suria

“Selipar pakai di kaki pun kita pilih berjam” - Hati-hati cari jodoh! Cuba perhati buah hati, masuk waktu solat apa reaksinya

Wanita itu berkongsi petua buat anak muda dalam mencari pasangan hidup masing-masing,

KESILAPAN memilih pasangan berkemungkinan akan menyebabkan kita hidup dalam keadaan merana dan tidak bahagia.

Di laman Twitter, seorang ibu kepada tiga cahaya mata tampil berkongsi nasihat buat mereka yang bakal berumah tangga.

Enggan mendedahkan namanya, wanita itu menitipkan pesan agar tidak mengabaikan petanda tertentu sebelum mereka memutuskan untuk melangkah ke fasa seterusnya.

"Akak terpanggil nak bercerita di sini. Mungkin bukan kepada bercerita, tapi kepada memberi pesan daripada seorang kakak kepada adik-adiknya.

file6g2doxrocm97fxqgm72

Lelaki yang tidak menjaga solat tidak wajar dipilih sebagai suami, kata wanita itu. (Gambar Hiasan)

"Akak dah kahwin. Tahun ni nak masuk tahun keenam. Alhamdulillah tiga cahaya mata. Apa yang akak nak pesan jangan abaikan petanda sebelum perkahwinan anda," ujarnya memulakan bicara.

Menurut wanita itu, sebenarnya banyak petanda yang dapat dikesan ketika fasa bercinta, sekali gus menjadi indikasi sikap pasangan selepas berumah tangga.

Paling penting katanya, kita harus mencari pasangan yang mengutamakan solat kerana ia merupakan tuntutan paling penting dalam agama.

"Petanda macam-macam. Apa sahaja petanda yang awak rasa benda tu akan membuatkan perkahwinan awak ada masalah pada masa akan datang. Contoh senang, bab solat. Tolonglah cari pasangan yang utamakan solat.

Memilih? Wajib pilih dik. Selipar yang pakai kat kaki pun kita pilih berjam, inikan pula pasangan untuk kita hidup selamanya.

IBU TIGA ANAK

"Bila kita keluar dengan dia, bila masuk azan, macam mana dia? Adakah dia sebut pasal eh nak solat kat mana ni? Atau senyap dan buat tak tahu je? Tambah-tambah kalau dia lelaki. Kita mahukan suami yang boleh bimbing kita dan anak-anak kelak. Tolong titik beratkan soal ini.

"Kalau kita pun 'ke laut', pasangan kita lagilah 'ke laut dalam'. Lelaki yang matang dan bertanggungjawab akan utamakan solat. Sebab dia tahu punca rezeki, bahagia, punca ketenangan dari Allah. Tapi kalau Allah pun dia tak jaga, susah hidup awak nanti dik," pesannya lagi.

Selain bab solat, wanita itu berkata soal kerja turut menjadi indikasi penting dalam mencari pasangan terbaik sebelum melangkah ke alam rumah tangga.

ARTIKEL BERKAITAN: Harap mak ayah carikan jodoh, ‘dihulurnya’ lelaki tua... Tak sangka tengok harta! - “Katanya pakcik tu baik, duit berkepuk”

ARTIKEL BERKAITAN: Lambat kahwin, wanita ini tak melatah disoal tentang jodoh! Bukan tak ada jejaka minat, cuma hati tak berkenan

"Kedua, bab kerja. Macam mana dia commit dengan kerja dia sekarang. Akak bukan suruh adik cari laki yang gaji RM10,000 hingga RM20,000 sebulan. Cukup tengok macam mana dia kerja. Pergi awal ke? Banyak mengular ke? Halal ke kerja dia tu?

"Kalau sebelum kahwin pun awak kena susah-susah kejut dia bangun kerja, kalau kerja jam 8 susah bangun, Subuh tadi macam mana? Memang tak solat ke? Kerja apa pun tak kisah dik. Yang penting hala dan dia bersungguh-sungguh," katanya lagi.

Yang terakhir, wanita itu turut berpesan untuk menilai kawan-kawan kepada pasangan masing-masing kerana ia banyak memberi pengaruh terhadap kehidupan seseorang.

"Tolong perhati dengan siapa dia berkawan. Tolonglah dik. Kawan-kawan ni boleh menjahanamkan atau buat kita lebih baik. Kalau dia kawan dengan mat dadah, ada kemungkinan dia pun ada ambil juga.

file6z8207ij8jcm4lr27pq

Kawan-kawan merupakan cerminan sikap seseorang, jadi pilihlah pasangan yang bergaul dengan orang yang baik. (Gambar Hiasan)

"Naya hidup rumah tangga kamu dik. Tolonglah. Ingat, kalau kita bergaul dengan orang yang jual minyak wangi. Dengan kita-kita akan wangi juga. Akak rasa cukuplah setakat ini pesanan untuk adik-adik," ujarnya menerusi Twitter @ConfessTweetMY.

Akhir bicara, wanita itu turut berpesan supaya individu di luar sana tidak terlalu runsing sekiranya jodoh mereka datang lambat berbanding rakan seusia yang lain.

"Satu lagi. Kalau umur 25 tak kahwin lagi, jangan risau. Lebih baik sendirian daripada bersama pasangan yang salah. Macam mana kita nak anak-anak kita, macam tu la kita kena cari pasangan kita.

"Memilih? Wajib pilih dik. Selipar yang pakai kat kaki pun kita pilih berjam, inikan pula pasangan untuk kita hidup selamanya," ujar wanita itu lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia