suria

Abang sado berkopiah rancak jual durian, tak selesa ‘marketing’ tayang badan... Pakai baju ketat pun dah rasa malu

Selesa berkopiah, Haziq mengusahakan gerai durian di Banting, Selangor.

TANPA perlu bermodalkan teknik promosi yang mengundang kontroversi, jualan durian lelaki ini tetap mendapat sambutan hangat.

Selesa mengenakan kopiah pada kebanyakan masa, penampilan pemuda ini ketika berniaga raja buah itu tetap menjadi buah mulut ramai.

Lebih menarik, walaupun tidak menayangkan badan namun masih ada yang dapat meneka jejaka berbaju longgar di gerai durian itu berbadan sado.

"Elok je abang ni jual durian," komen seorang netizen.

Bercakap kepada mStar, peniaga berkenaan, Muhammad Haziq Suradi mengakui selesa dengan imej berkopiah sama ada di tempat kerja mahu pun di luar.

Malah pemuda itu mempunyai minat bersenam di gim dan mula bergiat aktif dalam bidang kecergasan sejak 2016.

Selain berkopiah, Haziq juga selesa memakai topi.

"Selain berkopiah, saya sering juga memakai topi. Saya memang kaki gim. Sebelum berniaga durian ni, banyak masa saya dengan kerja, gim, kerja, gim.

"Masuk gim ni sebab nak ada bentuk badan yang menarik untuk menaikkan keyakinan diri.

"Tapi saya lebih selesa berbaju, nak pakai baju ketat pun saya malu," katanya ketika dihubungi mStar.

sado jual durian 6

Gerai yang diusahakan Haziq menjual durian jenis Musang King, Udang Merah dan IOI.

Mengusahakan gerai di Jalan Besar Kanchong Darat di Banting, Selangor, Haziq memperoleh bekalan durian dari Johor, Pahang dan Negeri Sembilan.

"Kami tak jual ikut timbang, tapi menggunakan lelong di mana pelbagai campuran jenis buah termasuk gred A di dalam bakul.

ARTIKEL BERKAITAN: Wah, ustaz pun nak sado juga? Guru agama ini ke gim 6 hari seminggu... janji jaga aurat, tunjuk contoh baik kepada pelajar

ARTIKEL BERKAITAN: Fuh! Duda sado bikin panas berniaga durian tayang badan - "Saya bukan jual maruah, masih pakai seluar"

"Tujuannya untuk membolehkan penduduk kampung terutama di Banting dapat merasa pelbagai jenis durian pada harga berpatutan.

"Konsepnya everyone can eat durian (semua orang boleh makan durian)," ujarnya yang turut berasal dari Banting.

sado jual durian 2

Haziq (kiri) bersama rakan-rakan di gim.

Beroperasi setiap hari bermula pukul 3 petang hingga 12 tengah malam, kata Haziq, gerainya hanya menjual tiga jenis durian iaitu Udang Merah, IOI dan Musang King.

"Harga sebakul serendah RM50, tapi pelanggan boleh juga membeli sebiji pada harga kira-kira RM10. Kami memang tak jual banyak jenis durian kerana lebih mementingkan kualiti.

"Jualan tercatat hampir 800 kilogram pada hari biasa dan mencecah sehingga 2 tan pada hujung minggu," katanya yang berpengalaman mengusahakan kebun pisang dan menjual kerepek.

Saya ni biasa-biasa je, Saya ni orangnya sederhana.

MUHAMMAD HAZIQ SURADI

Berkongsi tentang rutin kecergasan, Haziq yang bekerja sepenuh masa di Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata dia amat mementingkan pemakanan selain bersenam di gim.

"Kebiasaannya saya bersenam di gim lima kali seminggu. Daripada segi pemakanan, saya makan nasi macam biasa, tapi saya tak ambil minuman manis," ujarnya yang menjadikan bekas atlet bina badan negara, Sazali Samad sebagai idolanya.

Haziq (kanan) bersama seorang pelanggan di gerai.

Haziq (kanan) bersama seorang pelanggan di gerai.

Dipuji netizen kerana berbadan sasa dan berniaga dengan cara tanpa perlu menayangkan badan, Haziq merendah diri menghargai setiap sokongan orang ramai.

"Saya ni biasa-biasa je. Tapi terima kasih kepada semua yang menyokong termasuk pelanggan-pelanggan yang datang ke gerai untuk membeli durian.

"Saya ni orangnya sederhana. Kalau dengan pelanggan, saya memang suka melawak. Saya anggap pelanggan-pelanggan seperti kawan-kawan bagi mereka mudah selesa.

"Andai kata kalau ada yang mahu bergambar di gerai selepas video saya tular, saya terima dengan baik. Saya anggap ia sebagai satu penghargaan daripada pelanggan," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain