suria

Monyet ‘bergurau’ kasar! Tak dapat kek marble, loyang pun boleh... Ambil masa 10 minit pujuk minta balik

Seekor monyet melarikan loyang kek milik Farrah Rissa.

LAIN yang dihajati, lain pula dicurinya.

Siapa sangka loyang milik seorang wanita yang digunakan untuk membakar kek dilarikan seekor monyet yang hadir secara berkumpulan.

Menerusi video yang tular, monyet tersebut melarikan loyang kosong sebelum membawa ke atas sebatang pokok yang dipanjatnya.

"Eh loyang aku! Nak makan, makan la. Jangan bawa lari pula loyang aku," kedengaran jeritan seorang wanita di dalam video.

Bercakap kepada mStar, Norfarain Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku di rumah mentuanya di Masjid Tanah, Melaka, baru-baru ini.

monyet curi loyang 4

Kek yang dibakar di dalam loyang.

Kata peniaga kek yang lebih dikenali sebagai Farrah Rissa itu, ketika kejadian dia berada di dapur di belakang rumah bagi menyiapkan tempahan pelanggan.

"Masa tu beberapa kek sudah siap dibakar dan dikeluarkan daripada loyang. Saya kemudian rendamkan air dalam loyang yang dah guna untuk mudah dibasuh.

"Saya nampak sekumpulan monyet datang dekat dapur dan tengok saya buat kerja. Mereka semakin dekat sebelum salah seekornya melarikan loyang saya," katanya kepada mStar.

monyet

Beberapa ekor monyet sering berkeliaran di luar rumah.

Mengenai loyang tersebut, wanita berusia 32 tahun itu memberitahu, ia mungkin dilarikan monyet kerana bau kek yang dibakarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hulur cekodok pisang tapi tak mahu! Pemuda naik geram monyet larikan parcel, rayuan tak diterima... Terpaksa panjat bumbung demi kakak

ARTIKEL BERKAITAN: Sorry, tak minat donat! Gadis panik monyet larikan beg tangan ketika berkelah, sedar-sedar duit jatuh dari pokok

"Loyang tu masih ada bekas kek dan baunya yang kuat, jadi monyet pun terus ambil loyang tu. Saya pula tak sempat nak mengambilnya semula kerana ia berlaku dengan pantas.

"Saya tak nak sergah sebab bimbang monyet ambil apa-apa, sekali betul-betul jadi. Pertama kali berlaku sejak saya buat kek di rumah mentua," ujarnya yang berasal dari Melaka Tengah.

Antara kek yang dijual.

Mengusahakan bisnes kek dari rumah sejak lima tahun lalu, Farrah Rissa memberitahu suaminya yang berusia 35 tahun berada di luar rumah ketika kejadian.

"Monyet-monyet selalu berkeliaran di kawasan kampung termasuk rumah mentua. Tapi saya baru tinggal di sini selepas berkahwin pada Januari lalu, itu yang haiwan tu sedar ada bau kek.

"Suami dah biasa dengan monyet-monyet ni, jadi dia tak takut. Dari bawah pokok suami 'pujuk' monyet tu selama 10 minit sebelum loyang tersebut dilemparkan ke bawah... mungkin monyet tu takut dengan suami agaknya," ujarnya secara berseloroh.

Saya tak nak sergah sebab bimbang monyet ambil apa-apa, sekali betul-betul jadi.

FARRAH RISSA

Walaupun insiden yang dirakamkan tersebut dianggap lucu, namun Farrah Rissa yang menjual kek marble, kek keju, biskut, tart dan sambal ikan bilis berkata, kejadian tersebut begitu mencemaskan.

"Mungkin monyet-monyet tu sebelum ini hanya tengok je, tak larikan loyang pun. Selepas kejadian tu, saya lebih berhati-hati simpan segala peralatan.

"Mujur saya memang simpan semua kek yang dah siap dibakar di tempat yang selamat bertutup. Kalau tidak, kek itulah yang dicurinya," katanya.

Farrah Rissa bersama suami.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen menyifatkan insiden yang menimpa Farrah Rissa sebagai melucukan.

"Ok geng, aku dah dapat loyang. Jom buat kek, nak raya dah ni," komen netizen yang merujuk seolah-olah 'point of view' (POV) seekor monyet.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain