suria

Wah, pengantin ini bertuah lagi! TV pemberian Agong yang pertama akan dibawa masuk ke rumah baharu

Pasangan pengantin ini bukan sahaja bertuah dapat bertemu Yang di-Pertuan Agong, malah menerima hadiah perkahwinan daripada baginda.

SELEPAS dikejutkan dengan pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada hari perkahwinan, sepasang pengantin tidak menyangka menerima hadiah daripada baginda.

Kisah pasangan ini menjadi tular apabila Yang di-Pertuan Agong yang turut berada di hotel sama, di lokasi majlis pasangan berkenaan, memperkenan pertemuan tersebut.

Jika pertemuan istimewa itu dianggap sebagai hadiah perkahwinan terhebat, bagaimana pula dengan pemberian yang dikirimkan oleh Agong ini?

Berkongsi kegembiraan itu, pengantin lelaki, Sangharganesh Palanivelloo berkata, pihak Istana Negara telah berjumpa dengan salah seorang ahli keluarga isterinya bagi mendapatkan butiran yang diperlukan.

"Kami juga dimaklumkan oleh pihak pengurusan hotel mengenai perkara sama. Kami diberitahu bahawa Agong mahu memberikan hadiah.

"Jadi, kami sudah tahu mengenai perkara itu lebih awal, dan dihubungi berhubung hadiah berkenaan yang berupa sebuah TV model baharu berukuran 50 inci," katanya kepada mStar.

pengantin hadiah agong 4

Pasangan pengantin terharu dengan keramahan Yang di-Pertuan Agong.

Lebih mesra disapa Sanghar, pemuda berusia 29 tahun itu mengakui sangat menghargai pemberian hadiah daripada Agong, kira-kira seminggu selepas hari perkahwinan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Hadiah perkahwinan terhebat sampai tak boleh move on! Pengantin tak sangka berdepan Agong, 800 tetamu pun dapat kejutan tak dirancang

"Kami berasa sangat gembira dengan pemberian Tuanku dan terharu atas kesungguhan dan kesediaan wakil baginda yang berurusan untuk tujuan pemberian hadiah.

"Datuk Mohd Abdah Alif antara yang menghubungi saya bagi pihak Agong berhubung penyerahan hadiah berkenaan.

"Usaha itulah yang paling kami tak sangka sama sekali. Tuanku bukan sahaja Agong yang berjiwa rakyat, tetapi para pegawainya juga begitu berdedikasi," katanya yang berasal dari Ayer Itam, Pulau Pinang.

pengantin hadiah agong 3

Sanghar (kanan) dan Dakshayni di majlis resepsi di hotel Shang-ri La, Kuala Lumpur. foto foto IG @nextchapter_my

Menurut jurutera itu, dia dan isteri merancang untuk meletakkan TV pemberian baginda di rumah baharu mereka di Juru.

"Kami bakal berpindah ke rumah baharu. Sekarang ini kami menetap di Ayer Itam bersama keluarga. Hadiah pemberian Tuanku akan menjadi peralatan elektrik pertama yang akan dibawa ke rumah itu nanti.

Ini sebagai hadiah berganda.

SANGHARGANESH PALANIVELLOO

"Kami anggap ini sebagai hadiah berganda. Berpeluang untuk menghadap Tuanku semestinya tidak ternilai dan hadiah TV merupakan satu bonus.

"Sekali lagi kami amat berbesar hati dengan pemberian hadiah ini dan berterima kasih kepada seluruh ahli keluarga, pihak hotel termasuk wakil Tuanku. Kami amat menghargainya," ujarnya yang mengimbas kembali pertemuan bersama baginda selama kira-kira 10 hingga 15 minit pada 18 Februari lalu.

pengantin hadiah agong 2

Pasangan ini menyifatkan pertemuan bersama Agong sebagai peluang yang mungkin berlaku sekali seumur hidup. foto IG @nextchapter_my

Terdahulu, mStar melaporkan Sanghar dan isteri, Dakshayni Kumareasan, 25, dianggap sebagai pasangan pengantin paling bertuah kerana dapat bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong ketika sedang berjalan ke majlis resepsi yang berlangsung di sebuah 'grand ballroom' di Hotel Shangri-La di Kuala Lumpur.

Majlis yang dihadiri kira-kira 800 tetamu pada malam itu dikejutkan dengan paparan gambar pasangan pengantin bersama Yang di-Pertuan Agong menerusi skrin besar di dalam dewan.

"Ramai cakap saya dan suami merupakan pasangan pengantin yang paling bertuah. Bagi kami, ia merupakan salah satu hadiah perkahwinan yang terhebat.

"Satu peluang yang mungkin berlaku sekali seumur hidup. Sampai sekarang saya masih tak boleh move on," kata Dakshayni yang begitu teruja.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain