suria

Anak terharu... baru masuk degree, ibu bentang tikar tunggu kelas habis di luar bilik kuliah! Target ‘selempang pink’ untuk mak ayah

Remaja ini terharu kerana ibunya sanggup 'berjemur' untuk menunggunya tamat kelas.

KASIH seorang ibu tiada sempadannya.

Mereka cekal melalui keperitan tidak terperi untuk mengandung selama sembilan bulan dan seterusnya melahirkan zuriat yang amat disayangi.

Asilah Wanie, 23, menjadi saksi kepada keprihatinan dan pengorbanan ibunya yang tiada tolok bandingannya.

Melalui satu video yang tular di TikTok, Wanie baru sahaja selesai hadir kelas pertama pengajian peringkat sarjana mudanya apabila melihat si ibu sedang setia menunggunya di atas hamparan tikar mengkuang.

"Saya ambil jurusan Degree Business Admin and Human Resource di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Kuala Selangor, mod pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PJJ).

"Kelas saya yang fizikal hanya sekali setiap dua minggu. Ini kelas fizikal pertama untuk semester satu saya. Keluarga datang teman sampai ke sini dari rumah kami di Kuantan, Pahang.

ARTIKEL BERKAITAN: Lakonan ‘runner’ kek menjadi! Anak dari NZ pulang buat kejutan untuk mak ayah, dalam bersedih sempat kena lepuk sekali dengan ibu

ARTIKEL BERKAITAN: Dua pelajar yatim piatu menangis ada insan sudi lawat di asrama, sebelum ni cuma mampu tengok rakan lain dilawati mak ayah

"Family ikut sebab mereka tak yakin lagi nak bagi saya travel jauh-jauh berseorangan, semester yang seterusnya mungkin mereka dah okay," kata Wanie.

Menurut Wanie, pada mulanya ibu bapa dan adik-beradiknya merancang untuk bersiar-siar di sekitar Puncak Alam bagi mengisi masa lapang sementara menunggu dia menghadiri kelas selama dua jam.

"Ibu saya mula-mula cakap nak pergi cari barangan raya macam langsir semua tu sementara saya masuk kelas. Tapi apabila saya keluar, nampak ibu duduk tunggu di bawah pokok.

"Ibu saya tak kisah sangat menunggu tu sebab dia memang suka vibes macam dekat kampung ni.

ASILAH WANIE

"Rupa-rupanya mereka tak keluar pun dari kampus, mereka cuma pergi solat dekat surau universiti sekejap kemudian terus datang balik ke fakulti untuk tunggu saya habis kelas.

"Mereka tak jadi keluar sebab takut jalan sesak memandangkan waktu itu hari Ahad. Mereka risau saya terpaksa tunggu lama untuk mereka ambil saya semula selepas tamat kelas.

"Tikar yang mak saya hampar tu kami memang bawa sebagai persediaan kalau kena buka puasa mengejut tepi jalan," ujar Wanie.

Wanie mengakui berasa terharu kerana ibunya sanggup berada di dalam kampusnya sebegitu lama semata-mata mahu menjemputnya selepas kelas selesai.

Wanie (tiga dari kiri) bergambar bersama ahli keluarganya.

"Saya memang gembira bila habis kelas nampak keluarga dah siap tunggu. Saya rakam video itu sebagai kenangan sebab ini kelas fizikal pertama saya untuk degree.

"Ayah saya tunggu di dalam kereta dan ibu saya dengan adik-beradik yang lain duduk di atas tikar yang dibentangkan di luar.

"Ibu tak kisah sangat menunggu tu sebab dia memang suka vibes macam dekat kampung ni, angin sepoi-sepoi bahasa dengan pokok yang rimbun di atas kepala.

"Kami datang tu balik hari, jadi selepas saya habis kelas memang terus beransur pulang ke Kuantan. Kami berbuka puasa di Genting Sempah," cerita Wanie.

Wanie bergambar bersama ibunya ketika Istiadat Konvokesyen di UiTM Shah Alam.

Berbicara mengenai mod pengajian PJJ, Wanie berkata dia sudah mempunyai pekerjaan tetap selepas tamat diploma tetapi menyambung pengajian ke peringkat sarjana muda atas permintaan ibu bapanya.

"Saya diploma dulu di UiTM Shah Alam, jurusan Seni Lukis dan Seni Reka Media Digital.

"Selepas habis diploma saya bekerja dalam bidang perkeranian dengan satu syarikat yang agak ternama juga, saya dah selesa sebab boleh ada duit sendiri dan berniat nak teruskan sahaja.

"Tapi ibu bapa saya ada simpan harapan untuk saya, saya ni anak sulung dan adik yang bawah saya berjaya sambung degree di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Wanie bertekad untuk membanggakan ibu bapanya ketika pengajian di peringkat sarjana muda.

"Jadi parents teringin nak tengok saya melanjutkan pengajian ke peringkat yang sama seperti adik saya. Mereka nasihat kalau sayang nak lepaskan kerja boleh buat degree secara part-time iaitu PJJ," terang Wanie.

Menyedari pengorbanan ibu bapanya, Wanie berkata dia mempunyai rasa tanggungjawab untuk membanggakan keluarganya.

"Saya waktu diploma dulu tak ada rezeki nak dapat 'selempang pink' iaitu Anugerah Naib Canselor (ANC), jadi saya beritahu ibu saya untuk degree ini saya akan cuba dapatkan.

"Saya akan berusaha sehabis baik untuk mengukir senyuman di riak wajah mereka," ujar Wanie menoktahkan bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain