suria

Pelajar ‘pokai’ selepas beli tiket flight balik kampus, timbalan menteri sudi bantu sebab kagum! Boleh bayar hutang kawan, modal jual cookies

Haziq menerima bantuan daripada timbalan menteri pendidikan berjumlah RM5,000.

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.

Pengorbanan seorang mahasiswa yang menggunakan semua wang simpanannya demi membeli tiket pesawat baharu untuk pulang ke kampus selepas terlepas penerbangan mendapat perhatian timbalan menteri.

Dalam kejadian tersebut pelajar dari Kuching, Sarawak itu sanggup berbuat demikian semata-mata tidak mahu terlepas kuliah.

Susulan kejadian, Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying, menghulurkan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Tanjung Malim, Perak itu.

Tangkap layar artikel mStar yang mendapat perhatian timbalan menteri pendidikan.

Hui Ying dalam satu posting di Facebooknya berkata, dia berasa terharu dengan kisah Nurhaziq Haikal Najmie Norazi, 22 seperti mana ditulis mStar yang terpaksa menggunakan semua wang belanja, duit raya dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membeli tiket penerbangan berharga RM1,088 selepas tersilap menunggu di balai berlepas.

Saya tak pernah terlepas satu kelas... Inilah semangat Haziq yang sangat saya kagumi dan menarik perhatian apabila terbaca berita dia terlepas flight.

"Saya terus menghubungi beliau setelah memahami situasi yang berlaku dan menyumbang RM5,000 untuk menggantikan kos tiket flight yang telah dibeli dan sebagai duit poket.

"Saya harap dengan sedikit sumbangan daripada saya ini dapat membantu Haziq terus fokus dalam pelajaran dan menjadi guru yang berjaya pada masa depan," tulisnya dalam hantaran itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar miskin terlepas flight... ‘licin’ duit belanja, PTPTN beli tiket baharu! Kini cuma ada RM15, yang penting dapat ke kelas

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan ambil mudah, ini 6 kesilapan kecil yang sering berlaku ketika tempah tiket kapal terbang

mStar sekali lagi menghubungi Haziq yang sebelum ini pulang ke kampus dengan baki wang sejumlah RM15.73, setelah dia menerima sumbangan daripada timbalan menteri.

Jelas Haziq, dia sendiri tidak menyangka kerajaan atau khususnya seorang yang bergelar menteri mengambil maklum tentang masalah kewangan dialaminya.

Untuk rekod, tiket penerbangan asal pulang beraya dan balik ke Upsi Haziq sebelum ini ditanggung oleh seorang pensyarah yang bersimpati dengan kesusahan dirinya.

Haziq menggunakan wang sumbangan diberikan untuk berniaga di kolej.

"Saya ada terima panggilan daripada beliau (Lim Hui Ying) sebelum mereka buat transaksi ke akaun bank saya. Saya bersyukur menerima duit sumbangan daripada timbalan menteri itu.

"Sebenarnya memang banyak kos yang perlu saya tanggung untuk pengajian. Duit itu juga akan digunakan dalam perbelanjaan harian dekat kampus.

"Tapi saya terkejut sangat sebab siapa sangka rintihan saya didengari dan mampu memberi kesan mendalam kepada banyak pihak terutama pihak atasan," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani ini yang mengambil subjek elektif Budaya Keusahawanan pada semester ini bakal menggunakan sebahagian wang sumbangan yang diterima sebagai modal untuk berniaga cookies (biskut berperisa coklat).

Duit bantuan tu banyak bantu saya dalam pembelajaran dan melancarkan segala urusan saya.

NURHAZIQ HAIKAL NAJMIE

Dia yang juga bergiat aktif dalam pertandingan taekwando di kolej mengakui sumbangan tersebut banyak membantunya untuk terus memajukan diri dalam bidang kurikulum dan kokurikulum di universiti.

Tambahnya lagi, semangatnya untuk meneruskan pengajian demi membantu dan membanggakan ibu serta keluarga semakin berkobar-kobar apabila melihat masalah kewangan dihadapi mereka dari sudut positif.

"Duit bantuan tu banyak bantu saya dalam pembelajaran dan melancarkan urusan harian. Sebelum ni saya pinjam duit kawan, Aizad untuk buat modal berniaga. Jadi saya akan gunakan wang ini untuk bayar semula pinjaman itu dan tetap teruskan perniagaan cookies di sekitar kolej.

Haziq (kiri) bergiat aktif dalam sukan taekwando di kolej.

"Selain itu, duit itu juga akan digunakan ketika menyertai Kejohanan Taekwondo MOI bagi mewakili Upsi pada 21 Jun kelak.

"Selepas apa yang terjadi dan menerima bantuan, saya berharap lepas ni saya pula boleh bantu orang lain tak kira apa jua masalah mereka. Mungkin bukan dari segi kewangan tetapi tenaga.

"Saya percaya dengan kata-kata buat baik dibalas dengan kebaikan," jelasnya yang berasal dari Kampung Santubong, Sarawak.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain