suria

Hampir 20 tahun terpisah, arkitek cuba jejak kawan zaman kanak-kanak di Scotland... kalau dah rezeki tukar nama pun boleh jumpa!

Najwa berjaya menjejaki semula rakannya dengan bantuan warga Twitter.

SEORANG gadis Malaysia menjadi perhatian ramai apabila dia menggunakan laman Twitter untuk menjejaki rakan lamanya yang terpisah hampir 20 tahun lalu.

Menurut Nurul Najwa Mohd Fuad, 26, dia mengenali Bobby Smith ketika menetap di Stirling, Scotland, namun terputus hubungan selepas kepulangannya ke Malaysia pada 2004.

"Saya duduk di sana tiga tahun setengah, bermula tahun 2000 sehingga pertengahan 2004. Kami sekeluarga menetap di sana sebab ayah sambung belajar di University of Stirling.

najwa2

Najwa (dua dari kanan) bersekolah di Scotland sebelum kembali ke Malaysia pada tahun 2004.

"Bobby merupakan kawan baik saya sejak tadika sehingga ke zaman sekolah. Kami sekelas dari tahun satu hingga tahun tiga. Kebaikan Bobby membuatkan dia yang paling saya ingati.

"Saya juga pernah berkunjung ke rumah Bobby untuk parti hari lahir. Kat sana kami memang berkepit je. Kalau ingat balik, dia juga orang pertama yang tegur saya di sana. Keluarganya juga sangat baik," imbas Najwa ketika dihubungi mStar.

Menurut arkitek yang menetap di Semenyih, Selangor itu, dia pernah berutus surat dengan Bobby selepas kembali ke tanah air, namun hilang jejak tidak lama kemudian.

Akhirnya atas bantuan netizen, saya dah jumpa Bobby. Rupanya ada seorang rakyat Malaysia yang duduk di Scotland, dia mutual kepada Bobby.

NURUL NAJWA MOHD FUAD

Selepas sekian lama memendam hasrat, dia akhirnya membuat hebahan menerusi Twitter pada Selasa dalam usahanya untuk menjejaki rakan lamanya itu.

"Dah lama terfikir nak cari. Dulu ada buku alamat, awalnya kami juga berutus surat. Tapi lama-kelamaan surat hilang, alamat pun dah tak jumpa.

"Jadi saya terfikir untuk kongsi di Twitter. Tak sangka ia viral di Twitter. Ramai yang mesej dan mereka mahu membantu," ujar Najwa lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ini cari sahabat yang 'hilang', sukar dicari kerana hanya tahu namanya, tak pernah jumpa!

ARTIKEL BERKAITAN: Lain macam ‘friendship’ lelaki, 20 sahabat kumpul RM1,600 beli laptop baharu demi kawan sambung belajar... Berkat suka tolong orang!

Dalam tempoh singkat, Najwa akhirnya berjaya menjejaki rakan lamanya itu dan mereka kembali berhubung sejak Rabu malam, sekali gus menamatkan pencariannya.

"Akhirnya atas bantuan netizen, saya dah jumpa Bobby. Rupanya ada seorang rakyat Malaysia yang duduk di Scotland, dia mutual kepada Bobby. Dia juga alumni di sekolah sama, tapi dia menetap di sana lebih lama berbanding saya.

"Saya pun dah berkomunikasi dengan Bobby. Dah contact dengan dia pada Rabu malam. Rupanya dia dah tukar nama, sebab tu saya tak dapat cari selama ini. Saya cari nama Bobby Smith, tapi rupanya dia dah tukar nama jadi Bobby McIntyre.

najwa3

Posting Najwa yang meraih perhatian ramai netizen.

"Disebabkan posting viral ini juga, saya bukan saja dapat berhubungan dengan Bobby, malah turut menemui lima lagi rakan sekelas saya di Scotland dulu," ujar anak sulung daripada tiga beradik itu.

Menurut Najwa, dia juga merancang untuk terbang ke Scotland suatu hari nanti dan bertemu dengan rakan-rakan lama yang pernah menjadi penyeri hidupnya suatu masa lalu.

najwar

Najwa berkongsi 'update' tentang pencariannya menerusi laman Twitter.

"Saya terharu dia masih ingat saya. Rupanya Bobby pun masih simpan surat lama saya. Selain Bobby, saya juga dapat cari balik lima lagi rakan sekelas saya.

"Kalau ada rezeki, saya nak ke Scotland untuk jumpa balik dengan mereka. Sekarang kami dalam proses untuk kenal balik.

"Apa pun, terima kasih sangat kepada semua orang. Tak sangka posting Twitter ini sampai ke Scotland, mereka sebarkan sampai kami jumpa balik. Kuasa viral memang membantu kalau digunakan dengan cara yang betul," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain