suria

14 tan tembikai perlu dihabiskan! Peniaga kena scam terpaksa jual murah... Trafik sesak, pelanggan serbu sampai diarah tutup kedai

Orang ramai berpusu-pusu membeli buah tembikai yang dijual abang Azlin.

"ALHAMDULILLAH, bersyukur sangat kerana ramai yang datang beli."

Demikian ujar Nurul Azlin Mazak meluahkan kesyukuran dan terima kasih kepada orang ramai yang memberi sokongan dengan membeli buah tembikai yang dijual abangnya.

Kuasa viral, beribu-ribu biji buah tembikai yang pada mulanya tidak mendapat sambutan, akhirnya laris terjual seperti 'pisang goreng panas' dalam hanya beberapa jam.

Semuanya selepas Nurul Azlin membuat hebahan di media sosial kerana mahu membantu abang dan ibunya yang berdepan risiko menanggung kerugian sehingga berpuluh ribu ringgit angkara peniaga yang membatalkan tempahan.

"Abang saya ejen tembikai, kira macam orang tengah. Dia beli yang segar daripada pekebun dan ambil order daripada peniaga. Sebenarnya dah deal banyak kali dengan orang (peniaga) yang sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak juruterbang terkejut, nanas tak laku bertukar jadi ‘pisang goreng panas’ - “Makan banyak mana pun lidah tak rasa lidas”

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga bersedekah setiap kali ditimpa ‘ujian hujan’, tak simpan kuih tak habis untuk jual semula esok - “Rugi itu pasti, untung itu rezeki”

"Cuma kali ini, orang yang order tu tak nak bayar walaupun buah dah keluar dari kebun. Jadi terpaksa jual sendirilah untuk bayar kepada pekebun pula.

"Abang saya terpaksa membayar RM16,000 kepada pekebun untuk 14 tan buah tembikai yang sudah diambil. Tak sangka, scammer tembikai pun wujud," dia berkongsi kisah kepada mStar.

Senang disapa sebagai Azlin, wanita ini berkata, pada hari pertama, jualan buah tembikai begitu perlahan dan situasi itu membuatkan ibu serta abangnya susah hati kerana buntu memikirkan cara untuk menampung kos yang sepatutnya dibayar kepada pekebun.

TEMBIKAI 2

Azlin menzahirkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang membantu dengan membeli buah tembikan abangnya.

"Jadi keluarga kami sepakat jual dengan harga murah saja, dan saya bantu membuat hebahan di media sosial.

"Saya buat hebahan pada pagi Selasa (semalam), tak sangka dalam tempoh beberapa jam, ramai yang datang serbu tapak jualan tembikai yang terletak di tepi jalan berhampiran pekan Temerloh.

"Kami jual dengan harga ikut saiz, ada yang empat biji dengan harga hanya RM10.

"Disebabkan terlalu ramai datang, jalan jadi sesak dan pihak majlis perbandaran arahkan untuk tutup. Kami ada permit, namun akur dan faham arahan pihak perbandaran. Mereka hanya menjalankan tugas.

Abang saya terpaksa membayar RM16,000 kepada pekebun untuk 14 tan buah tembikai yang sudah diambil. Tak sangka, scammer tembikai pun wujud.

AZLIN

"Hanya sekitar dua tan yang tak terjual... itu pun kerana rosak dan pecah kerana pelanggan terpijak. Alhamdulillah, hasil jualan walaupun murah-murah, beri pulangan sekitar RM15,000," ujar wanita berusia 38 tahun ini.

Azlin dalam pada itu ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada warga maya yang memberi sokongan dengan membeli buah tembikai mahupun yang sudi berkongsi hebahan di media sosial masing-masing untuk membantu keluarganya.

"Terima kasih sangat kepada yang datang support. Minta maaf tak dapat jawab panggilan dan mesej kerana ramai yang serbu.

KOMEN TEMBIKAI

Rata-rata warga maya turut terkesan dengan keprihatinan orang ramai membantu abang Azlin.

"Dalam masa yang sama, saya mewakili keluarga mohon maaf sangat atas sebarang kesulitan yang berlaku disebabkan ramai yang berpusu-pusu datang," akhirinya.

Terdahulu, Azlin berkongsi video di aplikasi TikTok untuk membuat hebahan mengenai jualan buah tembikai dan memohon sokongan orang ramai.

Video berkenaan menjadi tular dan meraih lebih 520,000 jumlah tontonan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain