suria

Demam 3 hari selepas balik dari bazar, bayi meninggal setelah ibu terdengar batuk manja! Sering hadir dalam mimpi seolah-olah ‘hidup’

Nur Esyriffa berkongsi tentang anaknya di halaman TikTok.

KETERUJAAN bergelar ibu baru sahaja dirasai namun tiba-tiba wanita berusia 30 tahun ini diuji dengan kehilangan cahaya mata yang memasuki usia lima bulan.

Meskipun masih dalam keadaan sedih, dia tetap tegar menasihati para ibu tentang bahaya penyakit batuk berkahak dan demam seperti mana yang berlaku terhadap anak kecilnya itu.

Menerusi perkongsian di media sosial, dia menceritakan semula permulaan kesihatan anak lelakinya, Muhammad Aydeen Maleeq merosot.

“Hari pertama 7 April pagi... arwah demam, batuk dan selesema. Selepas berbuka, kami bawa pergi klinik untuk buat pemeriksaan serta sedut gas bagi mencairkan kahak.

Maleeq lahir pada 17 November 2022.

Maleeq lahir pada 17 November 2022.

“Masa ni doktor nyatakan yang dia baru nak demam dan diberikan ubat demam cecair, cough patch dan nose spray. Manakala tiada ujian Covid-19.

“Selepas itu, dia kelihatan lega sikit dan tidur semasa dalam perjalanan balik dari klinik. Apabila sampai rumah, masa nak tidur tiba-tiba dia tak berasa selesa dan sentiasa nak dipegang,” ujarnya yang turut menyatakan anaknya tidak tidur lena sepanjang malam tersebut.

Suhu badan Maleeq menjadi panas pada hari kedua dan dia tidur sedikit lama selepas dimandikan namun menunjukkan kurang selera untuk menyusu.

Nur Esyriffa merupakan anak jati Melaka.

Nur Esyriffa merupakan anak jati Melaka.

Keesokan harinya (hari ketiga), dia mula tidur lebih lama dan lena kerana hanya mengalami batuk-batuk.

Bagaimanapun, kain basah masih lagi diletakkan di atas kepala dan bawah badan bagi mengelakkan suhu badannya kembali panas.

“Lepas berbuka, kami pegi ke klinik untuk neb kali ketiga seperti yang diminta doktor. Masa menunggu di depan klinik, dalam 30 minit nampak mukanya sangat ceria seperti sudah kebah.

“Pada hari keempat, dia yang sering bangun awal tiba-tiba bangun pada jam 9.45 pagi. Lepas bangun, arwah buka mata seperti termenung dan tidak ceria.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sempat OOTD foto raya bertiga, anak ‘habis nyawa’ dalam pelukan ibu 2 hari sebelum Aidilfitri... Tangisan pelik petanda hujung usia

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya mati-mati kerja, buka pintu nampak dia kaku” - Suami kecewa cuti paterniti cuma 2 hari, isteri meninggal di sisi bayi hari ke-4 selepas bersalin

“Semasa keluar rumah untuk jemur baju, terdengar Maleeq batuk manja tapi sesudah selesai menjemur, saya tengok dari jauh macam dah tak bernafas.

“Saya cuba kejut dia tapi tiada tindak balas. Saya hubungi suami dan bergegas ke hospital dalam 10 minit di kecemasan doktor maklumkan keadaannya kritikal 50/50 dan pakar nyatakan dia tak dapat diselamatkan,” katanya.

Mengungkap kisah pilu, Nur Esyriffa Ahmad Zahidi ketika dihubungi mStar berkata, laporan bedah siasat yang dilakukan pada 10 April lalu masih belum diperoleh dan perlu menunggu kira-kira tiga bulan.

Menceritakan punca anaknya demam, dia yang bekerja sebagai kerani berkata sebelum kejadian mereka pergi ke bazar untuk mencari keperluan raya.

Mimpi tu macam arwah masih hidup dan saya masih menjaganya seperti biasa.

NUR ESYRIFFA AHMAD ZAHIDI

“Kami berada di sana cuma sekejap, lokasi pula tidak sesak sebab pergi awal. Cuma masa ni, hanya ada orang yang pegang tangan dan sentuh pipi dia sahaja... tak ada angkat dukung mahupun cium.

“Siapa sangka, Maleeq akan demam dan meninggal dunia pada 19 Ramadan (10 April) semasa umurnya 4 bulan 3 minggu.

“Lagipun nafas Maleeq tiada bunyi ‘krok krok’ sebaliknya batuk yang dialami agak teruk malah semua simptom bermula selepas demam hari kedua,” luahnya sayu sambil menambah nafas anaknya semakin laju pada hari keempat semasa dia terlelap di depan televisyen.

Maleeq merupakan anak pertamanya selepas dua bulan bernikah pada 11 Februari 2022.

Nur Esyriffa dan suaminya sering menziarahi pusara arwah Maleeq.

Nur Esyriffa dan suaminya sering menziarahi pusara arwah Maleeq.

Berkongsi cerita, anak jati Melaka ini berkata, sepanjang ‘pemergian’ Maleeq, dia dan suaminya sukar melelapkan mata kerana rindukan arwah.

Malah dia pernah bermimpi seolan-olah arwah anaknya masih hidup.

“Mimpi tu macam arwah masih hidup dan saya masih menjaganya seperti biasa. Bangun sahaja dari tidur, saya menangis sedih.

“Suami tak pernah mimpi. Tapi suami selalu rindukan arwah... kami berdua akan melawat kubur arwah dalam tiga kali seminggu,” luahnya lagi.

Terdahulu, perkongsiannya itu menjadi tular sehingga ditonton lebih 700,000 pelayar TikTok.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain