suria

Cerita pasal sedekah, makcik lesap dari kedai! Tiba-tiba muncul semula bawa sebotol sirap bersama hajat - “Rasa nak menangis saya”

Seorang guru berkongsi kisah seorang makcik dengan sebotol sirap. -Gambar sekadar hiasan

RAMAI yang berlumba-lumba mengejar pahala Ramadan dengan berbuat kebaikan.

Maka tidak hairanlah jika kita sering melihat kebaikan atau perkara positif di mana-mana, pada bila-bila masa ketika bulan puasa.

Begitulah juga dengan satu pertemuan tidak dirancang yang berlaku di sebuah pasar raya dan seorang guru menyaksikan sesuatu yang tidak disangka.

Menerusi perkongsian guru berkenaan, Mohamad Yusof Sulehin, dia menceritakan pengalamannya pergi membeli barang-barang keperluan untuk disumbangkan kepada golongan asnaf.

Menurut guru sekolah berasrama itu, di premis itu jugalah dia bertemu dengan seorang wanita.

"Semalam saya beli barang asnaf. Sampai kat bahagian sirap, saya beli semua mana yang ada. Masa saya beli tu ada seorang makcik nak beli sirap juga.

"Dia nak ambil dua botol. Tengok troli saya penuh dia tanya Beli banyak-banyak buat apa dik?. Saya beritahu nak bagi kat orang susah," tulisnya di Facebook Muhammad Yusof.

Perkongsian di laman Facebook.

Selepas menjawab pertanyaan tersebut, guru yang berkhidmat di Pasir Gudang itu memaklumkan wanita itu kemudian hilang dari pandangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Guru belajar sesuatu selepas kena 'tazkirah' dengan murid sebab berlengah bantu kucing! Pagi 'terbang' RM120, malam dapat RM1,200

ARTIKEL BERKAITAN: Duit 'wakaf' dalam bekas tak pernah kurang, cikgu kagum pelajar susah tapi tak tamak... "Ingat kat kawan-kawan saya juga"

Namun, kata Mohamad Yusof, wanita itu muncul semula dan mendekatinya sambil membawa plastik kecil.

"Makcik tu datang semula kat saya bagi plastik kecil. Dia beritahu Dik, makcik nak bagi duit banyak makcik tak mampu, makcik nak bagi sebotol sirap ni untuk orang susah boleh tak?" ujar guru itu yang mengimbas kembali perbualan mereka berdua.

Nak sedekah tak perlu tunggu kaya, terus berbuat baik.

NETIZEN

Menurut guru berkenaan, pertanyaan wanita itu ternyata mengundang sebak.

"Allahuakbar, rasa nak menangis saya masa tu. Dia terus letak sirap dalam troli saya.

"Semoga syurga buatmu, makcik," kata Mohamad Yusof yang merupakan penerima Anugerah Kebangsaan Ikon Warden Asrama Harian Terbaik Peringkat Kebangsaan sempena Simposium Hal Ehwal Murid Peringkat Kebangsaan 2021.

Mohamad Yusof berkongsi kisah kemasyarakatan. foto Facebook Muhammad Yusof

Ini bermakna sebotol daripada dua botol sirap yang sebelum ini diambil wanita itu dari rak telah disedekahkan untuk golongan asnaf, manakala sebotol lagi untuk dirinya sendiri.

Menerusi ruangan komen di Facebook Muhammad Yusof, rata-rata netizen kagum dengan kemuliaan hati wanita itu walaupun dirinya sendiri tidak hidup senang, tapi masih mahu bersedekah.

"Alhamdulillah syukur makcik. Semoga Allah memberi rezeki berlipat ganda buat makcik. Amin.

"Nak sedekah tak perlu tunggu kaya kan cikgu. Terus berbuat baik cikgu. Allah SWT sedang melihat kita. Orang-orang susah juga ujian untuk kita yang ada sikit kesenangan ni.

"Dalam rezeki kita ada rezeki orang lain. Tahniah atas usaha murni tuan dan makcik. Semoga dipermudah urusan dan selalu dalam lindungan Allah SWT. Amin," komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain