suria

Sukar percaya tengok kit kehamilan, isteri kena tunjuk jenis ‘paling mahal’! Suami nangis 3 kali, terus sujud syukur

Reaksi suami ketika Tasha membuat kejutan bagi mengumumkan dirinya hamil.

BUKAN satu, tapi tiga kit kehamilan yang ditunjukkan oleh seorang isteri dalam sebuah kotak.

Namun, si suami seakan tidak percaya apa yang dilihatnya di depan mata.

Menerusi satu video yang tular, si isteri berkali-kali meyakinkan bahawa kit kehamilan dengan keputusan positif itu adalah miliknya.

Kejutan itu ternyata membuatkan lelaki berkenaan hanya mampu menahan air mata daripada mengalir sebelum melakukan sujud syukur.

Berkongsi cerita kepada mStar, Diana Natasha Zailani berkata, dia mendirikan rumah tangga pada Disember 2019 dan belum dikurniakan zuriat selepas kira-kira tiga tahun.

Wanita berusia 32 tahun itu mengakui dirinya beberapa kali melakukan ujian kehamilan namun rezeki belum memihak kepada dia dan suami.

"Jadi pada Oktober tahun lalu, saya buat sekali lagi dan keputusannya adalah positif. Pada mulanya saya memang tak percaya dengan berita gembira itu.

"Saya beli tiga kit kehamilan dari yang paling murah sampai paling mahal. Alhamdulillah, semua keputusannya positif," katanya ketika dihubung mStar.

Tasha dan suami berkahwin pada Disember 2019.

Lebih mesra disapa Tasha, katanya, video kejutan untuk suaminya itu bagaimanapun baru dimuat naik di TikTok, sempena dirinya yang bakal melahirkan anak sulung pada bulan ini.

"Suami dah balik kerja dan duduk di depan TV di ruang tamu. Saya pun baru balik kerja. Tapi fikir macam mana nak buat kejutan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelik berjaya turun berat badan tapi perut buncit, tahu-tahu hamil 5 bulan! Pasangan bakal timang bayi selepas 9 tahun kahwin

ARTIKEL BERKAITAN: Tak mahu stres fikir zuriat, pasangan ini ‘layan’ honeymoon 5 tahun! Hebat aturan Allah, pasport tamat tempoh terus buka buku pink

"Jadi, saya minta suami ke dapur untuk buat air teh tarik. Tapi suami pelik sebab saya jarang minum air panas. Saya cuma bagi alasan sebab penat.

"Sebenarnya alasan tu nak bagi suami ambil masa lebih lama di dapur. Kalau minta air sejuk, sekejap je dia boleh buat," ujarnya secara berseloroh.

Tasha dan suami menunjukkan kit kehamilan yang mengesahkan dirinya hamil.

Berasal dari Klang, Selangor, Tasha memberitahu bahawa suaminya yang berusia 32 tahun merupakan seorang yang sukar untuk menitiskan air mata.

"Suami ni susah nak menangis, seorang yang cool dan berjiwa kental. Tapi masa saya beritahu yang saya hamil, dia tiga kali menangis.

Saya faham situasi pasangan yang bertahun-tahun kahwin dan belum dikurniakan zuriat. Mereka lebih kuat melaluinya.

DIANA NATASHA ZAILANI

ISTERI

"Pertama masa duduk di sofa selepas tengok tiga kit kehamilan, kedua ketika peluk saya dan ketiga waktu dia sujud syukur," ujarnya lagi.

Walaupun usia perkahwinan baru tiga tahun, Tasha mengakui bukan mudah menjadi salah satu pasangan yang berusaha untuk mendapatkan zuriat atau 'trying to conceive' (TTC).

Tasha bakal melahirkan anak pada bulan ini.

"Saya faham situasi pasangan yang bertahun-tahun kahwin dan belum dikurniakan zuriat. Mereka lebih kuat melaluinya.

"Cuma sebagai salah seorang yang pernah melaluinya, saya hanya boleh kongsikan adalah sabar dan berdoa serta berikhtiar.

"Allah akan bagi apabila tiba waktunya. Mungkin sekarang tak bagi, mungkin ada sebab tertentu. Allah sebaik-baik perancang," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain