suria

“Kesiannya yang bawa RM1 tu” - Abang Kantin ‘next level’ layan murid baru masuk sekolah, tenang ‘handle’ pelajar susah

Lelaki ini sabar mengajar murid-murid cara membeli makanan di kantin sekolah.

SELAIN belajar di kelas, membeli makanan di kantin juga merupakan satu proses pembelajaran untuk murid-murid di sekolah.

Bagi murid yang baru memasuki alam persekolahan, urusan membeli makanan di kantin sudah tentu dirasakan sukar kerana sebelum ini semuanya dilakukan oleh ibu bapa.

Menyedari masalah ini, seorang peniaga kantin membuat persiapan awal apabila dia dilihat begitu bersedia berdepan bermacam ragam murid tahun satu, malah dengan sabar mengajar mereka cara membeli nasi berlauk dan mi goreng yang dijualnya

Tangkap layar video asal yang tular.

Sikapnya yang lemah lembut, bersabar melayan murid-murid dan tidak berkira dalam mencari rezeki menyentuh hati ramai.

Kisah peniaga kantin yang dikenali 'Abang Kantin' ini tular apabila dia berkongsi rakaman video di akaun TikTok @apex.20

Menerusi video itu, Abang Kantin dilihat tidak jemu membantu murid-murid yang masih keliru dengan nilai wang kertas yang diberikan oleh ibu bapa masing-masing dengan harga makanan yang dijual di Sekolah Kebangsaan Haji Salleh Masri, Kedah.

“Ya cheq (awak) nak makan nasi ke mi?

“Nasi RM2. Okay cukup-cukup dua (RM2) sahaja ya,” katanya sambil menunjukkan dua keping not RM1 yang diambil daripada pelanggannya yang merupakan seorang murid perempuan.

Dalam pada itu, terdapat momen menyentuh perasaan apabila dalam ramai-ramai pelanggannya, terdapat seorang budak perempuan hanya membawa RM1 sedangkan harga makanannya adalah RM2.

ARTIKEL BERKAITAN: Makcik kantin ‘next level’, melaram naik pentas perkenalkan diri... Cikgu pula cuak, risau murid keliru - “Takut bertukar, semua gorgeous”

ARTIKEL BERKAITAN: Hari-hari dapat makan percuma, nenek kantin tolak tiap kali hulur duit... Selepas 5 tahun gadis ini buat ‘drama’ air mata

“Adik ada lagi ke RM1? Kalau tak ada, tak mengapa. Ambil dulu makanan ini.

“Esok cakap dengan ibu ayah bawa RM3 ya, RM1 untuk air, RM2 untuk makanan. Yang ni (sambil tunjuk nasi) abang belanja seringgit lagi,” katanya dengan sopan.

Kanak-kanak berkenaan angguk tanda faham sebelum membawa pergi sepinggan nasi walaupun hanya membayar RM1.

Adik ada lagi ke RM1? Kalau tak ada, tak mengapa. Ambil dulu makanan ini.

ABANG KANTIN

Sehingga kini, video tersebut ditonton lebih 800,000 kali setelah disiarkan di TikTok.

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang terharu melihat kebaikan Abang Kantin kerana membantu murid-murid yang memerlukan.

“Tersentuh hati saya tengok adik yang bawa RM1 itu. Mungkin dia dari keluarga yang susah. Teringat waktu kecil dulu. Semoga murah rezeki abang.

“Terima kasih abang sebab jujur dalam berniaga. Budak-budak ini mereka tidak tahu nilai duit, berapa ada dan nak bagi berapa,” komen seorang pengguna.

Komen netizen di TikTok.

“Semoga dimurahkan rezeki abang, lembut betul layan budak-budak itu... syok tengok,” komen warga maya pada video yang dikongsi.

Melalui video berkenaan, dapat dilihat Abang Kantin bukan sahaja mengajar kita tentang perlunya berbagi kasih sayang tetapi juga nilai murni lain seperti lembut dalam tutur kata, menghormati sesama manusia dan amanah dalam mencari rezeki.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain