suria

Tangan, kaki terlipat ke belakang... ramai sebak tengok OKU berguling ke masjid - “Di akhirat nanti berlari selaju kilat”

Pemuda OKU ini dipuji kerana tidak menjadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk menjadi muslim yang baik.

VIDEO memaparkan Orang Kelainan Upaya (OKU) di Kelantan yang terpaksa berguling untuk masuk ke dalam masjid ternyata menjentik emosi netizen.

Dalam keadaan serba kekurangan, dia yang mengalami cacat pada bahagian kaki dan tangan kelihatan bersemangat untuk menunaikan ibadah bersama jemaah lain.

Menurut Nasrul Mohamed, 47, yang memuat naik video itu, dia pernah melihat pemuda berkenaan pada 2019 sebelum dipertemukan sekali lagi pada Khamis.

"Video itu dirakam di Masjid Kubang Kerian pada Khamis. Saya pernah nampak dia pada 2019. Kemudian pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya lama tak nampak dia.

"Ketika pergi tarawih pada Khamis, baru saya nampak dia balik. Dia ada kaki dan tangan, tapi kakinya terlipat ke belakang. Jadi dia bergerak dengan cara berguling.

"Kalau nak pergi masjid, dia tumpang orang. Bila sampai masjid, dia akan berguling. Itu cara yang dia selesa sejak kecil lagi," ujar Nasrul ketika dihubungi mStar.

Dia memang selesa macam tu. Dia lebih cepat dengan cara itu, dia sendiri pun tak perlukan kerusi roda.

NASRUL MOHAMED

Menurut Nasrul yang menetap di Bachok, dia sempat berborak dengan pemuda OKU itu, namun tidak bertanya lanjut tentang perihal peribadinya.

"Saya sempat berborak dengannya, tapi tidaklah berborak panjang sebab dah nak solat. Saya tanya umur, katanya umur dalam lingkungan 30-an. Dia tinggal di mana, kerja apa, saya tak tanya.

"Bila tengok dia, saya rasa kagum. Kalau dia boleh datang masjid, takkan kita tak boleh datang? Dia memberi inspirasi agar kita pun rajin datang ke masjid.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda OKU naik ‘skateboard’ jadi pelakon! Seronok dapat jumpa Ezad Lazim, InTeam - “Dah lama tunggu orang ambil saya berlakon”

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan OKU tak mahu menempel di Masjid Jamek, guna kerusi roda jadi ‘modal’ simpati... “Beli la sebab produk, bukan kesian”

"Dalam pertemuan itu, saya pun tak bantu angkat dia, saya memang tak boleh angkat. Lagipun dia memang selesa macam tu. Dia lebih cepat dengan cara itu, dia sendiri pun tak perlukan kerusi roda," jelas Nasrul lagi.

Dalam pada itu, video pemuda berkenaan yang dikongsi menerusi aplikasi TikTok turut meraih lebih 320,000 tontonan.

Rata-rata netizen turut meluahkan rasa kagum dengan kecekalan pemuda itu yang tidak menjadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk tidak ke masjid.

oku2

Pemuda ini selesa bergerak sendiri kerana ia telah menjadi kebiasaan sejak kecil lagi.

"Abang ni la yang akan lari berdesup masa titian sirat nanti InsyaAllah. Hebat kau bang.

"Allahurabbi. Kita yang sempurna jarang ke masjid. Dia ke masjid berguling-guling.

"Dia berguling di dunia, akhirat InsyaAllah dia berlari selaju kilat," tulis beberapa netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain