BUKAN orang gila, tapi mungkin 'ahli syurga'. Jika hanya melihat pada karakternya, mungkin ramai akan memandang serong terhadap lelaki ini. Namun perkongsian seorang wanita tentang pertemuannya dengan bekas penagih dadah ini akhirnya menjentik hati warga maya. Berkongsi cerita kepada mStar, Kaunselor di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di Kuching, Sarawak, Nadia Muhammad Hazmi berkata, tanpa disangka-sangka dia disapa lelaki berkenaan di luar sebuah kedai serbaneka di Kuching, pada Ahad lalu. Akui Nadia, individu berkenaan bukanlah asing baginya kerana lelaki itu merupakan bekas kliennya kira-kira sembilan tahun lalu. "Sewaktu keluar dari kedai, saya terlihat seorang lelaki 'bersidai' di luar pintu. Terdetik hati 'orang kurang waras' agaknya, kasihan dia. "Tapi hati terasa nak menoleh kali kedua, dia tiba-tiba tersenyum gembira. 'Puan Nadia!' teriaknya. 'Puan ingat tak saya? Kurus la puan sekarang, dulu puan mengandung masa jaga saya'. "Saya seperti kenal wajahnya, cuma tak ingat nama. Kalau masa mengandung dia boleh kenal, bermakna sembilan tahun yang lalu lamanya. Norazlan puan... puan jaga saya dulu masa saya dalam pengawasan," imbas Nadia ketika dihubungi mStar. Azlan duduk di luar kedai sambil memegang mainannya. Menurut Nadia ibu bapa Azlan sudah meninggal dunia dan dia kini hidup sebatang kara dengan mengharapkan sumbangan dan belas ihsan orang ramai. Namun perkara paling paling menyentuh perasaannya apabila Azlan yang berusia lingkungan 30an memberitahu dia tidak lagi mengambil bahan terlarang selepas keluar dari pusat pemulihan. "Sekarang dia tinggal kat bawah tangga kedai, tak ada kerja dan tak hisap dadah. "Tersentuh hati masa jumpa dia, saya bergenang air mata. Bekas klien ini bukan macam kebanyakan kita, mereka adalah orang kelainan upaya (mental) kerana sejarah hidupnya terjebak dengan dadah," katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa bot karam 30 jam tengah laut cerita detik cemas... dikelilingi ikan sebesar bas, dengar suara azan ARTIKEL BERKAITAN: Luar biasa cekal! Guna sebelah kaki, tak ubah suai basikal... pemuda ini mampu kayuh sejauh 25km - "Kalau sedih, bukannya boleh tumbuh balik" Menurut Nadia lagi, Azlan seperti dulu yang dikenalinya ketika dalam pemulihan dan pengawasan iaitu seorang periang dan peramah. "Dia tidak mengemis dan dia juga tidak menyusahkan orang. Dia hidup dengan survival sebagai gelandangan," katanya yang berpengalaman dalam bidang pemulihan narkotik selama 16 tahun. Kadang-kadang, insan sebegini lebih mengenang budi dan jasa daripada yang lebih sempurna. NADIA MUHAMMAD HAZMI Ibu kepada tiga cahaya mata berkenaan turut tersentuh saat bekas kliennya yang berasal dari Kuching itu mahu merakamkan gambar kenangan bersama. "Nak ambil gambar dengan puan boleh? Awak ada telefon ke? Tak ada, guna telefon puan la. Nanti puan simpan gambar saya, jadi puan tak lupa saya lagi. "Okay, awak senyum. Saya simpan gambar awak. Ni apa yang awak genggam? Mainan saya, buat sendiri, boleh teman saya ke mana-mana," ujar Nadia mengimbas kembali perbualan dengan Azlan. Perkongsian Nadia di Facebook menjadi tular. Nadia yang pernah berkhidmat di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Kuching, Sarawak berkata, sehingga ke hari ini dia masih terharu dengan penghargaan bekas kliennya itu. "Dia mungkin tak seperti orang normal, tapi orang normal pun belum tentu ingat. Ketidakwarasannya mungkin buatkan dia hilang memori tak penting, tapi kekal simpan memori yang penting. "Perkara pertama dia sebut adalah dah tak ambil dadah. Dia ingat perkara itu untuk kekal pulih. Masa jumpa hari tu, saya lihat dia ada pengurusan diri, bersih dan pandangan matanya bersinar-sinar. "Saya masih ingat dia semasa menjadi klien. Setiap kali sesi ceramah, mata dia tidak berkelip, sangat fokus. Budi bahasanya juga baik, tak pernah melawan, dia mengikut kata. "Saya menangis masa jumpa dia hari tu, tersentuh keikhlasan dia berbicara. Dia tidak meminta. Ingatan dia tu sedikit-sebanyak tanda penghargaan dia," ujarnya lagi. Jelas Nadia, dia sempat berpesan kepada Azlan supaya mencari kerjaya mengikut kemampuannya, jangan mencuri dan tidak menganggu orang. "Moga Allah sentiasa memberi perlindungan padanya dunia dan akhirat. Tapi daripada situ Allah juga memberi kita kebahagiaan. Kegembiraan apabila pernah membantu insan yang diuji dengan seikhlas hati. "Apabila mampu mengukir senyuman di wajah insan istimewa, nikmatnya lain. Rasa sedih namun terubat hati. Walaupun pengakhiran cerita tak semuanya sempurna. "Begitulah kisah klien istimewa, mungkin ahli syurga. Kadang-kadang, insan sebegini lebih mengenang budi dan jasa daripada yang lebih sempurna," katanya yang berharap perkongsiannya dapat membuka hati dan jiwa masyarakat. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube