suria

Urut dada ditipu penjual kuih raya ‘tak takut dosa’! Biskut cip coklat cuma di atas, tepi balang... yang lain semua kosong

Biskut raya yang hanya dipenuhi coklat cip pada bahagian atas dan tepi.

NIAT mahu menolong, tapi akhirnya diri sendiri menjadi mangsa 'scam'.

Begitulah kisah yang dialami oleh pemuda ini selepas mendapati biskut raya yang dibeli daripada seorang peniaga, ibarat hanya indah khabar dari rupa.

Berkongsi cerita dengan mStar, pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Wan berkata, dia membeli sebalang biskut raya daripada peniaga berkenaan ketika mengunjungi bazar Aidilfitri di kampung mentuanya di Kuala Kangsar, pada malam sebelum 1 Syawal.

"Dekat situ setiap tahun ada bazar atau ekspo. Memang meriahlah lebih-lebih lagi malam raya, ramai peniaga yang buat lelongan. Saya ternampak seorang peniaga yang buka meja kecil saja dan jual biskut raya.

"Niat di hati nak support dia. Jadi saya pun pergi ke gerainya dan dia berikan saya tester biskut-biskut yang dijual. Ada tiga jenis biskut raya iaitu biskut coklat cip berperisa cookies, hazelnut dan Nestum.

ARTIKEL BERKAITAN: Kembang tekak! Pelanggan terkejut beli kuih ‘inti’ gigi berlubang, sempat kunyah sampai keras

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai tak suka peniaga ‘paksa’ beli kuih sebekas, nak macam dulu boleh pilih sebiji-sebiji... “Bukan semua nak makan kuih sama”

"Saya rasa tester biskutnya sedap... penuh dengan coklat cip. Jadi saya belilah sebalang biskut coklat cip berperisa cookies berharga sekitar RM10," ujar pemuda berusia 27 tahun ini.

Menurut Wan, balang biskut tersebut tidak sempat dibuka sewaktu 1 Syawal dan dia kemudian membawanya pulang ke rumahnya di Ipoh.

kuih 1

Wan terkejut mendapati biskut pada bahagian bawah dan tengah langsung tiada coklat cip.

"Dua hari lalu (Ahad), saya pun bukalah balang biskut tu sebab nak kudap-kudap. Mula-mula tak perasan pun, tapi bila masuk beberapa keping dah makan, saya perasan biskut lapisan bawah tak ada coklat cip pun... kosong je.

"Saya macam tak sedap hati, lalu 'selongkar' satu demi satu lapisan di dalam balang. Ternyata memang hanya lapisan atas dan biskut di bahagian tepi saja ada coklat cip untuk kaburi mata orang.

"Bahagian bawah dan tengah, hanya biskut kosong. Masa tu dalam hati saya hanya mampu berkata 'sabar je lah... ada juga buat macam ni'. Kita ni nak support, tapi peniaga pula menipu," luahnya.

Saya pun peniaga... saya buat dan jual kuih tradisional di kampung. Saya faham apabila harga barang naik. Tapi janganlah sampai menipu macam ni.

WAN

Wan menambah, dia kemudian merakam video dan memuat naik di media sosial sekadar untuk berkongsi pengalaman dan dalam masa yang sama mahu memberi mesej khusunya kepada para peniaga agar berlaku jujur.

"Tak sangka video saya muat naik di TikTok meraih perhatian ramai. Rupanya ramai juga pernah kena macam yang saya kena.

"Ada yang cadangkan saya supaya pergi bersemuka dengan peniaga berkenaan, tapi dah beberapa hari berlalu. Lagipun, peniaga itu tiada kedai, dan di balang biskut juga tiada sticker bisnesnya.

komen

Antara komen warga maya yang turut meluahkan pengalaman serupa.

"Mesej yang saya nak sampaikan, janganlah aniaya orang. Sebagai peniaga, khususnya yang Islam, tolonglah jujur. Saya pun peniaga... saya buat dan jual kuih tradisional di kampung. Saya faham apabila harga barang naik. Tapi janganlah sampai menipu macam ni.

"Kalau nak berniaga, pertama sekali kena ada kejujuran. Dekat akhirat nanti macam mana, jangan ingat kita terlepas. Takutlah dengan dosa. Saya harap orang yang berkenaan kalau tengok video tu, berniagalah dengan ikhlas. Biar untungnya sikit tapi berkat tu ada," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain