suria

Arwah datang dalam mimpi, ubat rindu cucu 4 tahun... Budak lelaki ini tak ‘miss’ ziarah pusara datuk setiap minggu

Fathir sering menziarah pusara datuknya.

LAGAK kanak-kanak ini seperti orang dewasa yang tekun membaca surah Al-Fatihah setiap kali menziarahi pusara.

Bertemankan kubur dan batu nisan, kanak-kanak itu memberi tumpuan penuh setiap kali menziarah pusara datuk kesayangannya itu.

Walaupun masih kecil, dia pandai menunjukkan rasa sayang kepada arwah sehingga video ziarahnya yang dimuat naik ibu saudaranya di TikTok itu mengundang sebak ramai.

Bercakap kepada mStar, ibu saudara kepada kanak-kanak itu, Halimatul Basyirah Saripuddin berkata, anak saudaranya, Muhammad Fathirulkhair Muhammad Khairi atau panggilan manjanya Fathir kini berusia empat tahun.

Lebih dikenali sebagai Ustazah Halimah Mesir, katanya, bapanya, Allahyarham Saripuddin Badri dijemput Ilahi pada 1 September 2021 akibat kencing manis pada usianya 57 tahun.

"Walaupun masih kecil, hubungan Fathir dan atuk sangat rapat kerana mereka tinggal serumah. Jadi, kalau nak ke mana-mana, Fathir akan ikut atuk dan nenek.

"Apabila atuk balik dari kerja, Fathir tetap dilayan bermain meskipun penat," katanya yang berusia 26 tahun kepada mStar.

Hubungan rapat antara datuk dan cucu.

Kata Halimah lagi, anak saudaranya kerap menziarah pusara bapanya di Tanah Perkuburan Islam, Raudhatul Sakinah di Batu Caves, Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: Melepas rindu di pusara! Tak puas 2 kali 'jumpa' atok abah, cucu tak nak tinggalkan kubur selagi tak dapat ziarah kali ketiga

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir setahun nenek 'pergi', cucu kesayangan pula menyusul... Cerita kebaikan arwah undang sebak pasukan urus jenazah

"Dia ikut pergi ziarah sekali seminggu atau dua minggu. Bukan setakat ziarah, tapi dia tolong bersihkan dan cabut rumput kecil di pusara atuknya.

"Fathir selalu tolong siram pusara atuk dan kadang-kadang pusara orang lain pun dia siram. Dia akan turut serta membaca Al-fatihah," ujarnya yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur.

Fathir (kanan) ditemani nenek menziarah pusara atuk.

Bukan sekadar di pusara, Halimah yang kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Syariah Qanun di Universiti Al-Azhar di Kaherah, Mesir turut memberitahu, anak saudaranya meluahkan kerinduan pada arwah di mana saja, pada bila-bila masa.

"Fathir memang petah bercakap dan sangat ceria, dia selalu cakap rindu atuk dan ajak pergi jumpa atuk (ziarah pusara).

Fathir selalu tolong siram pusara atuk dan kadang-kadang pusara orang lain pun dia siram.

USTAZAH HALIMAH MESIR

"Apabila Fathir tengok gambar atuk dia akan cakap rindu. Dan setiap kali nampak frame yang tertulis Allah, Fathir akan cakap atuk dekat Allah.

"Beberapa kali juga Fathir terbangun daripada tidur dan beritahu yang dia mimpikan atuk," katanya sambil menambah arwah mempunyai lima anak dan dua cucu.

Allahyarham Saripuddin Badri (kanan) bersama isteri.

Menurut Halimah lagi, arwah bapanya juga berpewatakan ceria dan penyayang serta rajin bersedekah sehingga dia begitu disenangi ramai.

"Jujurnya, waktu edit video pun saya dah nangis tengok ketulusan seorang ayah yang sangat sayang dan didik cucu dia bukan sekadar di dunia, tapi untuk akhirat sekali.

"Arwah selalu ajar ikut solat berjemaah walaupun Fathir masih kecil. Saya teringatkan arwah sebab sewaktu arwah meninggal dunia, saya tak dapat tatap buat kali terakhir," katanya yang sedang menduduki peperiksaan tahun akhir ijazah sarjana muda di Mesir ketika bapanya meninggal dunia.

Kenangan ketika keluarga bersama arwah.

Namun dia bersyukur kerana Allah menghantar seorang cucu yang hebat, meskipun masih kecil tetapi bijak dan sentiasa mendoakan arwah setiap kali menziarah pusara.

"Betapa Allah menunjukkan nilai kasih sayang manusia sahaja dah besar macam ni, apatah lagi nilai kasih sayang Allah terhadap kita yang lebih besar dan tidak ternilai," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain