BAGAI nak luruh jantung. Begitulah reaksi seorang wanita apabila anak bongsunya yang berusia setahun tiba-tiba hilang di kediamannya di Bandar Sri Damansara, Selangor, pada 28 Mac lalu. Menurut Betty Diana Rasul Khan, 40, dia yang sedang memasak di dapur mendapati anaknya hilang secara tiba-tiba, malah pintu kediamannya juga kelihatan terbuka. Betty bersama suami dan anak-anaknya. "Masa tu saya berada di rumah dengan anak-anak dan mak saya. Mak saya dari Johor. Dia pertama kali datang ke rumah saya. Jadi pagi tu, adik lelaki dan isterinya datang rumah saya. Mereka nak jumpa mak. "Masa adik lelaki dan isterinya nak balik, mak yang escort mereka. Saya fikir nanti mak akan kunci pintu jeriji. Saya pun buka TV untuk baby Zafry dan terus pergi ke dapur. Saya nak masak untuk anak seorang lagi tengah demam. "Tak sampai lima minit, saya keluar balik ke ruang tamu. Saya tengok pintu jeriji dah terbuka, pagar luar pun terbuka. Saya masuk tanya mak, baby ada kat mana? Mak pun tak tahu," ujarnya mengimbas semula kejadian itu. Saya ni sebenarnya sangat peka bab kunci pintu. Cuma hari tu saya biarkan pintu sebab mak ada di rumah. BETTY DIANA RASUL KHAN Menurut Betty, dia dan ibunya terus menggelabah apabila gagal mencari si kecil itu di dalam kediaman tersebut, malah mereka turut berlari keluar untuk memeriksa kawasan sekitar. "Terus kami berdua keluar rumah. Masa tu saya dan mak tak sempat pakai selipar dan tudung. Saya dengan mak berusaha cari baby kat luar rumah. Saya takut baby kena langgar. "Siap cari dalam longkang, saya fikir dia jatuh dalam longkang selepas keluar sendiri dari rumah. Tapi dalam longkang pun tak ada. Saya syak dia kena culik," kata Betty lagi. ARTIKEL BERKAITAN: Anak disangka hilang dibawa ke Australia, kering air mata wanita ini 8 tahun menanggung rindu... benarlah doa ibu tiada hijab ARTIKEL BERKAITAN: “Saya ada pengalaman anak hilang” - Wanita mohon maaf rakam detik budak jatuh gelongsor, dibiar bermain seorang diri di taman permainan Ketika dia dan ibunya sedang berada di luar rumah, Betty melihat kereta dinaiki adiknya sedang bergerak menuju ke kawasan itu. Kata Betty, dia yang sedang ketakutan bagaimanapun bertukar lega selepas melihat si bongsu itu berada dalam pangkuan adiknya sendiri. "Masa tu saya menggelabah nak masuk dalam rumah untuk call orang, tiba-tiba saya tengok kereta adik datang balik. Saya baru je nak maklumkan pasal baby hilang, dia buka tingkap, saya tengok baby di ribanya. Zafry diletakkan di ruang tamu sebelum dia 'diculik' oleh bapa saudaranya. "Tapi sempat la marah. Sebab kita pun tengah gelabah. Adik kata dia saja nak buat prank. Dia culik baby tu sebab saya tinggalkan baby kat ruang tamu rumah. Dia nak kenakan saya sebab tak kunci pintu," ceritanya lagi. Betty turut berkongsi kisah 'prank culik' yang berlaku terhadapnya menerusi video di laman TikTok, namun dia turut menerima banyak kecaman netizen sehingga dituduh sebagai ibu yang cuai. "Saya niat nak kongsi cerita yang saya dikenakan oleh adik. Tapi ada sesetengah netizen tak baca habis, mereka kecam saya. Tapi saya tak menyesal pun kongsi video di TikTok. "Saya harap ia membuka mata orang di luar sana untuk sentiasa berhati-hati. Ramai yang boleh ambil pengajaran daripada kisah ini. Tiga cahaya mata yang menjadi penyeri hidup Betty. "Saya ni sebenarnya sangat peka bab kunci pintu. Cuma hari tu saya biarkan pintu sebab mak ada di rumah. Tapi saya pun lupa, mak baru pertama kali datang sini. Dia tutup, tapi tak kunci," ujar peniaga char kuey teow itu. Selain si bongsu yang berusia setahun, Betty mempunyai dua lagi cahaya mata berusia sembilan dan enam tahun, Video kes culik yang dikongsi Betty di TikTok turut meraih lebih 900,000 tontonan setakat ini. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube