suria

Tak rela biar ibu jaga bapa uzur sendirian, anak perempuan ambil EL balik Kedah! Siap bagi kata dua... “Ikut ke KL atau pergi hospital”

Adik-beradik ini sangat cekal untuk menjaga bapa mereka yang sudah uzur.

SEORANG ibu boleh menjaga 10 orang anak tetapi 10 orang anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu.

Kata-kata hikmat di atas merujuk kepada ibu bapa menyayangi anak bagai menatang minyak yang penuh tetapi kasih yang dicurah ada kalanya tidak terbalas oleh seorang anak.

Begitulah kisahnya untuk Siti Maryam Idris, 40, yang melalui jerih-perih bersama kakaknya untuk menjaga bapa mereka yang kian merosot tahap kesihatannya.

Melalui satu video tular di TikTok, Maryam dilihat berpeluang merakam kakaknya sedang memapah ayah mereka yang lumpuh separuh badan kerana strok.

"Nak jaga orang tua ni bukan senang. Kalau jaga anak kecil misalnya, walaupun mereka ada kerenah sendiri tapi mereka akhirnya akan dengar kata.

"Warga emas ni, mereka seperti kanak-kanak dalam badan orang dewasa, degil dan susah nak dengar nasihat. Macam bapa saya ni umur 78, tapi susah betul nak ajak dia duduk dengan kami di Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Ubat tak hapus derita kanser, suami cuma minta isteri peluk untuk hilangkan sakit! Tidur pegang tangan sebelum ajal

ARTIKEL BERKAITAN: Hanya kerana ada slip gaji, mak ayah harap anak perempuan tunggal tanggung keluarga... yang lelaki dibiar naik lemak, tak bekerja

"Lepas tu dia memang liat betul nak pergi hospital. Kami cuma boleh bawa dia pergi klinik dan buat medical check-up biasa je. Dia duduk berdua dengan mak saya di kampung Alor Gelenggang, Kedah," katanya ketika dihubungi mStar.

Menurut Maryam, walaupun sedar mempunyai tanggungjawab terhadap ibu bapanya, dia mengatakan membahagikan masa bukannya perkara mudah.

"Saya pun ada keluarga, anak dan suami. Saya mungkin boleh berhenti kerja untuk fokuskan sepenuhnya kepada bapa saya, tapi nanti macam mana saya nak sara keluarga.

Rasa tenang bila mak ayah ada dekat dengan kita, nak tidur pun rasa lena.

SITI MARYAM IDRIS

"Saya pernah cuba untuk ambil haluan ni tapi ada banyak rintangan yang datang. Saya ada rancang nak tinggalkan Kuala Lumpur for good dan duduk dengan mak ayah saya di Kedah.

"Tapi suami saya yang kerja dalam bidang perhotelan susah nak cari kerja dekat sana, mungkin sebab Kedah tak banyak option macam di Kuala Lumpur.

"Jadi ia bukan suatu benda yang mudah," kata Maryam yang merupakan anak bongsu dalam keluarganya.

Foto bapa dan ibu Maryam.

Kerana risaukan keadaan ayah mereka di kampung yang sukar untuk dipantau, Maryam dan kakaknya memberikan ayah mereka 'ultimatum', iaitu satu pilihan mutlak yang harus dibuat.

"Mak seorang je dah tak kuat nak jaga ayah. Jadi kami cakap dekat ayah, ada dua pilihan je, ikut kami duduk dekat Kuala Lumpur atau pergi hospital duduk dengan doktor.

"Ayah memang tak suka langsung doktor jadi nak tak nak dia terpaksa ambil pilihan untuk duduk dengan kami. Ayah sekarang duduk dengan kakak sulung kami dulu. Kami terpaksa berkeras sikit untuk kebaikan dia.

"Saya dengan kakak duduk berdekatan je di area Damansara Damai, Selangor. Jadi apa-apa pun kami communicate je. Kalau ada hari kakak sibuk kerja dan balik lewat, saya akan singgah jenguk mak ayah dekat rumah kakak, hantar makanan.

"Rasa tenang apabila mak ayah ada dekat dengan kita, nak tidur pun rasa lena. Kalau apa-apa jadi boleh terus rush pergi jumpa ayah," ujar Maryam yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah firma swasta.

Maryam dan kakaknya menunaikan umrah yang diniatkan untuk ibu bapa mereka.

Walaupun sentiasa berkomunikasi, Maryam mengakui ada kalanya dia tidak dapat lari daripada konflik dan perselisihan faham dengan adik-beradiknya yang lain.

"Kadang ada hari yang adik-beradik kita tak available untuk jenguk mak ayah dan kita pun kebetulan sibuk hari tu. Jadi siapa yang kena korban masa?

"Terpaksa la juga ikhtiarkan cara dengan apa kaedah sekalipun. Contohnya nestum dekat rumah ayah dah habis, minta servis penghantaran tolong deliver ke.

"Kena cari jalan juga. Ingat satu benda je, mak ayah kita dulu akan usahakan, memeras keringat untuk pastikan kita terjaga. Tak akan kita tak boleh buat benda yang sama sekarang," ujar Maryam.

Ketika ditanyakan bagaimana kakaknya mampu untuk mengangkat bapanya tanpa bantuan, Maryam mengatakan ia seperti alah bisa, tegal biasa.

"Saya pernah ada abang tapi dah meninggal waktu kami kecil lagi, sejak daripada itu tinggal la kami para wanita je. Kami ada tujuh adik-beradik kesemua sekali.

Bapa Maryam kini terlantar sakit.

"Kami dah terbiasa buat kerja-kerja berat yang selalunya lelaki buat, kerja-kerja kampung dah jadi rutin waktu kami duduk Kedah dulu.

"Sebab tu sekarang saya dan kakak kalau nak angkat dan jaga ayah tak ada rasa lelah sangat, kami boleh buat," ujar Maryam.

Maryam sempat menitipkan pesanan untuk sentiasa mengutamakan dan menghargai ibu bapa kerana peluang itu hanya datang sekali.

"Suami saya selalu tekankan dekat saya untuk jaga mak ayah kita. Tiket syurga kita ada dekat mak ayah kita. Kalau kita sibuk bekerja sampai mak ayah terabai, kita dah kira anak derhaka.

"Jangan berkompromi dalam jaga mak ayah kita, sebab penyesalan yang datang bila mereka dah tak ada tu memang tak dapat diubati.

"Mereka adalah segala-galanya, tak dapat diganti dan hanya ada satu di dunia ini," ujar Maryam mengakhiri perkongsian.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain