suria

Suami sakit, isteri kuat semangat jual pisang goreng sambil asuh 2 anak... Paling penting tak harap simpati, tolak disuruh simpan duit baki

Seorang ibu menguruskan anak dan juga bisnes pisang goreng. (gambar hiasan: AZHAR MAHFOF/The Star)

DI sebalik kejayaan suami, tentunya ada isteri di belakangnya yang sentiasa memberi sokongan dan semangat.

Bukan sekadar di saat lelaki berjaya, malah wanita juga ada ketika mereka susah dan sakit.

Mengenai kecekalan wanita, seorang guru berkongsi cerita mengenai seorang penjual pisang goreng.

"Saya beli pisang goreng kat kedai seorang makcik ni. Sambil goreng pisang, dia suap salah seorang anak manakala seorang lagi tengah baca buku.

"Nampak sibuk makcik ni cari rezeki sambil jaga anak dia. Entah macam mana saya tertanya anak dia yang tengah belajar tu 'ayah mana dik?'.

"Dia jawab 'ayah kat hospital bang, kena denggi'. Makcik tadi terus buat isyarat diam kat anak dia," tulis Mohamad Yusof Sulehin di Facebook.

makcik 1

Seorang wanita cekal mengharungi dugaan hidup. (gambar hiasan: foto AZHAR MAHFOF/The Star)

Sewaktu hendak membuat bayaran, guru yang berkhidmat di sebuah sekolah di Pasir Gudang, Johor itu mengambil peluang untuk memberi wang baki kepada wanita itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Rider ibu tunggal lega dibantu langsai ansuran motor, terus beli seekor ayam guna wang lebihan sumbangan RM144... anak dapat makan sedap 2 kali

ARTIKEL BERKAITAN: Duit 'wakaf' dalam bekas tak pernah kurang, cikgu kagum pelajar susah tapi tak tamak... "Ingat kat kawan-kawan saya juga"

"Makcik tu kata 'tak apa dik, selagi mak cik mampu usaha, mak cik usaha dik'.

"Adik simpan duit baki ni bagi pada yang lebih memerlukan ya," ujarnya yang mengimbas kembali perbualannya bersama wanita tersebut.

Respons spontan penjual pisang goreng berkenaan menimbulkan rasa kagum Mohamad Yusof.

Ternyata wanita itu cekal mengharungi kehidupannya meskipun suami yang merupakan ketua keluarga terlantar di hospital.

"Allahuakbar. Hebat makcik ni. Di saat suami sakit, dia tetap cekal mencari nafkah untuk keluarganya.

makcik jual goreng pisang 1

Perkongsian Mohamad Yusof mengenai kisah masyarakat.

"Makcik ni antara jutaan isteri, makcik, cik puan, puan dan semua yang bergelar wanita yang sanggup banting jiwa dan tenaga untuk cukupkan mana yang tak cukup dalam keluarga.

"Tuhan sahaja yang tahu macam mana struggle (perjuangan) kaum perempuan ni dengan penat kerjanya, penat nak urus anak, suami, rumah tangga, sampai kadang-kadang masa rehat atau me time untuk diri sendiri pun mereka ketepikan demi keluarga. Tabik saya buat anda semua," tambahnya.

Untuk rekod, Mohammad Yusof merupakan penerima Anugerah Kebangsaan Ikon Warden Asrama Harian Terbaik Peringkat Kebangsaan sempena Simposium Hal Ehwal Murid Kebangsaan 20221.

Menerusi perkongsian di Facebook, guru itu turut memberi pesanan kepada semua lelaki supaya menghargai kaum wanita sebaik-baiknya.

"Hargailah perempuan walau siapa pun mereka. Isteri, ibu, adik perempuan, makwe, tunang. Perempuan bukanlah untuk disakiti tetapi letakkanlah mereka di martabat yang tertinggi," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain