suria

Luka kanser pecah sebab bomoh, wanita enggan ke hospital... sanggup menggigil tahan sakit berpaut pada tiang

Pesakit enggan ke hospital kerana tiada sesiapa yang mampu menjaga dua anaknya.

SEORANG wanita terpaksa menanggung kesakitan yang teramat apabila luka kanser payudaranya pecah dan tidak segera mendapatkan rawatan lanjut di hospital.

Kisah mengenai Norizan Abu Seman dari Pendang, Kedah, diceritakan oleh aktivis, Zuraini Kamal yang hadir ke kediamannya untuk menghulurkan bantuan, Rabu.

Menurut Zuraini, pesakit kanser payudara tahap empat itu enggan meneruskan rawatan di hospital kerana risau tiada sesiapa boleh menjaga dua anaknya yang berusia lima dan 11 tahun.

zuraini1

Zuraini hadir ke kediaman pesakit itu untuk menyalurkan bantuan.

"Suami pesakit yang hubungi saya, nak minta bantuan kewangan. Saya tak tahu dia orang susah. Suami dia tunjukkan gambar payudara isterinya yang pecah. Jadi saya hadir ke kediaman mereka pada Rabu untuk sampaikan bantuan dari segi barang dapur dan wang tunai.

"Masalah pesakit ini ialah dia enggan ke hospital sebab dia kata tak ada sesiapa nak jaga anak-anak yang masih kecil.

"Hospital tak boleh buat apa sebab kanser dah pecah, sebab boleh bleed to death. Pesakit kata doktor ada bagi ubat tahan sakit. Dia dapat morfin tapi tak nak makan sebab muntah. Jadi saya kata kepada pesakit, dia kenalah mengadu pada doktor untuk tukar ubat," ujar Zuraini.

Bayangkan jari luka pun dah sakit. Ini sampai berlubang, dia mengerang sakit, sampai merangkak dan pegang tiang.

ZURAINI KAMAL

Menurut aktivis itu lagi, pesakit juga pernah menjalani rawatan kemoterapi, namun tidak meneruskan sesi berkenaan selepas 10 kali atas alasan anak-anak.

Dalam kunjungan itu, Zuraini bukan sahaja hadir untuk menyampaikan sumbangan, sebaliknya turut memujuk wanita itu untuk ke hospital memandangkan luka pada bahagian payudaranya semakin teruk berpunca daripada rawatan bomoh.

"Dia pernah dirawat di hospital sebelum ini. Dah 10 kali jalani kemoterapi tapi tak nak sambung. Dia kata payah nak tinggal anak. Ini kes paling teruk saya pernah jumpa.

ARTIKEL BERKAITAN: Berakhir sudah derita kanser, wanita setia di sisi sahabat hingga nafas terakhir - “Kak Long ucap I love you untuk Kay”

ARTIKEL BERKAITAN: Sahabat baik pesakit kanser mula hidup baharu, tukar nama akaun TikTok - “Saya hormati keputusan keluarga Kak Long”

"Saya kata kepadanya, bayangkan jari luka pun dah sakit. Ini sampai berlubang, dia mengerang sakit, sampai merangkak dan pegang tiang. Saya kata, awak duduk macam ni nak ibadah pun susah.

"Benda ni tak boleh rawat, dia kena jalani kemoterapi. Saya juga cakap kepada dia, kalau pergi hospital ada ubat tahan sakit. Walaupun tetap sakit, tapi ia boleh mengurangkan sakit. Lepas tu dia kata tak mahu morfin, saya kata ada banyak lagi kaedah lain.

"Akhirnya kami hantar juga dia ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada Rabu. Dia masuk zon merah sebab keadaan sangat serius. Kemudian malam tadi (Khamis) dia dipindahkan ke zon kuning rendah. Hari ini (Jumaat) dia dah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut dengan pakar kanser," ujar Zuraini.

kanser32

Selepas dpijuk, pesakit akhirnya dibawa ke hospital Rabu lalu.

Menurut Zuraini yang juga pejuang kanser, dia sedih kerana pesakit itu terpedaya dengan cadangan individu tertentu yang memintanya mendapatkan rawatan alternatif daripada pengamal perubatan kampung.

"Saya sebagai pesakit kanser, bila tengok dia rasa sedih dengan masyarakat yang mudah tertipu dengan perawat palsu, perawat alternatif. Saya marah yang recommend bomoh. Ada orang recommend bomoh kepada pesakit ni, dia terpedaya tapi makin teruk jadinya.

"Saya sendiri sebagai pesakit kanser, saya boleh jadi testimoni. Saya dah lalui rawatan. Memang teruk tapi kita kena lalui proses ini untuk sihat. Pesakit ini menangis tak nak tinggal anak.

"Saya kata, kalau awak tak sihat, macam mana nak jaga anak. Dia duduk fikir tentang anak," ujar Zuraini yang telah sembuh daripada kanser dinding rahim sejak 11 tahun lalu.

kanser5

Pesakit kini dirujuk ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan seterusnya.

Akhir bicara, Zuraini sekali lagi berpesan kepada pejuang kanser di luar sana agar tidak terpedaya dengan rawatan mengarut dan menggesa mereka agar merujuk kepada pihak yang pakar.

"Kepada pesakit kanser, kita kena sertai kumpulan sokongan. Menerusi kumpulan ini, kita sama-sama berkongsi apa yang dilalui. Perjuangan ini panjang dan meletihkan dari segi mental, fizikal dan kewangan.

"Tapi apabila kita jumpa rakan yang senasib, kita dapat tahu bahawa ini proses yang normal sebab orang lain pun lalui benda sama. Kalau orang lain boleh berjaya sihat, kita pun boleh.

"Saya harap masyarakat berhenti memberi nasihat yang salah dan jangan ganggu rawatan pesakit kanser," ujar aktivis itu lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain