suria

PM lawat booth, peniaga ‘redah’ bagi hadiah... tak sangka ‘dipaksa’ terima duit - “Kami takut didatangi setiausahanya”

Seorang wanita tidak menyangka perdana menteri tegas dalam mengamalkan 'no gift policy'.

BUKAN hanya cakap tak serupa bikin.

Begitulah ungkapan tepat bagi menggambarkan ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berpegang teguh kepada prinsip untuk menubuhkan kerajaan yang telus dan bersih.

Ketika mula menggalas tampuk pentadbiran negara pada penghujung 2022, Anwar bertegas untuk menolak sebarang bentuk pemberian cenderahati kerana ia bercanggah dengan etika pengurusan dan pimpinan.

Janji tersebut ternyata berjaya dikotakan dan dapat dilihat melalui satu video tular di TikTok yang mana Anwar dilihat enggan menerima hadiah, malah memilih untuk membayarnya.

Dalam video itu, Deera Ishak, 32, yang merupakan pemilik jenama tudung sarung, BY CHEFIZA cawangan Selangor, berkata dia sangat berbesar hati dapat bertentang mata dengan perdana menteri baru-baru ini.

"Momen tu berlaku waktu saya tengah lawat booth stokis saya di Starvendors KLCC Mega Raya Fest 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Selepas ‘curi’ keropok, Anwar ambil cekodok pula! Ramai puji lelaki ini bijak ‘umpan’ PM dengan jemput-jemput pisang untuk bergambar

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar lupa pakai tie? Pemuda Twitter ‘decode’ penampilan PM bersut tanpa tali leher... Kaitkan dengan korupsi geng elit!

"Waktu saya singgah nak support stokis saya tu, saya tak sangka pun perdana menteri akan datang untuk rasmikan event. Mungkin rezeki saya. Ekspo tu berlangsung selama lima hari, saya datang pada hari ketiga.

"Sebahagian daripada kaedah marketing stokis saya tu, dia ada sediakan gift bag untuk diberikan kepada orang kenamaan (VIP) macam artis yang lalu di depan booth kami," katanya ketika dihubungi mStar.

Melihat perdana menteri semakin menghampiri gerai mereka, Deera bersiap sedia untuk menyampaikan cenderahati yang disediakan.

Dan setiap hadiah yang kalau perdana menteri ambil, memang setiausaha akan terus datang bagi duit.

DEERA ISHAK

"Stokis bagi dekat saya gift bag tu, alang-alang saya dah ada dekat situ dia minta saya tolong bagi. Stokis saya pula jadi tukang rakam.

"Saya sejujurnya memang gugup, skrip nak cakap pun tak prepare apa, orang ramai sangat, bodyguard nampak berlapis-lapis ada keliling perdana menteri.

"Saya waktu tu redah je nak panggil perdana menteri, saya tak tahu pun ada wujudnya no gitt policy ni. Saya panggil Datuk Seri, Datuk Seri, sekali dia dengar dan berhenti untuk ambil gift bag saya tu.

Wang tunai RM100 yang diterima oleh Deera.

"Macam terharu sangat rasa, PM boleh perasan saya. Saya main cakap je apa yang terlintas di fikiran, sampai tersasul, saya minta kirim salam dekat isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail," katanya.

Belum sempat menghadam sepenuhnya apa yang baru berlaku, Deera melihat Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Farhan Fauzi tiba-tiba meluru ke arahnya.

"Saya dengan stokis jadi takut bila nampak setiausaha tu datang, saya ingat dia nak marah kami. Stokis saya sampai berhenti record sekejap. Rupanya dia nak hulurkan duit cash RM100 dekat saya.

Deera (kanan) bersama suami di gerai yang dibuka oleh stokis di KLCC.

"Saya terus tolak sebab saya memang ikhlas nak bagi hadiah dekat perdana menteri, tak ada nak minta apa-apa pulangan. Dia kata tak boleh, kena ambil juga, Datuk Seri bagi, kira beli.

"Sebab waktu tu keadaan tengah kelam-kabut, saya pun ambil je la. Kalau ikutkan, dalam gift bag tu cuma ada stokin dan tudung, semuanya bernilai kurang dari RM60. Saya dapat RM100, memang terlebih banyak la kiranya.

"Saya waktu tu hanya mampu ucap terima kasih dan doa semoga dimurahkan rezeki Datuk Seri," kata Deera kagum.

Deera melayan pelanggan yang berkunjung ke gerai stokisnya.

Selepas kejadian itu, barulah Deera diberitahu mengenai konsep 'no gift policy' yang diamalkan oleh perdana menteri dan barisan menterinya.

"Rupanya gerai-gerai yang sebelum kami pun ramai yang bagi gift. Dan setiap hadiah yang kalau perdana menteri ambil, memang setiausaha akan terus datang bagi duit.

"Rasanya setiausaha dia dah prepare cash selambak sebelum datang ke event ni. Saya cuba menahan diri dari berasa kagum. Beliau sangat humble dan mudah didekati.

"Bila turun ke event usahawan macam ni, beliau bagi semangat dekat orang-orang yang baru mula nak berniaga. Peniaga-peniaga tempatan secara keseluruhannya sangat menghargainya.

Butik pakaian wanita yang dibuka oleh Deera di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor.

"Dan tentang no gift policy tu, saya rasa ia satu pendekatan yang bagus untuk basmi rasuah. Saya tak tahu kenapa ada yang tak suka Anwar Ibrahim, tapi on personal level, dia sangat okay," ujarnya.

Deera memaklumkan beberapa hari kemudian, Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil juga turun padang melawat gerai stokisnya di KLCC.

"Saya dah tak ada dekat booth waktu tu, tapi saya dimaklumkan yang waktu Ahmad Fadzil datang pun dia amalkan no gift policy. Kalau ada yang bagi hadiah dekat dia, beliau akan bayar untuk beli.

"Saya rasa seluruh kabinet Kerajaan Madani memang amalkan perkara yang sama. Sangat impressed," katanya menoktahkan bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain