TUGAS seorang suami adalah menjaga dan melindungi keluarganya termasuklah menyediakan tempat tinggal, memberi nafkah dan memastikan isteri dan anak hidup dengan selesa. Walaupun kebanyakan isteri pada zaman sekarang bekerja untuk membantu suami mengukuhkan lagi ekonomi keluarga, tetapi memberi nafkah masih menjadi tanggungjawab suami. Tular di Twitter luahan seorang wanita tentang suaminya yang suka mengungkit nafkah yang telah diberikan kepada keluarga. Tanpa mendedahkan identitinya, dia mengadu berasa tertekan dengan sikap suaminya itu kerana sering mempersoalkan tanggungjawabnya sebagai isteri dan meminta pandangan pengguna Twitter yang lain. "Adakah normal (biasa) untuk suami rasa isteri kena jalankan tanggungjawab masak atau kemas? Sebab suami dah jalankan tanggungjawab sediakan tempat tinggal atau barangan dapur dan gunakan ayat 'saya jalankan tanggungjawab bayar rumah atau barangan dapur. Awak boleh pula bagi alasan letih kalau tak masak atau kemas. Boleh ke saya nak kata saya letih bayar rumah bulan ni, jadi awak bayar pula? Lepas tu kalau jadi macam ni, kita pecah je la bayar rumah dan duit barangan dapur, barulah adil," luahnya, mengimbas kata-kata si suami. Luahan wanita yang dimuatnaik di Twitter Tambah wanita itu lagi, dalam satu keadaan yang mana suaminya lapar, dia meminta lelaki itu untuk makan makanan yang sudah tersedia memandangkan waktu sudah lewat malam. Namun saranannya tidak diendahkan, sebaliknya dia dilabel isteri yang tidak mengenal untung kerana melupakan pengorbanan seorang suami memberi nafkah. "Kalau tengah malam lapar, suami harap saya masakkan. Bila saya minta suami makan apa yang ada, dia marah dan mengaitkan kembali dengan pengorbanan suami dah sediakan tempat berteduh. "Dia gunakan ayat macam ni ke awak layan suami yang sediakan tempat tinggal untuk awak dan jaga awak?" ujarnya. ARTIKEL BERKAITAN: Belum setahun kahwin, suami mahu semua belanja rumah bayar separuh... bila minta nafkah, alasannya dah sediakan keperluan asas ARTIKEL BERKAITAN: Dulu isteri dapat RM10 seminggu je, lepas cerai terus tuntut nafkah tertunggak... Puas hati bekas suami kena bayar hampir RM70,000 Sebagai isteri yang bekerja, dia mengakui adakalanya terpaksa menggunakan khidmat pesanan melalui GrabFood atau Foodpanda kerana tidak mempunyai masa atau penat untuk memasak sejurus tiba di rumah. Sementara itu, pengadu turut memberitahu bahawa suaminya seolah-olah meletakkan urusan keluarga di atas bahunya seorang dan menggunakan alasan 'sama-rata' kerana sudah membayar duit rumah dan sebagainya. Apa yang lebih membuatkan pengadu 'makan hati' apabila dia tidak pernah kedekut dengan suami terutamanya jika keluar membeli barang dan makan bersama. "Kami dua-dua bekerja. Bila balik kerja, saya memang tak sempat dan keletihan nak buat semuanya. Jadi untuk makan malam, saya pesan makanan dan bayar sendiri. "Suami pula memang tegas dan kata dia, urusan rumah suami 20 peratus dan 80 peratus saya (masak, basuh baju dan sebagainya) atas dasar keadilan sebab dia dah bayar duit rumah. "Jujurnya saya tertekan sebab saya bukanlah seorang yang berkira dengan suami. Contohnya keluar dengan suami dan kami beli barang rumah atau minum kopi, saya bayar tanpa tunggu suami keluarkan duit. Isteri bosan dengan sikap suka mengungkit suami. "Kalau teringin makan sesuatu, saya akan cuba masakkan terutamanya pada hujung minggu. Kebiasaannya hujung minggu baru buat apa yang perlu. "Tapi suami rasa benda tu tak adil sebab dia dah bayar tempat tinggal, barang dapur dan nafkah untuk 365 hari atau setahun. Jadi kenapa pula saya ada hari yang tak boleh masak atau kemas?" ujarnya lagi. Bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi bersama suami, wanita itu mahu memberi cadangan kepada suaminya agar bayaran nafkah keluarga dipecahkan kepada dua. Dalam pada itu, pengadu turut bertanya pendapat jika pasangan suami isteri lain turut mengalami masalah sama serta meminta cara menguruskan rumah tangga pada hari bekerja. "Bagi mengelakkan tekanan, saya nak cadangkan untuk kami asingkan atau saya bayar rumah dan barang dapur pula lepas ni. Tetapi sebelum tu saya nak tahu kalau situasi saya dan suami ni perkara biasa macam apa yang pasangan lain rasa. "Mohon tip mudah untuk kemas atau masak pada hari bekerja untuk isteri yang bekerja. Terima kasih," ujarnya lagi. Memetik artikel mStar, menurut Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan, tidak ada perbezaan pandangan ulama' yang mengatakan bahawa harus seseorang isteri itu untuk melakukan kerja-kerja rumah bagi membantu suaminya melainkan para alim ulama' berselisih pandangan adakah ia menjadi kewajipan ataupun tidak. Antara komen netizen pada hantaran berkenaan Pada pandangan mazhab Syafie, Hambali dan sebahagian pandangan dalam mazhab Maliki mengatakan bahawa tidak menjadi kewajiban bagi seorang isteri untuk melakukan kerja rumah akan tetapi yang lebih baik adalah seorang isteri perlu membantu seorang suami dengan melihat adat setempat. Jika adat setempat itu menganggap wanita perlu melakukan kerja rumah seperti membasuh baju, menyapu dan membersihkan rumah maka menjadi keutamaan bagi wanita itu untuk melakukannya. Menjengah ruangan komen, seorang netizen memberi pandangan bahawa melakukan kerja rumah merupakan tanggungjawab suami kerana ia merupakan salah satu daripada nafkah yang telah ditetapkan dalam agama. "Akak cakap dengan suami akak, tugas utama isteri adalah layan suami dan lahirkan anak sahaja. Suami akak ni dimomokkan (tipu helah) dengan budaya Melayu sahaja. Masak apa semua tugas isteri. "Padahal jaga anak masak urus rumah tangga, kerja rumah, cari nafkah itu semua tugas suami. Suruh dia tengok ceramah," komen netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube