suria

Rezeki jalan-jalan dekat mall, wanita dapat hadiah cincin emas! TikToker popular dipuji tak lokek bagi sedekah

Cahaya menghadiahkan sebentuk cincin emas kepada seorang wanita di Pulau Pinang.

TAK perlu tunggu kaya untuk bersedekah.

Begitulah pegangan seorang wanita yang popular menerusi video-video bersedekah kepada orang awam menerusi aplikasi TikTok.

Terbaharu, video memaparkan Cahaya Icha, 26, menghadiahkan sebentuk cincin emas kepada seorang wanita yang ditemuinya di sebuah pusat membeli-belah turut meraih lebih lima juta tontonan.

cahaya3

Cahaya dan suaminya menetap di Pulau Pinang.

Ketika dihubungi mStar, wanita Indonesia yang berkahwin dengan lelaki Malaysia itu tampil bercerita mengenai aktiviti kebajikan yang giat dijalankannya sejak lebih setahun lalu.

"Saya mula buat TikTok ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pada waktu itu, ramai orang tiada pendapatan. Pada suatu hari, saya lihat seorang budak kecil berniaga kerepek, langsung tiada siapa yang beli. Jadi saya pergi borong kerepek adik tu.

"Tanpa saya sedar, suami rakam video ketika saya beli kerepek dan ia tular di TikTok. Sejak itu, ramai yang hubungi saya untuk bantu insan-insan yang memerlukan. Begitulah permulaan saya dalam kerja ini. Saya teruskan buat video untuk jadi contoh kepada masyarakat kita.

Ada juga yang kecam, mereka kata saya pilih kasih dalam memberi sedekah.

CAHAYA ICHA

"Biasanya saya akan sedekah RM10, RM50 atau RM100, bergantung kepada kemampuan saya. Saya sedekah guna duit sendiri, kadang-kadang suami tambah duit. Sesekali ada juga orang bagi. Selepas dah tular, saya dipanggil untuk buat reviu kedai. Duit reviu pun saya sedekahkan," ujarnya yang mesra disapa Cahaya.

Mengulas video pemberian cincin emas kepada seorang wanita baru-baru ini, Cahaya berkata ia merupakan kali pertama dia menghadiahkan barangan mewah dan merancang meneruskan inisiatif itu pada masa akan datang.

"Saya nak bagi reward kepada mereka yang betul-betul support content saya. Ketika jumpa akak tu, dia rupanya memang follow TikTok saya. Jadi saya hadiahkan cincin emas kepadanya. Akak tu merupakan individu pertama yang dapat emas.

ARTIKEL BERKAITAN: Bermula dengan sedekah, peniaga letih jadi ‘mesin ATM’ makcik penagih dadah! Bagi RM3 ‘tak layan’, berdrama jika tak dipedulikan

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas sedekah RM100, pemuda ini terkejut keluarga yang dibantu minggu lalu mahu bayar balik duitnya - “Dengan RM200 tu mereka kata boleh survive?”

"Lain kali saya nak bagi lagi tapi bukan di Pulau Pinang. Saya nak cari pemenang dari negeri lain pula," ujar Cahaya yang menetap di Bayan Lepas.

Biarpun aktif bersedekah kepada orang ramai, Cahaya berkata dia juga tidak terlepas menerima komen negatif yang mempertikaikan ketulusan hatinya.

Menurut anak jati Bandung itu, dia tidak kecil hati dengan tanggapan negatif, sebaliknya ia terus membakar semangatnya untuk terus menabur bakti semampu yang mungkin.

"Ada juga yang kecam. Mereka kata saya pilih kasih dalam memberi sedekah. Tapi tak apa, saya tak kisah. Lagi pun ini dunia, bukan syurga. Selalu ada orang macam tu. Saya faham dalam dunia ini ada macam-maca perangai dan fikiran orang.

cahaya4

TikToker berasal dari Indonesia ini mempunyai lebih sejuta pengikut.

"Selagi saya tak buat salah, tak mengapa. Saya tiada niat nak pilih kasih. Sejujurnya, saya banyak belajar sejak aktif buat content bersedekah. Setiap kali pergi tolong orang, balik tu mesti saya tiada selera makan. Saya terfikir akan kesusahan mereka," ujar Cahaya lagi.

Tidak pernah berniat untuk menunjuk-nunjuk, Cahaya sebaliknya mahu video di TikTok miliknya menjadi ikutan anak muda di negara ini untuk terlibat sama dalam aktiviti kebajikan.

"Mudah-mudahan ramai lagi anak muda yang contohi content saya. Sebab apabila kita bersedekah, 10 kali ganda kebaikan itu akan dibalas. Tak semestinya jadi kaya dulu baru boleh bersedekah.

cahaya1

Cahaya menghadiahkan wang ringgit buat seorang lelaki baru-baru ini.

"Kalau tak mampu bagi wang, hulurkan pertolongan atau senyuman pun dah dikira sedekah. Semoga video-video ini dapat beri impak positif kepada anak muda," ujarnya yang turut berniaga baju sejak sebulan lalu.

Untuk rekod, Cahaya yang memiliki lebih sejuta pengikut TikTok sudah menetap di Pulau Pinang sejak lapan tahun lalu.

Selepas menamatkan pengajian di Malaysia, Cahaya terus menetap di sini sebelum mendirikan rumah tangga dengan jejaka Sabah berketurunan Murut iaitu Yoel Andaria, 32, sejak setahun lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain