suria

Freestyler bola terkilan hajat bapa tak kesampaian, meninggal selepas hantar mesej ‘nak tengok show’ - “Tak terfikir nak ajak ayah”

Zeem terkilan apabila bapanya tidak sempat mengadiri persembahannya baru-baru ini.

PEMAIN street soccer dan freestyler terkenal, Zeem Ahmad meluahkan rasa terkilan apabila hasrat terakhir bapanya tidak sempat ditunaikan.

"Ayah aku nak sangat tengok show aku hari tu. Tapi aku tak sempat. Dan malam tu orang jumpa dia pengsan. Sembilan hari lepas tu dia meninggal.

"Aku tak sempat cakap apa-apa. Mulai sekarang, setiap show aku, aku buat untuk dia. Al-Fatihah," ciap Zeem menerusi Twitter.

zeem2

Bapa Zeem menghidap asma sejak dua tahun lalu.

Ketika dihubungi mStar, Zeem berkata bapanya iaitu Ahmad Fadlullah Suhaimi atau lebih dikenali sebagai AzmieTshirt menghembuskan nafas terakhir pada 5 Mac lalu.

"Pada hari kejadian, dia WhatsApp saya kata nak datang tengok show. Tapi saya kata show dah habis masa tu. Kemudian adik call ayah, ada orang angkat panggilan. Rupanya ayah pengsan selepas dia makan kat kedai mamak.

"Selepas itu, ayah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Kuala Lumpur. Ayah kritikal dan meninggal dunia sembilan hari kemudian. Sepanjang di ICU ayah memang tak sedar," ujarnya.

Paling terasa bila berbuka puasa. Kali ini rasa berbeza, rasa sunyi bila tengah ramai orang sebab dia seorang yang tak ada.

ZEEM AHMAD

Menurut Zeem, bapanya yang berusia 67 tahun tidak mempunyai sakit yang kronik, sebaliknya baru sahaja menghidap asma sejak dua tahun lalu.

Bercerita lanjut, Zeem berkata dia sedih apabila hasrat terakhir bapanya untuk melihatnya membuat persembahan tidak dapat direalisasikan.

Tambah Zeem lagi, arwah merupakan tulang belakang dalam setiap bidang yang diceburinya dan sentiasa memberikan sokongan penuh sejak dulu sehingga kini.

ARTIKEL BERKAITAN: Makin menjadi-jadi sejak ‘dapat kaki’! Handal lambung botol air, tendang bola pun padu... patutlah coach bukan calang-calang - “Malulah kalah dengan anak”

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga pemuda beranikan diri timang bola di tengah jalan... ramai terpukau, ada yang bitter - “Mungkin rakyat negara kita belum bersedia...”

"Saya anggap show saya ni sebagai benda biasa saja. Ia kerja saya. Jadi tak selalu la saya ajak ayah. Tak terfikir nak ajak dia. Tapi tak tahu pula dia nak tengok.

"Tapi pernah la dia datang tengok saya buat show. Itu pun pada tahun 2018. Sebab benda ni rutin kerja, takkan la dia nak datang setiap show. Cuma kadang-kadang kalau ada show luar negara, dia akan hantar ke airport.

"Dia sangat supportive. Dulu saya minat skateboard, dia bagi sokongan penuh. Lepas tu saya buat bisnes pun dia selalu push. Bila saya jadi freestyler, lagi dia sokong sebab dia pun minat bola.

zeem3

Zeem ketika menziarahi bapanya di HKL.

"Masa ayah di ICU tempoh hari, saya ada satu show yang perlu dilunaskan. Masa tu memang rasa terganggu emosi. Dalam keadaan dia nazak, saya kena buat show," ujarnya lagi.

Tambah Zeem, Ramadan dan Syawal kali ini ternyata kurang seri memandangkan insan paling penting dalam keluarganya itu telah pergi buat selama-lamanya.

"Ayah suka kalau ada ramai. Paling terasa bila berbuka puasa. Kali ini rasa berbeza, rasa sunyi bila tengah ramai orang sebab dia seorang yang tak ada.

zeem5

Zeem merupakan freestyler bola profesional yang banyak membuat persembahan di dalam dan luar negara.

"Raya tahun ini mungkin tak ke mana. Mak pun dalam idah. Jadi kami tak balik kampung. Hari pertama raya pun saya ada show di Kuala Lumpur," ujar anak keempat daripada lima beradik itu.

Menurut Zeem lagi, bapanya juga sama seperti kebanyakan bapa di luar sana yang jarang menzahirkan perasaan dalam bentuk kata-kata.

"Saya tahu betapa bangganya dia dengan saya. Sampai kat hospital, kawan-kawan dia datang cari saya. Rupanya dia selalu cerita tentang saya pada kawan-kawannya," ujarnya lagi.

Untuk rekod, Zeem yang berpengalaman lebih 10 tahun sebagai freestyler pernah mendapat liputan mStar sebanyak dua kali pada tahun 2020 dan 2021.

Selain membuat persembahan dalam dan luar negara, bakat serta kepakaran Zeem turut ditagih dan dia kini turut bergelar jurulatih dalam bidang itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain