suria

‘CEO Anjing’ pilih raya sederhana walau dah senang! Tak lupa dulu mak pinjam duit jiran beli beras, terkesan selepas bantu asnaf

Faiz memilih untuk bersederhana sempena Hari Raya tahun ini.

SETIAP daripada kita pasti memiliki prinsip atau cara tersendiri untuk berbuat kebaikan.

Lebih-lebih lagi bagi mereka yang pernah merasai pengalaman hidup susah, pasti berkobar-kobar semangat untuk membantu golongan yang memerlukan.

Muhammad Faiz Basirun, 21, juga seperti insan lain yang tak pernah berasa puas melakukan amal dan kebaikan.

Anak muda ini mula menarik perhatian ramai apabila sering berkongsi rutin memberi makan kepada anjing liar beberapa tahun lalu walaupun hidupnya susah ketika itu sehingga diberi gelaran 'CEO Anjing'.

Faiz mampu memiliki sebuah kereta Mercedes dan membelikan sebuah Toyota Yaris untuk ibunya baru-baru ini.

Siapa sangka, berkat kebaikan pemuda ini menyebabkan rezekinya melimpah ruah dan mampu mengubah kehidupan dia dan keluarga menjadi lebih senang.

Hasil reviu produk, menjadi duta beberapa produk makanan dan pengiklanan, dia mampu memiliki sebuah kereta Mercedes dan membelikan sebuah Toyota Yaris untuk ibunya baru-baru ini.

Sebagaimana dikongsikan di TikTok, Faiz yang menetap di Kampung Kumpulan A, Langkawi, Kedah baru-baru ini membantu golongan asnaf sempena bulan Ramadan.

ARTIKEL BERKAITAN: Berkat beri makan anjing liar, pemuda ini mula hidup senang ubah nasib keluarga... Mampu hadiahkan Toyota Yaris untuk ibu

ARTIKEL BERKAITAN: Dikenali sebagai ‘CEO Anjing’, TikToker Faiz Aizif nafi mula lupa diri... Akhirnya impian jadi penyanyi tercapai

“Saya pernah hidup susah teruk dulu sampai nak makan pun mak pernah pinjam duit dekat jiran untuk beli beras.

“Pernah juga saya sendiri pun hidup dengan banyak hutang, bukan sebab nak berhutang, tapi terpaksa sebab nak teruskan hidup... memang betul-betul susah dan tak mampu.

“Jadi disebabkan pernah rasa susah dan perit itulah, apabila 'dikirim' rezeki lebih sedikit sekarang, saya kongsi dengan yang lain,” katanya kepada mStar.

Bercerita lanjut mengenai sumbangannya, Faiz memberikan kira-kira 300 guni beras seberat lima kilogram (kg) bagi setiap unit rumah di sekitar kampung serta bantuan berbentuk wang ringgit kepada pelajar di Sekolah Menengah Tunku Putra, Langkawi.

Anak jadi Kedah ini berkata, dia tidak sanggup untuk membiarkan golongan asnaf meraikan Hari Raya dengan serba kekurangan.

Faiz merupakan seorang pempengaruh yang terkenal dengan sikap pemurah.

Enggan berkongsi jumlah atau nilai sumbangannya ketika Ramadan, tegas Faiz, apa yang dibuat bukanlah untuk menunjuk-nunjuk kemewahan atau hartanya sebaliknya berharap dapat dijadikan inspirasi oleh orang lain terutama pempengaruh muda.

“Dengan bantuan ini diharapkan memudahkan urusan mereka semua. Mereka boleh guna untuk beli baju raya atau persiapan Aidilfitri lain, terpulanglah pada mereka asalkan mereka dapat melakar senyuman sebelum Syawal menjelma.

“Sebagai influencer, saya nak buktikan bahawa umur bukan alasan untuk kita membantu sesama manusia. Lagi-lagi golongan yang muda.

"Biasanya mindset orang luar lelaki usia macam saya ni kaki motor atau merempit dan semuanya ke arah negatif. Saya nak jadi asbab, ubah segala sentimen buruk orang terhadap golongan muda,” ujarnya lagi.

Sebelum saya bergelar influencer pun saya dah banyak bagi bantuan sebenarnya selain berikan anjing dan kucing jalanan makan.

MUHAMMAD FAIZ

Jika diberi peluang berkongsi rezeki dalam skala besar, Faiz mengimpikan untuk merealisasikan hasratnya membantu golongan susah di negara ini termasuklah haiwan jalanan.

Tambahnya yang kini memiliki lebih 700,000 pengikut di TikTok, dia berharap agar lebih ramai orang di luar sana boleh membantu meringankan bebanan golongan asnaf lain.

Bercerita mengenai sambutan Hari Aidilfitri kali ini, Faiz yang terkesan memikirkan nasib golongan susah memilih untuk tidak bermewah-mewahan.

“Kalau boleh saya nak bantu bukan orang-orang di Langkawi saja tapi seluruh Malaysia mahupun sampai ke Palestin sebab tu saya bekerja keras cari duit sekarang. Semua ni bukanlah 100 peratus untuk diri sendiri.

Sumbangan Faiz disalurkan kepada golongan asnaf oleh guru di sekolahnya.

“Persiapan raya pun tidaklah bermegah sebab saya hanya mahu bersederhana saja. Bagi saya, ada baiknya bantu golongan asnaf sebab perkara itu buatkan saya teringatkan mereka yang tak mampu nak beraya dengan sempurna macam orang lain sebab tak ada duit pun nak beli baju raya.

“Sebelum saya bergelar influencer pun saya dah banyak bagi bantuan selain berikan anjing dan kucing jalanan makan. Saya kumpul duit sendiri. Dulu saya naik motosikal saja bagi bantuan pampers dan susu,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain