suria

Asnaf buat perangai, 7 kali kena halau tuan rumah... Zakat Selangor terpaksa jawab, dituduh biar Abang Kasturi tinggal bawah jambatan

Lembaga nafi dakwaan pihaknya menamatkan bantuan buat lelaki itu.

SEMAK sebelum sebar.

Demikian pesan Lembaga Zakat Selangor (LZS) selepas mereka ditohmah sebilangan pengguna media sosial atas dakwaan tidak membantu seorang lelaki asnaf dikenali sebagai Kasturi Cik Din, baru-baru ini.

Terdahulu, tular posting memaparkan lelaki itu yang mendedahkan bahawa dia tinggal di bawah jambatan selepas pihak zakat menghentikan bantuan untuknya.

zakaatf

Wakil LZS tampil membuat penjelasan berhubung kisah tular asnaf itu.

Demi mengelakkan salah faham serta menghentikan tohmahan, LZS tampil membuat pendedahan bahawa lelaki itu telah menerima bantuan sejak tahun 2015 sehingga ke hari ini.

"Abang Kasturi Cik Din, kami terus menyalurkan bantuan tanpa menghentikan sebarang jenis bantuan kecuali berkaitan dengan sewa rumah. Dia dihalau dari rumah sewa yang sebelum ini dibayar oleh pihak lain. Kami tidak pasti apa yang telah berlaku.

"Apabila dia berada di bawah jambatan, kami usahakan untuk dapatkan sebuah rumah hasil kerjasamanya seorang pembayar zakat di LZS, dia diberikan rumah dua tingkat. Bagi kami cukup selesa dan berstatus mewah.

Kami tidak pernah menamatkan bantuannya kecuali bantuan sewa rumah yang diminta dikeluarkan oleh tuan rumah sendiri.

LEMBAGA ZAKAT SELANGOR

"Namun setelah beberapa bulan, pihak komuniti dan masyarakat sekitar mengadu bahawa berlaku ketidakselesaan membabitkan Abang Kasturi. Mereka mohon kerjasama kami untuk minta pindahkannya dari rumah itu ke tempat yang lebih sesuai," dedah wakil LZS menerusi TikTok.

Selepas kejadian itu, lelaki berkenaan dipindahkan ke sebuah rumah kedai, namun episod lama kembali berulang selepas berlaku kerosakan di tempat tinggal baharunya.

"Kami terus berusaha untuk bantu. Kami tempatkan dia di sebuah rumah kedai dengan sewaannya terus kami bayar. Dalam beberapa bulan, pihak premis memaklumkan nak tamatkan bantuan kerana berlaku sedikit kerosakan di premis itu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Cukuplah bantu saya” - Asnaf mohon batal nama penerima zakat lebih awal, jangka pendapatan stabil September

ARTIKEL BERKAITAN: Sudah la miskin, pengotor pula! Asnaf tunjuk perangai buruk, tinggal rumah sewa penuh sampah sarap... Siap block tuan rumah

"Kami terus berusaha mencari rumah sewa yang lebih sesuai mengikut keselesaan Abang Kasturi. Daripada satu rumah ke dua rumah, lebih tujuh buah rumah yang kami cuba berbincang dengan pihak pemilik-pemilik rumah sewa.

"Namun ketika mana mereka mengetahui namanya adalah Abang Kasturi, berlaku sedikit kesukaran dan kesulitan. Tidak ada pihak yang ingin memberikan kerjasama sehingga hari ini untuk kami meneruskan bantuan sewa rumah kepada Abang Kasturi," dedah LZS lagi.

Biarpun berdepan pelbagai kesukaran, LZS menegaskan bahawa mereka tidak pernah menamatkan bantuan ke atas lelaki itu serta isterinya yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri.

"Kami tidak pernah menamatkan bantuannya kecuali bantuan sewa rumah yang diminta dikeluarkan oleh tuan rumah sendiri. Kami di LZS terus menyantuni Abang Kasturi dengan sebaiknya.

zaka5t2

Komen netizen berhubung isu berkenaan.

"Kes ini telah kami serahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan di bawah Akta Orang Papa 1997 kerana di luar bidang kuasa kami di LZS.

"Kami tidak boleh tamatkan bantuan ini dan kami kesiankan mereka sebagaimana masyarakat kesiankan mereka, kerana Abang Kasturi dan isteri tiada apa-apa.

"Namun yang kami kesiankan apabila kita tak semak apa yang telah disantuni kepadanya dan apa yang LZS dah usahakan kepadanya," ujar LZS lagi.

Menerusi TikTok, LZS juga berkongsi video kunjungan mereka bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pasukan masjid USJ dan Yayasan Wilayah Persekutuan Response Team yang menyantuni lelaki itu pada 17 Februari tahun lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain