suria

Wanita hilang kaki kemalangan ketika ride! Tak mampu jaga ibu strok walau katil bersebelahan - “Dah boleh berjalan, mak tak sempat tengok”

Kemalangan yang berlaku mengakibatkan kaki kanan Juju dipotong.

"KALAU ada rezeki, saya ingin kembali menunggang motosikal berkuasa besar," luah Julaiha Asmuni yang kehilangan kaki kanan selepas terbabit kemalangan di Yong Peng, Johor pada 2018.

Baginya apa yang berlaku adalah qada dan qadar selain memegang prinsip, 'sekali rider selamanya jiwa akan kekal sebagai rider' meskipun pelbagai halangan perlu ditempuhi.

Tambahan pula dia kini sudah dapat menyesuaikan diri dengan kaki palsu yang diperoleh awal tahun ini.

Mengimbau kenangan, wanita berusia 34 tahun ini berkata, dia meminati motosikal berkuasa tinggi sejak usianya sembilan tahun.

"Sejak kecil memang saya minat sebab tengok jiran yang merupakan wanita bujang memiliki motosikal berkuasa besar model Yamaha TZM.

"Setiap hari nampak dia lalu dengan motosikalnya... jadi tertanam dalam diri untuk memiliki motosikal seperti itu juga.

Juju membeli jentera dua rodanya pada usia 24 tahun.

Juju membeli jentera dua rodanya pada usia 24 tahun.

"Sejurus habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya terus mengambil lesen motosikal berkuasa tinggi atau B Full sebab dah target nak beli," ujarnya yang berjaya memiliki Naza Blade 500CC yang diimport dari Korea pada usia 24 tahun.

Harga bukan masalah kerana ketika itu dia sudah menjawat jawatan sebagai Eksekutif Jualan Proton di Bangi, Selangor.

Sejak itu, dia yang mesra disapa Juju banyak menghabiskan masa menunggang kenderaan dua roda yang berharga RM30,000 itu bersama rakan-rakan.

Bermula dengan rakan dari kelab motosikal yang sama, dia akhirnya mempunyai kawan dari pelbagai kumpulan yang dikenali menerusi media sosial.

"Mula kenal geng Naza Blade, tapi tak ride jauh... selepas itu motor campur, kenal dalam kumpulan Facebook.

"Memang banyak geng dan paling jauh saya pernah ride sampai sempadan Thailand di Betong," ceritanya gembira.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis pakai skirt pendek ‘ride’ Yamaha R15 pusing Bukit Bintang bikin ramai bimbang... Rupanya nak hilangkan stres lepas putus cinta!

ARTIKEL BERKAITAN: “Mindset superbike hanya untuk lelaki, salah” - Graduan bidang Kulinari ‘enjoy’ tunggang motor besar, tak hirau pandangan negatif

Boleh dikatakan setiap hujung minggu, dia pasti akan menghabiskan masa bersama rakan-rakan untuk konvoi meskipun dalam kumpulan yang kecil ke kawasan-kawasan terdekat seperti Genting Highland.

Sekiranya tidak ada aktiviti, dia akan menunggang solo ke kampung halamannya di Bentong, Pahang dari rumahnya di Bangi.

Namun tanpa disangka kegembiraannya bersama jentera dua roda berakhir tragedi.

Dia terlibat dalam kemalangan yang meragut kaki kanannya pada 2018 semasa berkonvoi dari Johor ke Terengganu.

Saya merayu supaya doktor selamatkan kaki serta berkali-kali berkata 'jangan potong'.

JULAIHA ASMUNI

"Sebelum kejadian, saya sudah berhenti kerja dan balik kampung untuk jaga arwah mak... kira-kira setahun saya dah tak menunggang sebab kawan-kawan berada di Kuala Lumpur.

"Kebetulan pada waktu itu ada satu program di Terengganu, kawan-kawan ajak saya sertai mereka. Saya pun rasa okay sebab dah lama tak ride jadi masa tu, saya minta kakak untuk tolong jaga mak sekejap pada hujung minggu," imbaunya.

Dia pada awalnya tidur satu malam di Johor kerana akan berkonvoi bersama kumpulan Selatan dari Batu Pahat.

Semasa hari kejadian, anak jati Pahang ini sepatutnya bertemu dengan kumpulannya di check point Petronas Gabang, namun setiba di Yong Peng, dia bertembung dengan sebuah kereta.

Konvoi bersama rakan-rakan permotorannya.

Konvoi bersama rakan-rakan permotorannya.

Akibat kemalangan itu, tulang kaki kanannya hancur teruk.

"Motosikal saya hanya 500CC manakala geng lain 1000CC. Jadi saya tinggal di belakang dan akan berjumpa dengan mereka di check point.

"Entah macam mana, tiba-tiba saya terlibat kemalangan dan orang awam di kawasan sekitar yang datang membantu.

"Disebabkan kecederaan kaki saya sangat teruk, saya dimasukkan ke zon merah dan sebelum ke dewan bedah, saya merayu supaya doktor selamatkan kaki serta berkali-kali berkata 'jangan potong'. Memang tak boleh terima," ujarnya bersyukur kerana kaki dapat diselamatkan.

Keadaan Juju selepas membuat keputusan untuk potong kaki kanannya dua tahun lalu.

Keadaan Juju selepas membuat keputusan untuk potong kaki kanannya dua tahun lalu.

Namun selepas dua tahun, dia masih tidak mampu berjalan malah setiap gerakannya menyebabkan rasa sakit.

"Saya ada banyak temu janji untuk rawatan kaki kanan selain makan ubat. Tapi dalam tempoh tu, kaki saya tidak juga baik sehingga tak boleh bangun kerana ada masalah saraf dan sebagainya.

"Jadi saya rasa fed-up kerana terkurung dalam rumah, nak jaga mak strok yang bed ridden pun tak boleh. Katil kami bersebelahan saja," luahnya sebak.

Bermula dari situ, dia mula menonton video di YouTube bagi mencari semangat sekiranya menggunakan kaki palsu.

Antara reaksi warga maya pada video Juju.

Antara reaksi warga maya pada video Juju.

Selepas yakin dengan keputusan yang bakal dibuat, dia menyuarakan hasrat untuk memotong kaki kanan kepada doktor.

"Doktor pun terkejut sebab saya cakap nak potong dan pakai kaki palsu. Saya nak berdikari dan kembali bekerja.

"Selepas dua tahun potong dan berjaya mendapatkan kaki palsu, saya boleh menggunakan tongkat termasuk memandu. Tapi ada komplikasi sepanjang dua bulan pakai kerana ekzema.

"Sekarang dalam proses rehabilitasi di bawah Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) untuk kembali bekerja," luahnya yang menjalankan kerja freelance dealer kereta.

Keputusan memotong kaki juga membolehkan dia menjaga semula ibu sepenuhnya.

Bagaimanpun, pada 10 Ramadan lalu, ibunya menghembuskan nafas terakhir.

"Saya tak sempat nak tunjukkan pada mak yang saya dah boleh berjalan. Punca saya bangkit dan bersemangat sebab mak saya tapi sayangnya dia tak sempat tengok," luahnya dalam tangis.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain