suria

Bukan besi biasa, tapi ada ‘nyawa’! Anak ambil masa lebih setahun bikin kereta ‘legend’ bapa, tak fikir nak jual walau harga tinggi

Kereta 'legend' bapa yang kini diberi wajah baharu.

KERETA pertama pastinya menggamit 1,001 kenangan, bukan sahaja buat pemiliknya malah orang di sekelilingnya.

Seperti sebuah kereta klasik Volkswagen yang satu ini, ia banyak berjasa kepada sebuah keluarga sejak lebih 30 tahun lalu.

Selepas tiga dekad, anak kepada pemiliknya mengambil inisiatif untuk memberi wajah baharu kepada kenderaan yang mempunyai nilai sentimental itu.

kereta legend ayah 4

Kereta pertama bapa Raja yang dihadiahkan oleh mendiang datuk.

Menurut Yuvaaraja Singam, Volkswagen model 1969 itu merupakan kereta bapanya yang juga hadiah daripada mendiang datuknya pada 1980-an.

Pemuda berusia 32 tahun itu memberitahu, kereta tersebut digunakan bapanya ketika masih bujang untuk berulang-alik ke tempat kerja sebagai mekanik.

"Ia bukan sahaja kereta ayah dari sebelum kahwin, tapi kereta itu juga yang membawa saya pulang ke rumah selepas saya dilahirkan di hospital pada 1991.

"Banyak kenangan, ayah bawa kami sekeluarga berjalan-jalan pusing satu Semenanjung dengan kereta itu," katanya kepada mStar.

Kereta yang memberi nilai sentimental buat Raja sekeluarga.

Lebih mesra disapa Raja, katanya, kenangan paling indah tentang kereta yang diperoleh bapanya pada 1989 itu adalah jasa menjemputnya pergi dan pulang dari sekolah.

"Dari saya masuk tadika sampai darjah lima, ayah hantar saya untuk belajar setiap hari. Pagi ayah hantar, petang jemput saya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bangga jadi generasi ketiga warisi Saga 'legend' atuk, pemuda dedah rahsia kereta usia 33 tahun kekal 'tip top'

ARTIKEL BERKAITAN: Sanggup redah banjir, Datsun keluaran 1976 tetap gah dari Kelantan ke Putrajaya... Pemilik akui tak ada 'feel' naik kereta baharu

"Kereta tu juga dah macam lori. Sebab ayah kerja mekanik, dia letak segala peralatan dan kelengkapan untuk baiki dalam kereta tu sepanjang dia bekerja.

"Kalau tiba-tiba ada kereta lain rosak di tepi jalan atau lebuhraya, ayah sudah sedia dengan 'barang-barang' dia untuk periksa sebelum ke bengkel," ujarnya yang berasal dari Klang, Selangor.

kereta legend ayah 1

Bapa Raja bersama kereta yang dibaik pulih.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, kereta Volkswagen itu kemudian ‘terbiar’ selama kira-kira enam tahun selepas bapanya bersara.

Walau bagaimanapun, katanya, kereta itu sebenarnya masih dalam keadaan baik sekiranya dibaik pulih.

Kereta mungkin boleh ditukar ganti macam tukar baju, tapi kereta ayah lain... legend dan istimewa.

RAJA

"Bermula dari akhir 2021, saya ambil keputusan untuk baiki kereta tu dan ubah suainya untuk kelihatan seperti baharu. Kereta tu dicat, spot rim pun kasi tukar.

"Saya ambil masa kira-kira satu setengah tahun untuk baik pulih. Perubahan lain saya tukar lampu, bahagian tempat duduk dan stereng," tambahnya.

kereta legend ayah 5

Raja (kiri) dan ibu bersama kereta 'legend'.

Raja berkata, kereta itu kini menjadi kegunaannya bersama isteri terutama pada hujung minggu, sekali gus mengembalikan nostalgia ketika bapa dan ibunya baru berkahwin.

Dia yang merupakan pegawai bank turut mendedahkan, nilai kereta klasik itu kini meningkat sehingga ada pihak yang sanggup menawarkan harga tinggi.

"Tapi saya tak jual kerana ia adalah memori untuk kami sekeluarga. Ada yang pernah tawar untuk membeli, siap tanya berapa angka saya mahu jual.

"Kereta tu bukan sekadar besi, tapi ada 'nyawa' sendiri. Kereta mungkin boleh ditukar ganti macam tukar baju, tapi kereta ayah lain... legend dan istimewa," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain