suria

Ibu masuk wad, abang ‘angkut’ adik ke sekolah siap bawa beg lampin! Di kelas belajar sambil suap susu, dodoi sampai tidur

Aiman (kiri) berkongsi pengalaman membawa adik bongsu ke kelas. gambar hiasan / foto: Freepik

SEBAK apabila mengenangkan pengorbanan seorang abang yang sanggup melakukan apa saja demi orang tersayang.

Pengakuan seorang pemuda yang sanggup membawa adik bongsunya berusia setahun ke kelas kerana ibunya dimasukkan ke hospital mengundang sebak warganet.

Perkongsian Aiman di laman Twitter mengundang sebak warganet.

Berkongsi cerita kepada mStar, pemuda berkenaan, Saiful Aiman Jahari berkata, peristiwa itu berlaku pada 2008, ketika dia belajar di tingkatan enam.

Lebih mesra disapa Aiman, katanya, ketika itu juga ibunya dimasukkan ke hospital kerana menghidap penyakit kanser hati.

"Hanya kira-kira tiga minggu lagi nak STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia), arwah mak saya pula dah seminggu kat wad.

"Arwah mak yang membesarkan kami adik-beradik. Sebelum tu ada saudara dan jiran yang jaga adik, tapi hari tu tak ada pula sesiapa nak jaga adik saya dan agak last minute nak minta bantuan.

"Rugi kalau saya ponteng sekolah sebab cikgu kongsi banyak tip untuk STPM. Jadi, saya tiada pilihan lain dengan membawa adik ke sekolah," katanya ketika dihubungi.

Kenangan... arwah ibu (kiri) bersama adik bongsu.

Sebagai anak sulung daripada lima beradik, dia berasa bertanggungjawab untuk menjaga adik lelakinya, terutamanya adik-beradik lain yang juga masih bersekolah.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu terkedu tengok pengorbanan anak sulung sanggup basah kuyup, berlari dukung adik dari sekolah - "Dia dah patah balik nak ambil payung"

ARTIKEL BERKAITAN: Guru sebak terlihat 'sisi' lain pelajarnya ketika bertembung adik, selama ini hanya dianggap penghibur kelas

"Saya minta bantuan seorang rakan sekelas dan tumpang dia naik motor. Saya peluk adik yang masih kecil sepanjang perjalanan ke sekolah, saya tawakal je.

"Sampai sekolah, saya berterus-terang kepada guru yang saya terpaksa bawa adik sebab tak ada orang jaga kat rumah, dan Alhamdulillah guru-guru memahami," ujarnya yang kini berusia 33 tahun.

Aiman (tiga, kanan) bersama rakan-rakan sekelas yang membantu menjaga adik.

Berasal dari Klang, Selangor, Aiman bersama seorang rakannya membuat keputusan untuk duduk di meja belakang di dalam kelas.

"Saya duduk kat belakang. Kawan tolong dodoikan dan saya bagi susu. Apabila adik saya tidur, saya letak dia di paha. Saya mengikuti pelajaran seperti biasa.

"Cikgu siap offer kalau nak tidurkan adik boleh pergi ke makmal komputer kerana di situ ada aircond, lebih sejuk.

"Cuma apabila nak menyusukan adik, saya kena berlari ke makmal komputer," katanya yang turut membawa sebuah beg mengandungi baju-baju adiknya, lampin bayi, botol dan susu.

Walau apa pun berlaku, saya perlu utamakan keluarga. Pada masa sama, pelajaran pun penting juga.

SAIFUL AIMAN JAHARI

ABANG

Sebagai Abang Long, dia bersama adik-beradik lain diamanahkan untuk menjaga adik bongsu selepas pemergian ibunya ketika usia 45 tahun akibat kanser hati pada 2013.

"Adik bongsu saya dibesarkan tanpa mak dan ayah. Dan mak semasa hayatnya ada berpesan, walau apa pun lepas mak dah tak ada nanti, jaga adik-beradik elok-elok.

"Sekarang ni adik bongsu umur 15 tahun. Alhamdulillah, dia sangat sopan dan hormat abang-abang dia. Seorang yang mendengar kata," ujarnya lagi.

Aiman bersama adik bongsu.

Mengimbas kembali, Aiman yang merupakan seorang penerbit bersyukur kerana dengan bantuan guru-guru dan rakan-rakan, dia dapat menjaga adik bongsunya dengan baik sehingga tamat sesi persekolahan pada hari tersebut.

"Risau juga kalau adik saya masa tu menangis dan mengganggu satu sekolah. Alhamdulillah, dia tak meragam hari tu.

"Terima kasih kepada guru-guru dan rakan-rakan saya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Hamzah di Pelabuhan Klang kerana memahami situasi saya ketika itu.

"Saya akui agak stres sebab nak exam, mak pula masuk wad dan adik kecil perlu dijaga. Tapi walau apa pun berlaku, saya perlu utamakan adik-beradik dan keluarga.

"Pada masa sama, pelajaran pun penting juga. Kepada adik bongsu, harap terus menjadi adik yang baik. Jadilah orang yang bertanggungjawab dan utamakan pelajaran," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain