PEMERGIAN insan yang paling rapat dan disayangi sememangnya memberi kesan mendalam buat seseorang. Begitu juga dengan kanak-kanak perempuan ini yang kehilangan bapa tersayang pada usia yang cukup muda iaitu lima tahun. Meskipun masih belum mengerti sepenuhnya apa yang sedang berlaku, namun video yang dikongsikan oleh ibu saudaranya di TikTok, benar-benar menceritakan isi hati yang dirasainya. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) "Tak nak (balik). Nak duduk dengan ayah. Saya suka ayah. Saya nak tengok ayah berehat," demikian petah bicara yang dituturkan oleh si kecil yang enggan berganjak dari pusara bapanya saat diajak pulang oleh salah seorang ahli keluarga yang menemaninya. Berkongsi cerita dengan mStar, wanita bernama Anisah Mahat berkata, video yang memaparkan anak saudaranya, Nur Qayra Qistian Mohd Shafiq, dirakam pada 15 Mei lalu ketika dia membawa kanak-kanak itu menziarahi pusara bapanya. ARTIKEL BERKAITAN: Anak meraung peluk bapa dalam kereta, rupanya dah 30 minit tak bernyawa... gurauan nak ‘beraya’ dengan arwah isteri jadi kenyataan ARTIKEL BERKAITAN: Bapa meninggal, anak sulung rancang berhenti belajar... simpati tengok ibu kerja teruk demi sara keluarga "Abang saya, Mohd Shafiq Mahat iaitu bapa Qayra, meninggal dunia pada Jumaat, 12 Mei lalu. Maknanya video itu dirakam tiga hari selepas arwah 'pergi'. "Saya rakam untuk disimpan sebagai kenangan buat keluarga kami. Tak sangka bila upload dekat TikTok, ia menjadi viral kerana ramai yang tersentuh dengan gelagat Qayra," ujar wanita berusia 30 tahun itu. Menurut Anisah, arwah abangnya yang merupakan anak kedua daripada lima adik-beradik, meninggal dunia selepas hampir dua tahun dikesan menghidap kanser limfoma. Pemergian arwah pada usia muda ternyata memberi kesan kepada seluruh keluarga Anisah, terutama isteri serta tiga anaknya yang masih kecil. Kami hanya beritahu ayah dia sedang berehat dekat syurga, Qayra kena berdoa banyak-banyak. ANISAH MAHAT "Arwah abang ada tiga anak berusia 13 tahun, 10 tahun dan Qayra yang berusia lima tahun. InsyaAllah, anak keempatnya akan lahir pada September nanti. "Qayra memang rapat sangat dengan arwah ayahnya sebab dia bongsu. Setiap kali ayahnya masuk wad untuk kemoterapi sebelum ini, mereka pasti akan buat video call. "Pada hari ayahnya meninggal dunia, dia tahu dan berkata ayahnya sedang berehat dekat dalam (kubur). Mungkin dia tak sepenuhnya mengerti sebab masih budak kecil. "Tapi keesokan hari selepas bangun tidur waktu pagi, terus merengek mencari-cari ayahnya. Sampailah sekarang selepas lebih seminggu arwah tiada. Kami hanya beritahu ayah dia sedang berehat dekat syurga, Qayra kena berdoa banyak-banyak," katanya. Tambah Anisah yang menetap di Kampung Beringin, Durian Tunggal, Melaka, meskipun arwah abangnya sudah tiada namun hubungan bersama kakak ipar dan anak saudaranya tetap rapat seperti biasa lebih-lebih lagi isteri abangnya sedang sarat hamil. Netizen turut tersentuh dengan video yang dikongsikan Anisah. "Rumah saya, ibu dan arwah abang memang tak jauh pun sebab kami semua sekampung saja. Jadi kami memang selalu pergi bertanya khabar... Qayra pula hari-hari memang datang rumah ibu saya. "InsyaAllah amanah abang kami akan jaga sebaik-baiknya," ujarnya lagi. Anisah yang tidak menyangka videonya menjadi tular dalam pada itu melahirkan rasa terharu kerana terlalu ramai yang mengirim doa buat arwah abangnya dan Qayra. "Ada hikmahnya video tersebut menjadi tular... Alhamdulillah ramai yang mendoakan arwah abang serta Qayra. Moga doa yang baik berbalik kepada kalian juga," akhirinya. Sehingga kini, video yang dimuat naik oleh Anisah meraih melebihi 685,000 jumlah tontonan di TikTok. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube