suria

Polis menangis teresak-esak hantar anak masuk asrama, balik rumah cium baju tak tahan rindu - “Malam saya jadi sunyi”

Hazli tidak dapat menahan sebak ketika menghantar anaknya ke sekolah berasrama.

SEORANG bapa berulang kali mencium dan memeluk erat anaknya bagaikan tidak mahu lepas.

Berat hati lelaki itu mahu melepaskan si anak untuk hidup berdikari di asrama.

Video tular menunjukkan lelaki itu menangis sewaktu menghantar anaknya masuk ke sekolah berasrama mengundang sebak netizen.

Mengimbas kembali 'drama' air mata itu, bapa berkenaan, Hazli Husin berkata, dia menghantar anak lelakinya yang berusia 13 tahun untuk masuk ke sebuah sekolah menengah Sains di Perak.

Bapa berusia 40 tahun itu turut memberitahu, kemasukan ke sekolah berasrama itu juga merupakan permintaan anaknya sendiri.

"Dari awal dia yang teringin nak rasai kehidupan di asrama. Mulanya berat juga tapi apabila fikirkan permintaan anak dan masa depan dia, saya dan isteri akur.

"Masa nak hantar tu okay lagi, tak rasa apa-apa. Dah sampai sekolah tiba-tiba perasaan sedih tu datang, memang saya tak dapat tahan (menangis)," katanya kepada mStar.

Hubungan dua beranak ini sangat rapat seperti kawan baik.

Walaupun perjalanan ke sekolah dari rumahnya di Kampar, Perak hanya kira-kira 30 minit, namun Hazli mengakui sukar untuk menerima hakikat berenggang dengan anak sulungnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh Axia tak dikenali 'block' pagar rumah, rupanya 'kerja' anak sendiri... buat kejutan sampai mak ayah menangis

ARTIKEL BERKAITAN: Penuh emosi... 'drama' bapa tahan pintu kereta menangis teresak-esak ketika anak mahu pulang undang air mata - "Masa salam abah nampak okay"

"Ini pertama kali berenggang, 12 tahun tak pernah terpisah atau berjauhan. Saya dan anak pula sangat rapat macam kawan baik.

"Anak saya ni terlalu penyayang dan lemah lembut. Suka bantu saya dan isteri buat kerja rumah, dia memang anak yang ringan tulang," ujarnya yang berasal dari Bachang, Melaka.

Anak sulung Hazli daripada dua beradik.

Menurut bapa kepada dua cahaya mata itu, dia masih bersedih kerana rumahnya kini 'kurang seri' disebabkan ketiadaan anak lelakinya.

"Sampai sekarang memang duduk termenung teringat abang (panggilan anak). Setiap kali rindu, saya tengok video-video anak yang saya rakam.

"Baju terakhir yang abang pakai sebelum saya hantar dia ke asrama pun belum dicuci. Bila rindu, saya cium baju dia," katanya yang tidak dapat menahan sebak.

Hazli bertugas sebagai polis selama 18 tahun.

Tidak dapat mengawal emosi ketika berkongsi cerita, Hazli yang bertugas sebagai polis turut sayu menjalani hari-harinya tanpa ucapan selamat malam daripada anak sulung.

"Dulu sebelum tidur, anak selalu datang dulu peluk papa dia (panggilan bapa), sekarang ni tak ada lagi. Malam-malam jadi sunyi.

Satu perasaan yang tak pernah saya rasa sebelum ni.

HAZLI HUSIN

BAPA

"Sebenarnya saya tegas dan garang di luar rumah. Dengan anak-anak pun saya tegas tapi manjakan mereka," ujarnya sambil menambah dia dan anak lelakinya mengikuti sukan bola sepak dan menyokong pasukan Manchester United serta pemain Cristiano Ronaldo.

Menganggotai badan beruniform itu selama 18 tahun, Hazli berkata, apa yang lebih membuatkan dirinya sayu adalah ketika waktu berbuka puasa tanpa anak sulung.

Hazli mengubati kerinduan dengan mencium baju anaknya.

"Anak saya ni jenis berselera apabila makan, selera dia double. Sejak hari pertama puasa hari tu, dia tak nak beli makanan kat bazar Ramadan, dia lebih suka mak dia yang masak.

"Masakan yang paling dia suka adalah asam pedas, sempat juga dia merasa masa berbuka puasa sebelum masuk asrama. Sekarang ni saya fikir apa yang dia makan, cukup ke dia makan.

"Cerita tentang anak ni terus jadi sensitif, macam hantar dia ke asrama tempoh hari pun satu perasaan yang tak pernah saya rasa sebelum ni, memang sedih. Harap dia baik-baik di asrama," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain