya ragu-ragu sama ada pasangan penghantar makanan itu mengikuti trend tersebut lalu bertanyakan dahulu untuk melihat reaksi mereka.

"Abang ada main TikTok ke? Pernah tengok ini ke?" soal Pinn Yang sambil menunjukkan helaian kertas yang sudah disediakannya.

Lelaki yang menjadi penunggang motosikal itu kemudiannya mengiyakan dan Pinn Yang lantas meminta dia untuk mengambil satu daripada dua helaian kertas tersebut.

Nampak abang ni memang betul-betul ikhlas nak bagi RM500 sebab dia suruh pilih kali kedua supaya rider tu kena 'jackpot'.

NETIZEN

Pada pilihan pertama, lelaki itu mahu menarik keluar helaian kertas dengan nilai RM100 tetapi Pinn Yang meminta lelaki itu untuk memilih semula.

Berkemungkinan kurang yakin dengan dirinya, lelaki itu meminta teman wanitanya yang sedang membonceng di belakang untuk membuat pilihan.

"Ambil je, ambil yang the best one," kata Pinn Yang.

Wanita itu membuat pilihan tepat pada sasarannya dan menarik keluar helaian kertas yang tertulis nilai RM500.

Dapat dilihat riak wajah mereka yang terkasima apabila helaian kertas itu dipusingkan dan terpampang jumlah nilai wang yang akan diterima.

"Uishhhh," demikian perkataan yang terpacul keluar dari mulut kedua-dua penghantar makanan itu.

Sebahagian komen warga maya.

Lelaki itu kemudiannya turun dari motosikal untuk memberikan Pinn Yang pesanannya dan mereka sempat berbual kosong di kesempatan itu.

"Saya buat Grab ni full-time, nak kahwin dah, kerja ini untuk kumpul duit kahwin," kata lelaki itu menjawab soalan Pinn Yang sambil memperkenalkan dirinya sebagai Danish.

Pinn Yang seterusnya menyerahkan wang tunai berjumlah RM500 kepada Danish dan ucapan terima kasih tidak lekang dari mulutnya kerana gembira tidak terkata.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya terharu dengan sumbangan yang diberikan oleh Pinn Yang.

"Abang ni baik, niat dia memang nak bagi RM500 sebab tu masa budak lelaki tu pilih RM100 abang ni tarik lagi. Sebab nak suruh pilih betul-betul. Semoga abang dimurahkan rezeki.

"Nampak abang ni memang betul-betul ikhlas nak bagi RM500 sebab dia suruh pilih kali kedua supaya rider tu kena 'jackpot'.

"Terima kasih banyak abang semoga dimurahkan rezeki," ujar sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain