suria

Rezeki berhenti tumpang tandas, sekeluarga konvoi 4 kereta dijamu juadah raya di warung waktu malam... betul ke wujud kedai tu?

Wada sekeluarga dijamu juadah raya ketika singgah di sebuah warung untuk menggunakan tandas.

REZEKI tak pernah salah alamat.

Kedatangan satu keluarga yang bergerak secara konvoi dengan empat kereta di sebuah warung, secara tiba-tiba dijamu dengan juadah Aidilfitri oleh pemiliknya.

Siapa sangka nasib mereka bertuah ketika berkunjung ke sebuah warung di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Menurut NorShuhada Iman Hasnol atau Wada, peristiwa pada pukul 9 malam itu berlaku ketika dia dan ahli keluarganya berhenti di warung tersebut untuk menggunakan tandas.

"Semua yang menaiki empat kereta itu merupakan ahli keluarga saya. Kami dari Mentakab, Pahang. Mak ayah nak balik ke Semenyih, abang dan kakak ipar nak balik ke Bangi. Saya pula nak balik ke Kuala Lumpur.

warung2

Wada berkata warung itu benar-benar wujud dan dia telah berbual dengan pemiliknya.

"Jadi kami semua lalu jalan dalam, tembus ke Kuala Klawang tu, sebab dengar cerita hari tu berlaku kesesakan lalu lintas di tol Karak. Kami direct dari Mentakab tak berhenti memandu.

"Masing-masing tak tahan nak buang air kecil, sepanjang perjalanan tak jumpa surau atau stesen minyak. Waktu kami nak sampai jalan yang patut tembus ke Kuala Lumpur, Semenyih dan Hulu Langat,... Waze minta kami buat U-turn.

"Cun waktu U-turn, kami nampak ada warung dan khemah. Kami beli air bungkus sebagai alasan nak ke tandas. Tak elok pula tumpang tandas tanpa beli apa-apa. Jadi owner pelawa makan," ceritanya kepada mStar.

Menurut Wada, mereka juga sempat berborak dengan pemilik warung yang memaklumkan mereka mengenai keadaan lalu lintas ketika itu.

Tapi kami pun dah chat dengan owner tu, jadi terbukti kedai dan owner tu wujud.

NOR SHUHADA IMAN HASNOL

"Owner maklumkan yang jalan nak tembus ke Kuala Lumpur, Semenyih dan Hulu Langat tu ditutup sebab tanah runtuh. Itu yang dia pelawa kami makan.

"Katanya nanti kami kena pusing dan hadap kesesakan trafik lagi sebab akan masuk pekan. Mungkin juga owner nampak kami ada bawa bayi dan budak kecil.

"Kebetulan masa tu owner tengah buat makan-makan untuk saudara dia yang datang beraya di kedai. Sebab tu ada khemah dengan sajian nasi goreng, bihun, rendang dan kuih raya," ceritanya lagi.

Wada turut berkongsi video mengenai kejadian itu menerusi TikTok sehingga ia meraih lebih setengah juta tontonan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pondok buruk jadi gerai sate waktu malam... Ramai orang dah terkena! Jangan berhenti jika lalu jalan Pasir Mas-Salor

ARTIKEL BERKAITAN: Malam ada, siangnya hilang! Jangan berhenti jika nampak warung di Kuala Pegang

Segelintir netizen turut membuat jenaka mistik, kononnya warung yang dikunjungi keluarganya tidak wujud sama sekali.

"Boleh tak seseorang pergi siasat, kedai ni wujud ke tak? Geram pula baca komen.

"Serius ni? Betul ke kedai ni dah tutup atau netizen saja nak menyakat?

"Tak pernah dengar pun warung ni," tulis beberapa netizen.

Traffic congestion from Kota Damansara exit toll.

Kenderaan membanjiri jalan raya sempena Hari Raya Aidilfitri. (Gambar Hiasan)

Mengulas komen usikan tersebut, Wada berharap netizen menghentikan spekulasi tidak berasas, malah dia turut berkongsi akaun TikTok pemilik kedai itu.

"Gelabah orang kata kedai tu dah tutup. Sebab masa kami kat sana pun, hati cakap eh betul ke kedai ni? Dah la satu-satu je kedai kat sini.

"Tapi kami rasa okay lepas berborak dengan owner. Saya rasa ramai tak perasan kedai kat situ. Mungkin dulu tutup masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekarang dah buka balik.

"Tapi kami pun dah chat dengan owner tu, jadi terbukti kedai dan owner tu wujud," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain