suria

‘Wajib’ kirim kad raya untuk Sultan Brunei sebab seronok dapat balasan, sejak kecil dah karang ayat guna bahasa istana - “Kami juga sempat minta duit raya”

Lelaki ini menerima kad ucapan Hari Raya Aidilfitri daripada Sultan Brunei.

SIAPA sangka rakyat jelata juga boleh menghantar kad ucapan Hari Raya Aidilfitri kepada kerabat diraja.

Menerusi satu ciapan tular di laman Twitter, seorang lelaki mendedahkan bagaimana dia berbalas surat dengan pihak istana Kesultanan Brunei.

Amir Oman Hafiz, 31, berkata dia menjadikan perutusan surat dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sebagai satu hobi dan menyimpan surat balasan yang diterima sebagai koleksi.

Kad ucapan Hari Raya Aidilfitri daripada Sultan Brunei.

Kisahnya ternyata menarik perhatian warga maya kerana mereka berpandangan menerima surat daripada seorang sultan merupakan satu penghormatan terbesar.

"Ceritanya macam ni, saya dengan adik memang dari kecil suka hantar kad raya dekat orang. Mula-mula start dalam circle keluarga kami macam atuk, nenek dan saudara semua.

"Ramadan kami akan dipenuhi dengan aktiviti menghantar kad raya sebagai persiapan untuk Syawal. Seterusnya kami cuba hantar kepada kenalan keluarga sebab family saya ni ada ramai kawan.

"Kami didedahkan dengan culture kad raya ini sejak usia kecil. Tiba satu masa tu, waktu tahun 2003, adik saya dapat idea selepas tengok berita pasal Sultan Brunei, kami nak hantar kad raya dekat istana baginda.

ARTIKEL BERKAITAN: Wah, pengantin ini bertuah lagi! TV pemberian Agong yang pertama akan dibawa masuk ke rumah baharu

ARTIKEL BERKAITAN: Hadiah perkahwinan terhebat sampai tak boleh move on! Pengantin tak sangka berdepan Agong, 800 tetamu pun dapat kejutan tak dirancang

"Mak tolong carikan alamat untuk istana Sultan Brunei sebab waktu tu tak ada akses internet," kata Oman ketika dihubungi mStar.

Setelah berjaya memperoleh alamat istana Sultan Brunei, maka bermulalah proses untuk mengarang ucapan kad Hari Raya Aidilfitri kepada figura istimewa ini.

ujang

Salah satu koleksi kad ucapan Hari Raya Ujang -Gambar Hiasan

"Kami beli kad ucapan hari raya waktu itu dari kedai buku sekeping harga 50 sen yang bertemakan majalah Ujang dan Usop Sontorian.

"Waktu itu kami masih kecil lagi tapi kami ada belajar bahasa istana dari filem-filem Allahyarham P Ramlee. Cara nak merafak sembah kepada sultan pun kena ada caranya.

"Kami kuasai kosa kata bahasa istana, contohnya 'ampun tuanku, beribu-ribu ampun' dan 'sembah patik'. Kami tulis pakai tangan je. Kami juga sempat selitkan nak minta duit raya daripada Tuanku tapi setakat hari ni masih belum dapat lagi.

Bila dapat reply daripada Sultan Brunei kami memang melonjak kegirangan. Gembira tak tersangka.

AMIR OMAN HAFIZ

"Kami waktu tu budak-budak lagi dan penggunaan bahasa istana kami tak la betul sangat kalau diimbas balik sekarang," kata Oman.

Oman seterusnya menggambarkan keturajaannya yang tidak terhingga apabila berjaya menerima kad ucapan balas Hari Raya Aidilfitri daripada Sultan Brunei.

"Bila dapat reply daripada Sultan Brunei kami memang melonjak kegirangan. Gembira tak tersangka. Kami kalau hantar kad raya dekat kawan pun belum tentu mereka nak balas. Pantun yang kami bagi biasanya tergantung sepi.

"Tapi bila kami bagi kad raya dekat Sultan Brunei dan dapat reply, kami bangga yang teramat. Kami sedia maklum yang bagi kad raya tu bukanlah dari Sultan Brunei personally tapi pihak istana yang mewakilinya.

Menerima surat daripada kerabat diraja adalah sesuatu yang sangat mengujakan.

"Cuma pada saya ia masih sesuatu yang istimewa, lebih-lebih lagi dekat sampul surat tu ada tulis 'Yang Mulia', lepas tu ada cap mohor istana, tambah lagi ditampal dengan setem khas Sultan Brunei.

"Kami tayang sampul surat tu dekat satu family. Sejak tu dah jadi rutin untuk saya hantar kad raya kepada Sultan Brunei setiap tahun dan pihak istana mesti akan balas punya. Saya kumpul setiap kad ucapan tu jadi koleksi," ujar Oman.

Oman bagaimanapun masih belum mencuba untuk menghantar kad ucapan Hari Raya Aidilfitri kepada Kesultanan Melayu di Malaysia.

"Saya setakat ni belum hantar lagi kad ucapan Hari Raya Aidilfitri kepada Sultan Kedah ataupun Johor. Tapi kita boleh cuba buat dan sepatutnya mereka akan balas, alamat surat-menyurat istana pun kita boleh dapatkan di internet.

Warna kuning diraja pada sampul surat Sultan Brunei yang diterima Oman.

"Setiap istana mesti ada jabatan perhubungan awam mereka sendiri yang berurusan dalam hal ini bagi pihak sultan.

"Boleh cuba dan kalau ada rezeki, dalam postbox kita nanti boleh ada surat daripada sultan. Seronok sangat, kena dapat sendiri surat tu baru boleh tahu rasanya macam mana," ujar Oman.

Menutup bicara, Oman berharap amalan menghantar kad Hari Raya Aidilfitri dapat dihidupkan kembali walaupun kini platform digital menjadi pilihan.

"Sejak ada WhatsApp dan komunikasi elektronik ni, saya boleh katakan amalan kad ucapan Hari Raya Aidilfitri sudah hampir pupus.

"Saya harap boleh kita teruskan lagi culture ini kerana ia adalah sesuatu yang nostalgia. Meriahkan kembali sambutan Syawal," ujar Oman.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain