suria

Geng pelajar ‘otak bisnes’ ulang kejayaan zaman matrikulasi, masuk UiTM terus raih jualan RM130,000... baju dijual laku keras

Gambar kanan Amzar (tengah) bersama rakan-rakannya mengusahakan bisnes baju di kampus.

HANYA berniaga dari pintu ke pintu, pelajar meraih jualan sebanyak RM19,000 dalam masa lima hari!

Tapi itu dua tahun lalu, ketika pelajar ini perlu berada di asrama apabila negara diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kisah pelajar yang mampu menjana pendapatan puluhan ribu ringgit dengan menjual baju itu disiarkan di mStar pada Februari 2021 sekali gus menjadi inspirasi ramai.

Berkongsi perkembangan dirinya kepada mStar selepas genap dua tahun, Ahmed Amzar Airil Ahmed Mazdan berkata, sambutan yang menggalakan ketika berniaga dari asrama di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di Kepala Batas telah menaikkan semangatnya untuk terus menjana pendapatan sampingan.

"Kali kedua jual baju dengan lebih 900 tempahan, kami meraih jualan sebanyak RM25,000 dalam masa seminggu. Waktu itu kami tidak lagi guna kaedah dari pintu ke pintu.

"Sebaliknya, kami berkolaborasi dengan pelajar-pelajar yang nak cari duit poket lebih. Kita bantu mereka buat duit, setiap baju yang mereka dapat jual ada komisen.

"Kiranya mereka macam jadi ejen kami buka tempahan," katanya yang kini menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Sungai Petani di Kedah.

Amzar (kiri) dan rakan-rakan membuat persiapan untuk penghantaran tempahan.

Semasa semester pertama pengajian pada awal 2022, pemuda berusia 21 tahun yang lebih mesra disapa Amzar ini berkata, dia dan pelajar lain masih perlu mengikuti kelas secara dalam talian dari rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua pelajar raih RM19,000 buat bisnes 5 hari di asrama, berbaloi tebal muka ketuk bilik kawan - "Ramai-ramai gelak, nombor kena block"

"Apabila kembali ke universiti pada semester kedua, saya tengok dulu persekitaran kolej sebelum jual baju.Kaji pasaran macam mana dan cara serta gaya hidup para pelajar.

"Saya kemudian mengasaskan satu pasukan yang diberi nama Axisto, terdiri daripada tujuh ahli iaitu empat pelajar lelaki termasuk saya dan tiga pelajar perempuan," ujarnya sambil menambah kesemua mereka belajar di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan.

Mengenai rakan yang sebelum ini turut mengusahakan bisnes baju bersamanya ketika belajar di matrikulasi iaitu Danish Aiman Ahmad Rizal, Amzar berkata dia menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah tetapi masih meneruskan jualan di sana.

i

Grup Axisto bertungkus-lumus menjana pendapatan sampingan.

Selain Amzar, Axisto turut dianggotai Muhammad Danial Hafiz Hafizal Razak, 21; Muhammad Akram J Syam, 21; Muhammad Aiman Ahmad Faiz, 21; Nur Dania Irdina Mat Said, 20; Azra Liyana Mahmud, 20; dan Nurwardina Muhd Fuad, 21.

Mengubah kaedah jualan, Amzar yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa itu berkata, pembelian kini boleh dibuat menerusi laman web rasmi mereka.

Kita kena bijak fikir dan rajin ambil peluang.

AMZAR

"Sekarang ni boleh pakai jersi tapi berkolar ke kelas, jadi kami memastikan design lebih cantik untuk menarik lebih ramai pelajar memakainya.

"Jualan baju yang tertinggi adalah kira-kira RM130,000 melibatkan 1,500 tempahan, dalam tempoh kurang 24 jam," kata anak kelahiran Bachok, Kelantan itu.

Baju yang dijual menarik perhatian ramai.

Tambahnya lagi, dengan tujuh rekaan baju setakat ini, perniagaan mereka telah mencatatkan jualan keseluruhan lebih RM250,000.

Menariknya, kata Amzar, pelanggannya bukan sekadar pelajar UiTM dari seluruh negara, tetapi juga alumni universiti itu dan mereka yang belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) lain.

"Ada juga yang sudah bekerja membeli, katanya dia bukan pelajar tapi suka cara kami berniaga. Ada juga yang bukan pelajar UiTM seperti pelajar politeknik pun berminat.

"Selain menaikkan penjenamaan UiTM, kami juga bercadang untuk memperkenalkan Axisto sebagai satu jenama. Ia sempena setahun penubuhannya pada April depan," katanya sambil menambah mereka juga mahu memperkenalkan jaket dan hoodie, selain jersi berkolar.

Amzar (kiri) mahu memperkenalkan jenama Axisto selain menaikkan penjenamaan UiTM.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, mereka tidak lari daripada komen-komen negatif namun memilih untuk menumpukan aura positif dalam perniagaan.

"Cabarannya adalah mulut orang, mereka kata jual baju bolehlah ramai pelajar nak beli. Bagi saya ia bukan isu, yang penting kita kena bijak fikir dan rajin ambil peluang.

"Buktinya, ada bukan pelajar UiTM dan yang bergelar pekerja pun berminat untuk membeli baju-baju kami. Pesanan saya, fokus untuk lima tahun akan datang, insyaAllah kita akan usaha betul-betul untuk capai apa yang kita nak.

"Nanti apabila masing-masing dah tamat pengajian, kami tetapi satu pasukan untuk Axisto. Mungkin setiap UiTM nanti akan ada team Axisto.

"Saya juga bercadang untuk mengusahakan bisnes baju Melayu pada masa akan datang. Bagi saya, apabila pakai baju Melayu, saya rasa sesuai dan nampak handsome, jadi kenapa tidak menjuanya sebagai satu jenama," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain