suria

Perantau disuruh balik kampung hanya untuk dibuang keluarga! Kini tinggal di stor, adik-beradik potong bekalan air, elektrik

Seorang lelaki disisihkan oleh seluruh keluarga hanya kerana bergaduh dengan adik beradik. -Gambar hiasan

HUBUNGAN antara adik-beradik umpama 'air yang dicincang tak akan putus' kerana pertalian yang terjalin mustahil dapat diputuskan walau berlaku pertelingkahan.

Masalah pergaduhan dalam keluarga pula sudah menjadi kebiasaan terutamanya yang mempunyai bilangan anak atau adik-beradik yang ramai.

Bagaimanapun, masalah ini jika tidak diselesaikan dengan cara betul boleh melarat menjadi satu isu besar.

Begitulah kisah yang dikongsi oleh seorang pengguna TikTok yang dahulunya menjadi perantau mencari rezeki di negeri orang, tetapi diminta pulang ke kampung untuk menemani ibu yang keseorangan di rumah oleh adik-beradik lain.

Selepas pulang ke kampung halaman, lelaki itu disisihkan pula oleh ahli keluarganya gara-gara perselisihan faham dengan adik-beradik sehingga dia terpaksa tinggal di stor yang dibina oleh arwah bapanya.

Terpaksa tinggal di stor yang dibina arwah bapa.

"Dulu aku tak nak balik kampung. Tapi adik-beradik panggil balik sebab mak sunyi dan tak ada orang nak jaga kalau dia sakit atau demam. Bila balik lain pula yang jadinya.

"Kerana ada selisih faham dengan adik, habis semua adik-beradik buang aku. Elektrik dan air kongsi dengan stor arwah abah buat. Aku tinggal di stor tu, tapi mereka semua potong bekalan elektrik dan air," luahnya.

Dia menulis luahannya itu bersama video dalam suasana gelap, hanya menampakkan cahaya lilin, dipercayai stor tempat tinggalnya sekarang.

Menurutnya, dia tidak mempunyai wang untuk mendapatkan kemudahan asas itu dan lebih parah lagi apabila dia juga baru melakukan pembedahan pintasan jantung (bypass) setahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sesama adik-beradik harus mendoakan, cakap yang baik-baik... Bukan bergaduh sampai ‘left group’

ARTIKEL BERKAITAN: Berlari peluk kembar! Kakak turun pelamin cari adik lelaki... Dua beradik buat ‘drama air mata’, siap bisik pesanan penting

Dia yang bekerja sebagai penahan tangkul ketam tidak mempunyai pendapatan stabil dan kini berasa terhimpit dengan masalah kewangan serta kemelut keluarga.

"Aku tak mampu nak masuk (pasang) elektrik dengan air sebab aku tak mampu. Kos nak buat mahal.

"Aku baru sahaja buat bypass dalam setahun. Tak sangka mak aku sanggup buat aku macam ni hanya kerana aku bergaduh dengan adik sahaja.

"Aku kesempitan duit sekarang. Aku tak sangka bila aku dalam kesusahan, mak aku sanggup buat aku macam ni. Aku hanya kerja di sungai dan tahan tangkul ketam.

"Kos sara hidup yang tinggi, aku tak mampu nak sempurnakan rumah stor yang aku duduk sekarang ni. Aku terpaksa hidup di rumah yang tak ada air dengan elektrik sebab aku tak mampu sekarang," ujarnya.

Pemuda ini tidak menyangka ibu turut 'membuangnya' sama seperti adik-beradik lain.

Sementara itu, individu itu turut meminta orang ramai yang membaca kisahnya untuk mendoakan urusannya sentiasa dipermudahkan.

Dia juga berharap rezekinya akan bertambah supaya mampu untuk meneruskan hidup seperti biasa.

"Aku cuma minta rakan-rakan dan sahabat tolong doakan aku dipermudahkan dalam mencari rezeki dengan kerja aku sekarang iaitu menangkul ketam," ujarnya.

Video yang dimuat naik di TikTok itu meraih lebih 450,000 tontonan dan lebih 10,000 tanda suka.

Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen memberi pandangan supaya lelaki berkenaan keluar berhijrah jauh daripada keluarga dan mencari pekerjaan yang mempunyai pendapatan tetap.

Lelaki ini bekerja sebagai penahan tangkul ketam.

"Hijrah abang. Cari kerja yang ada hostel (asrama) dulu buat sementara. Nanti dah senang sikit balik kampung jarang-jarang. Sebab adik-beradik kalau dekat, gaduh. Jauh jadi rindu.

"Bawa diri jauh-jauh atau cari kerja ikut kawan. Ada duit buka perniagaan kecil dan lama-lama jadi besar perniagaan tu. kaya disanjung, miskin dihina," komen netizen.

Ada juga netizen berkongsi kisah senasib dengan lelaki itu hanya disebabkan perselisihan faham kecil sehingga ada ahli keluarga yang tersisih.

"Sama macam nasib saya. Memang sama tapi saya buat-buat kuat demi anak-anak. Saya bertahan pun sebab anak-anak. Maklumlah saya tak ada hala tuju sebab ibu tunggal.

"Kita senasib. Saya tetap layan mak saya walau hati menangis dan terguris. Tapi dengan mereka saya senyum. Pasti ada sesuatu yang tuhan janjikan untuk kita.

"Sama macam saya dulu. Saya buat rumah kecil di kebun jauh dari adik-beradik. Hingga sekarang hati tak sakit. Makan apa yang ada. Sekarang Alhamdulillah anak-anak pun dah dewasa," kongsi beberapa netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain