suria

Ambil result SPM, katak tumpang kasut! Pelajar kesal abai rasa denyut, menangis sebab kesian ‘mati lidah terjelir’

Anggun berdepan detik cemas apabila seekor katak berada di dalam kasutnya.

KETERUJAAN seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 menerima keputusan peperiksaan bertukar cemas apabila berdepan insiden yang tidak disangka-sangka.

Gadis itu hanya mampu menangis selepas mendapati seekor katak berada di dalam kasut yang dipakainya ke sekolah.

Selain berlaku drama air mata, turut kedengaran suara jeritan calon SPM itu menerusi video yang dimuat naik di TikTok.

Gadis berkenaan, Anggun Zahratul Laily Mohd Lutfi pada mulanya tidak menyangka terdapat 'sesuatu' di dalam kasutnya tetapi mengakui melipat stoking di bahagian hujung kaki kerana terlalu panjang.

Lebih mesra disapa Anggun, dia bagaimanapun hanya menyedari pergerakan di dalam kasut yang dipakai sebaik berada di dalam dewan di sekolah di Wangsa Maju, Kuala Lumpur untuk pengumuman keputusan SPM.

"Stoking yang saya pakai tu agak panjang, jadi nak pendekkan saya kena lipat. Itu yang saya ingatkan ada 'seketul' di hujung stoking disebabkan lipatan.

"Memang saya tak sedar langsung dari rumah sehingga tiba di sekolah. Lebih-lebih lagi tak ada bunyi katak pun, jadi saya tak fikir yang bukan-bukan," katanya kepada mStar.

Anggun hanya mampu menangis dan menjerit sebaik menyedari terdapat seekor katak di dalam kasutnya.

Sebaik berada di dalam dewan, gadis berusia 18 tahun itu mula menyedari terdapat pergerakan seperti 'berdenyut' di hujung kasut kanannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada apa nak digelikan! Gadis ini 'manja' dengan banyak haiwan, selamba cium katak, main lintah... hanya tak suka 2 binatang

ARTIKEL BERKAITAN: "Puas jumpa yang macam ni" - Gadis teruja dapat pegang ulat gonggok panjang dan besar, tapi fobia dengan haiwan 'hitam dan kotor'

"Masa rasa berdenyut tu, saya terus pegang tangan kawan dan terfikir mungkin ada katak dalam kasut.

"Saya tak pasti ada katak dalam kasut atau tak, tapi abang pernah mengalami insiden kasutnya dimasuki katak. Tapi dia tak sempat pakai sebab dah ketuk-ketuk dulu kasut tu sehingga perasan ada seekor katak berada di dalamnya," ujarnya yang berasal dari Ampang, Selangor.

Seekor katak yang ditemukan dalam kasut dipakai Anggun.

Menurut Anggun, dia hanya mampu bertahan kerana tidak mahu mencetuskan keadaan huru-hara sekiranya dia terus membuka kasut di dalam dewan ketika itu.

"Tak kan nak buka dalam dewan. Saya tunggu bila keluar dewan dan kebetulan ada seorang rakan yang memang pencinta katak, dia tak geli untuk pegang katak.

"Masa tu masih tak pasti betul ke ada katak. Kalau betul ia adalah katak, rakan saya boleh mengeluarkannya dengan senang hati," katanya lagi.

Terdapat kesan merah dipercayai darah pada stoking Anggun.

Sangkaannya tepat apabila benar-benar terdapat seekor katak berada di dalam kasutnya, dan lebih mengejutkan amfibia itu didapati sudah mati dengan keadaan lidahnya terjelir.

"Saya terus menjerit dan hanya menangis. Sampaikan ada guru-guru sangka saya menangis disebabkan keputusan SPM, tapi sebenarnya kerana saya sangat geli dengan katak.

Saya geli dengan katak, pada masa sama kasihan sebab ia mati dekat kaki saya.

ANGGUN ZAHRATUL LAILY MOHD LUTFI

"Ramai cikgu datang offer nak pinjamkan kasut, malah ibu bapa pelajar lain turut bersimpati mahu meminjamkan sandal atau selipar,” kata anak kedua daripada empat beradik itu.

Mengakui sedih kerana insiden katak di dalam kasut, Anggun meluahkan perasaannya bercampur baur antara trauma dan kasihan.

Anggun (bulatan merah) bersama rakan-rakannya pada hari pengumuman keputusan SPM 2022.

"Saya geli dengan katak, pada masa sama kasihan sebab ia mati dekat kaki saya. Rasa menyesal tak buka kasut lebih awal sebab masih dapat rasa benda tu berdenyut.

"Ada kesan merah di hujung stoking, saya tak pasti apa. Mungkin kesan darah katak tu, saya tak pasti sebab dah buang stoking tu di sekolah.

"Betapa seksanya katak tu dalam kasut selama satu setengah jam, bila keluarkan dah mati. Sekarang pun saya masih terbayangkan kejadian yang berlaku dan ia menjadi pengajaran buat saya selepas ini lebih berhati-hati untuk periksa kasut dahulu sebelum pakai," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain