suria

20 tahun OKU ‘peram’ resepi sos lada hitam kegemaran keluarga, sekali buka kedai western terus kena serbu!

Kekurangan diri tidak menghalang Onedha untuk mencari rezeki dengan membuka kedai makan barat.

YANG bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.

Itulah peribahasa yang sesuai bagi menggambarkan kisah seorang peniaga makanan barat, Abdullah Affandi Md Yusop, 42, yang kehilangan kaki kanan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Berstatus orang kurang upaya (OKU) sejak 25 tahun lalu, dia yang mesra disapa Onedha berkata, kekurangan pada dirinya sama sekali tidak mematahkan semangatnya untuk membuka kedai makanan barat iaitu Lempaqq Western Cafe Sayang di Penaga, Pulau Pinang.

Jelas Onedha, sebelum ini dia bekerja di syarikat Telekom Malaysia Berhad, Kuala Lumpur sebagai operator dan membuat keputusan untuk berhenti bekerja dan pulang ke kampung halaman di Sungai Petani, Kedah.

Untitled design - 1

Onedha lebih suka memasak sendiri dan pandai membuat sos lada hitam.

"Dah lama saya kemalangan, dah 25 tahun. Waktu tu saya naik motor nak pergi beli makanan untuk adik-adik. Nasib tak baik, saya kemalangan dengan lori di Sungai Petani.

"Saya berniaga ni pula baru tiga bulan. Mula tahun lepas dan berniaga seorang saja sebab waktu tu tak ada pekerja lagi. Kalau tak silap dalam dua minggu juga saya uruskan kedai seorang diri.

ARTIKEL BERKAITAN: Berstatus OKU, peniaga air di tepi sekolah buntu cari jalan tampung kos pembedahan lutut... Bajet 2022 bantu ubah kehidupan

ARTIKEL BERKAITAN: Teringin nak tengok diri sempurna, peniaga takoyaki OKU minta netizen tolong edit gambar - “Dulu saya diejek alien”

"Alhamdulillah sekarang dah ada enam pekerja. Tiga pekerja tetap dan tiga lagi sambilan. Mereka ni banyak bantu bahagian hidang dan hantar makanan kepada pelanggan.

"Selepas berhenti kerja di Telekom tu, saya ada buka perkhidmatan mengandam... ramai juga pelanggan. Sekarang pun ada lagi solek pengantin tetapi dah kurang sikit sebab nak fokus lebih kepada kedai makan saya," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Menurut anak kelima daripada 10 adik beradik ini, dia bersyukur apabila keluarganya banyak memberi sokongan untuk berniaga, terutama kakaknya yang memberi kebenaran untuk menggunakan rumah kosong yang dijadikan kedai makan.

Onedha teruja diberi peluang untuk memasak di rumah ahli perniagaan

Sementara itu, Onedha memberitahu, resepi sos lada hitam yang dicecah bersama ayam panggang, stik kambing dan stik daging menjadi pilihan utama pelanggan sehingga hari ini.

Tambahnya, dia tidak menyangka setiap hari hampir 350 pinggan makanan berjaya dijual dan menganggap semua ini merupakan rezeki daripada Allah SWT kepadanya.

"Kakak yang tawarkan untuk buka kedai sebab adik beradik selalu puji ayam barbeku yang saya buat tu sedap. Kebetulan kakak ada rumah tinggal kosong, jadi dia suruh saya buka kedai dekat sana.

"Selain adik beradik, mak ialah orang yang paling banyak bagi sokongan dari awal nak mula berniaga. Walaupun modal saya yang keluarkan sendiri, tetapi mereka banyak beri sokongan.

Suasana di kedai Lempaqq Western Cafe Sayang

"Rasanya dah 20 tahun saya guna resepi sos lada hitam tu. Sebelum ni selalu buat untuk makan keluarga sahaja dan sekarang baru untuk berniaga.

"Alhamdulillah purata sehari dalam 350 pinggan. Menu makanan di kedai saya iaitu stik kambing, stik daging, ayam panggang dan spageti kuah campur. Pelanggan yang datang pun dari jauh seperti Melaka, Johor, Perak dan Kuala Lumpur," ujarnya.

Dalam pada itu, Onedha berkongsi dia pernah dijemput oleh seorang ahli perniagaan yang bergelar Datin Seri, untuk memasak ayam panggang, kambing panggang dan stik di rumah persinggahannya di Pulau Pinang.

Kata Onedha, pujian yang diberi oleh individu berkenaan membuatkannya lebih bersemangat dan bersedia jika menerima sebarang jemputan daripada orang lain.

"Datin Seri jemput saya untuk masak di rumah singgah dia di Pulau Pinang. Dia dari Shah Alam dan balik Pulau Pinang untuk bercuti. Dia jumpa saya di Facebook.

"Alhamdulillah dia cakap puas hati dan kalau ada rezeki dia nak minta saya untuk masak lagi makanan barat di rumahnya," ujarnya lagi.

Onedha merupakan anak kelima daripada 10 adik beradik

Onedha turut berpesan kepada golongan yang mengalami nasib yang sama sepertinya untuk terus kuat dalam mencari rezeki.

Tambahnya, kekurangan pada diri seorang OKU bukanlah tiket untuk meraih simpati orang ramai sebaliknya perlu juga berusaha sendiri.

"Jangan patah semangat walaupun dah jadi OKU. Sebab hidup ni sekali sahaja. Jadi teruskan usaha dalam mencari rezeki.

"Selagi ada kudrat, selagi itulah kena berusaha. Jangan harapkan bantuan orang lain. Kena rajin cari rezeki," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain