suria

Dari kecil fikir tak ada lelaki nak, pensyarah buta sebelah mata tak sangka temu jodoh - “Saya elak jalan sekali, tak nak dia malu”

Hikmah dan suami mengenali antara satu sama lain sejak dua tahun lalu.

JODOH, rezeki dan ajal semuanya sudah tertulis untuk setiap manusia.

Sebagai manusia kita perlu akur dengan ketentuan-Nya kerana perancangan Allah semestinya lebih baik.

Begitulah yang terjadi kepada wanita yang mempunyai masalah penglihatan, Siti Nurhikmah, 25, apabila bertemu jodoh ketika mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Pahang.

“Kecil-kecil dulu ingatkan tak kahwin sebab kita tak sempurna. Selalu cakap mana ada orang nak.

“Alhamdulillah semoga syurga buat suami saya. InsyaAllah,” tulisnya di Twitter.

Pasangan ini berkahwin pada 24 April 2023.

Momen manis itu dikongsikan di Twitter dengan menunjukkan empat foto hari perkahwinannya sebelum ia meraih perhatian netizen sehingga menjadi tular.

Ketika dihubungi mStar, Hikmah menceritakan semula mengenai pertemuan antara dia dan suami yang terjalin sejak dua tahun lalu sehingga berakhir dengan ikatan perkahwinan.

“Saya kenal suami semasa belajar di universiti. Tapi masa tu kami tak pernah bertegur sapa pun.

“Tapi akhirnya jumpa dekat media sosial. Dalam tempoh dua tahun kami kenal pada mulanya sebagai kawan sahaja.

“Masa kami berkawan saya tak ada rasa apa-apa tapi lepas bercinta mula rasa insecure (kurang keyakinan) dengan diri sendiri apabila berjalan dengan dia,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda OKU tak sangka jodohnya wanita cukup sifat, ‘ajaibnya’ dah 4 tahun lost contact tetap jumpa semula

ARTIKEL BERKAITAN: Menyulam cinta 10 tahun tapi wanita OKU enggan letak harapan... tak sangka banyak kali tanya jodoh namun jawapan diberi tetap sama

Bercerita lanjut, wanita yang menetap di Kuantan, Pahang ini berkata mereka mengikat tali pertunangan pada 21 Januari lalu yang juga hari ulang tahun kelahirannya.

Hikmah mengakui dia bimbang jika tunangnya malu dengan kekurangan dirinya yang mempunyai kecacatan mata sejak kecil.

Namun, anak sulung daripada dua adik beradik ini sangat bersyukur kerana dipertemukan dengan lelaki yang cukup memahami dirinya dan mengenai masalah yang dihadapi.

Malah, katanya, mereka juga tidak mengambil masa yang lama untuk bernikah, bermula selepas lelaki itu melamarnya pada September 2022 dan berakhir dengan ikatan perkahwinan pada 24 April lalu.

“Sejak kecil lagi saya tak rasa diri ni cantik sebab ada kecacatan pada mata. Saya rasa semua lelaki nak perempuan cantik je masa tu. Apabila dah bertunang, ada perasaan takut sebab saya tak lawa.

Kalau kami berjalan bersama, saya selalu elak berjalan sekali dengan suami sebab tak nak dia malu.

SITI NURHIKMAH

“Tapi suami banyak tolong naikkan semula keyakinan saya. Dia selalu ajar saya untuk ‘masuk’ atau selami dahulu ketakutan itu kemudian baru buat penilaian.

“Contohnya, kalau kami berjalan bersama, saya selalu elak berjalan sekali dengan suami sebab tak nak dia malu. Rupa-rupanya itu semua perasaan saya saja," katanya.

Seperti insan lain, wanita ini percaya ada hikmah di sebalik semua yang berlaku dalam kehidupannya sejak kecil.

Malah, dia kini bergelar pensyarah di sebuah institusi juga menganggap suaminya merupakan satu rezeki besar kurniaan Allah terhadapnya.

Hikmah yang berasal dari Alor Setar, Kedah turut menitipkan pesanan buat insan di luar sana supaya memperbanyakkan doa untuk meminta sesuatu.

Hikmah sudah mengenali suaminya sejak dua tahun lalu.

“Saya ada masalah buta sebelah mata ni sejak lahir. Mak ayah dah banyak kali bawa pergi hospital sejak kecil. Disebabkan keadaan macam ni, saya selalu diejek sampai dah lali.

“Kadang-kadang ada rasa ‘down’ tapi saya selalu ingatkan diri walaupun ada kekurangan. Tapi saya boleh buat orang sekeliling bangga dengan pencapaian dalam hidup. Saya seronok tengok orang-orang tersayang bangga dengan saya.

“Saya bersyukur suami baik sangat selalu jaga fizikal dan mental saya. Nasihat saya, kita kena selalu berdoa dekat Allah supaya dikurniakan orang baik-baik di sekeliling dan mendoakan kita juga pada masa sama,” ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain