suria

Licik, dalam diam PA ‘miskinkan’ majikan! Jual emas, beg mewah berjoli sakan siap beli kereta - “Satu pun dia tak tinggal”

Nora mengalami kerugian lebih RM345,000 kerana percayakan pembantu peribadinya.

BAGAIKAN sudah jatuh ditimpa tangga.

Gara-gara percayakan seorang pembantu peribadi (PA), wanita ini mengalami kerugian besar sekelip mata.

Menceritakan kisah pahit yang berlaku, Nooridah, 30, tidak menyangka pembantu peribadi yang amat dipercayai sanggup mengkhianati dirinya.

“Sebelum kahwin pada 2016 saya bekerja sebagai kerani. Tapi lepas sudah berumah tangga saya berhenti kerja dan buka sebuah spa kecantikkan saja.

"Dia bekerja dengan saya sebagai personal assistant sejak 2021. Mula-mula memang kami rapat macam keluarga. Dia pun tak nampak macam penipu atau ambil kesempatan. Dia sangat baik.

“Saya pergi mana pun dia ada dan mudahkan segala urusan saya. Keluarga dia pun dah macam famili sendiri. Anak-anak pun dah macam anak saya sendiri,” katanya ketika dihubungi mStar.

Lebih mesra disapa sebagai Nora, wanita ini turut menceritakan secara terperinci kejadian melibatkan pembantunya itu di Facebook miliknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Duit anak hilang, barang kemas ibu pula lesap... Penghuni rumah terkejut muncul kelibat ‘budak kecil’

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri hilang 3 hari akhirnya terjawab... lelaki maut akibat renjatan elektrik, tidur di sebelah telefon dicas

Dia yang menetap di Melaka Tengah, Melaka, berkata jumlah kerugian dialami adalah melebihi RM345,000 melibatkan kehilangan barangan mewah seperti empat beg berjenama Louis Vuitton dan Bonia serta barang kemas.

“Sampailah hujung bulan tahun 2022, saya ada masalah rumah tangga. Saya dapat surat daripada peguam yang benarkan untuk keluar rumah sebab dah tak bersekedudukan dengan suami.

“Masa tu saya tak ada rumah sebab keluarga jauh di Sabah. Saya cuma ada dia dan keluarga dia saja masa tu. Jadi saya pindahkan semua barang mahal dan emas seberat 1 kilogram (RM300,000) dan beberapa barang lain.

“Saya percayakan dia jadi saya minta dia jagakan semua barang tu sebab saya tak ada orang lain dekat sini. Saya pesan dekat dia kalau dah ada rumah nanti saya akan ambil balik semua hak dan harta saya.

Barang kemas milik Nora bernilai sekitar RM300,000 dijual oleh pembantu peribadinya.

Namun, apabila melihat kemewahan melampau pembantunya itu, dia mula berasa pelik dan kepercayaan Nora yang berasal dari Sabah ini terhadapnya mula berkurang.

“Setelah beberapa hari saya beri dia pegang barang-barang tu, nampaklah dia semakin berduit. Bawa duit tebal-tebal sampai puluhan ribu. Apabila ditanya dia cakap jual tanah bapanya. Apabila ditanya sekiranya dia jual barang kemas saya, dia tak mengaku dan anggap saya tuduh dia.

“Tapi perkara ni kantoi pada hujung Februari ketika saya berada di Sabah dengan dia. Masa tu saya suruh dia pulangkan barang-barang saya sebab nak pakai. Saya pun dah ada rumah jadi saya perlukan barang-barang semua.

Saya beritahu yang saya nak semua barang tu sebab nak buat modal buka bisnes spa. Dia berdalih dengan beri alasan yang dia akan jual tanah ibu bapa.

NOORIDAH

“Apabila saya minta, dia berdalih. Barang saya dah tak ada dengan dia. Katanya dia simpan dengan mak long (ibu saudara) di Melaka Tengah. Tapi saya dah pesan kalau balik (Melaka) nanti saya nak barang-barang tu,” kata Nora lagi.

Setelah pulang ke Semenanjung, wanita terbabit berdalih lagi dengan Nora.

Ketika itu, ibu kepada dua cahaya mata ini mula berasa tidak sedap hati dan terfikir orang yang dipercayainya selama ini mungkin mengkhianatinya.

“Apabila sampai di Semenanjung saya bawa dia pergi rumah mak long tu. Bila sampai dia cakap mak long tak ada dengan keadaan takut. Saya cakap saya sanggup tunggu. Call mak long sekarang,” imbas Nora.

Setelah lama berdolak dalih, tiba-tiba wanita itu mengajak Nora berbincang tentang satu masalah di sebuah restoran makanan segera.

Antara tangkap layar harga beg mewah milik Nora.

Ketika itu, Nora sudah mula merakam perbualan mereka supaya ia boleh dijadikan sebagai bahan bukti sekiranya dia tidak mahu bertanggungjawab atas apa yang terjadi.

Apabila ditanya beberapa kali, barulah wanita terbabit mengaku bahawa dia telah menggadaikan semua barang kemas milik Nora.

“Saya beritahu yang saya nak semua barang tu sebab nak buat modal buka bisnes spa. Dia berdalih dengan beri alasan yang dia akan jual tanah ibu bapa. Tapi saya tahu semua tu alasan saja. Realitinya dia tak ada harta. Tapi saya masih percayakan dia masa tu.

“Pada mulanya saya tak nak besarkan isu ni lagipun dia antara orang yang rapat dengan saya. Saya tak nak disebabkan perkara ni akan memalukan dia. Jadi saya bagi dia peluang lebih satu bulan untuk dapatkan semula barang yang digadai.

“Sampai habis bulan Mac saya tunggu masih tak ada respons. Saya dah hilang sabar jadi saya buat laporan polis pada awal bulan April ni,” kata Nora yang kecewa dengan apa yang telah berlaku.

Nora akui kecewa dengan sikap pembantu rumahnya.

Akur dengan keputusan Nora, pembantunya hadir ke balai polis untuk mengaku segala kesalahannya menjual harta yang diamanahkan untuk disimpan.

Namun, setelah beberapa hari peluang diberikan oleh pihak polis, dia masih tidak menunaikan janji untuk membayar semula wang Nora.

Malah, dia berjaya melarikan diri sehingga ke Negeri Sembilan sejurus waran tangkap terhadapnya dikeluarkan.

Menurut Nora, wanita itu yang sudah berkahwin dan memiliki anak ini bagaimanapun berjaya direman di balai polis sehingga kini.

“Segala bukti transaksi dia gunakan duit untuk beli barang ada pada saya. Dia beli kereta baharu, iPhone, beli emas dan banyak lagi. Padahal dulu alasan dia jual barang saya sebab nak hantar ibunya pergi tunaikan umrah.

Barang perhiasan dikumpul Nora selama ini turut digadaikan.

“Saya ni terlalu baik dengan dia dan famili. Dia asalnya orang susah. Dulu saya bagi dia tempat tinggal, kerja gaji setiap bulan, nak apa pun saya bagi.

“Rupanya saya bukan mangsa pertama dia. Sebelum ni dia ada pecah amanah juga. Main kutu pun dia ada menipu pekerja-pekerja kilang tempat dia kerja dulu,” dakwa Nora.

Menurut Nora, walaupun terkilan dengan apa terjadi dia masih ada rasa simpati terhadap wanita tersebut.

Dalam masa sama, insiden ini juga merupakan satu ‘tamparan’ untuk dirinya supaya lebih berhati-hati dalam menilai dan mempercayai orang lain.

"Jujur cakap saya tak benci dia cuma kecewa dia aniaya saya sampai saya jatuh terduduk. Satu emas saya dia tak tinggalkan.

"Jujur saya cakap sayang dia, rindu dia... takkan pernah lupa kebaikan dia, dia banyak mudahakan urusan saya walaupun kami baru saja rapat tapi banyak kenangan manis pahit selama kenal dia.

"Cuma saya kecewa dalam baik-baik dia ada niat tak baik, sampai saya jadi miskin sekelip mata.

"Sebab tu saya bagi dia masa untuk settle hal ni tanpa melibatkan polis, peluang yang saya bagi dia sia-siakan macam tu, air mata saya sampai kering sebab perbuatan mereka laki bini," kata Nora dalam satu perkongsiannya di Facebook.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain