suria

Katil dah nak roboh, siap letak bata! 4 anak ‘makeover’ bilik mak ayah, perjelas dakwaan simpan duit bawah tilam lama

Ibu bapa Wawa dikejutkan dengan bilik tidur berwajah baharu.

SIAPA yang tidak gembira sekiranya menerima kejutan daripada insan tersayang.

Menerusi satu video yang tular, seorang ibu tidak menyangka bilik tidurnya telah diberikan 'wajah baharu' menerusi satu kejutan daripada anak-anak.

"Mana tilam aku?" pertanyaan yang disuarakan si ibu mengenai tilam lamanya bagaimanapun mengundang tawa netizen.

Bercakap kepada mStar, salah seorang anaknya, Nur Azwa Shahfikah Marzuki berkata, kejutan tersebut dibuat di kediaman ibu bapanya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang di Johor Bahru, Johor.

Wanita berusia 27 tahun itu memberitahu, ia juga hasil perbincangan antara adik-beradiknya selepas menyedari keadaan bilik tidur ibu bapa mereka yang agak uzur.

"Kadang-kadang mak akan request nak sesuatu daripada kami dan kami ada grup WhatsApp dalam kalangan adik-beradik untuk membincangkan barang yang dimintanya.

"Kebiasaannya mak minta barang-barang yang berpatutan dan boleh dibeli kami adik-beradik. Tapi mak tak pernah minta sesuatu untuk bilik tidur dia," katanya ketika dihubungi.

Keadaan bilik sebelum 'makeover'.

Mengulas lanjut, dia yang mesra disapa Wawa berkata, antara yang diberikan perhatian di dalam bilik tidur ibu bapanya adalah katil.

ARTIKEL BERKAITAN: Luar flat dalam kondo! Anak-anak kumpul RM80,000 ubah suai rumah buruk jadi mahligai... 25 tahun terbiar, jiran tumpang buat stor

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah kampung bertukar wajah dalam sebulan, selepas siap tak sangka ramai singgah nak tangkap gambar

"Katil tu mak ayah dah bertahun-tahun guna, malah ia adalah katil lama kepunyaan adik yang sudah tidak digunakan. Memang katil tu dah teruk sebab letak batu-bata untuk tampung kasi kukuh, takut roboh.

"Tilam tu pula ada pepijat, tak elok untuk kegunaan jangka panjang. Tapi mak ayah tak nak beli yang baharu, tak suka membazir," ujarnya yang berasal dari Johor Bahru.

Bilik ibu bapa Wawa kini berwajah baharu.

Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, ibunya, Junaidah Sahari, 47, atau mesra dengan panggilan Mami gemar menyimpan barang-barang yang sudah tidak digunakan.

"Macam-macam barang yang Mami simpan, termasuk slip gaji abah tahun 2005 pun masih ada lagi. Itu belum lagi kotak TV yang besar tu.

Kami tak mampu beli set bilik tidur mewah, tapi ini cara kami untuk membalas jasa ibu bapa dengan memberi lebih keselesaan kepada mereka.

NUR AZWA SHAHFIKAH MARZUKI

"Mak bukan tak nak kemas, tapi dia suka menyimpan. Dia kemas ruang tamu, barang-barang selebihnya diangkut bawa masuk ke dalam bilik tidur sampai penuh.

"Malah, ada banyak barang rare seperti piala kemenangan kami adik-beradik di sekolah yang antaranya dah berusia 15 tahun disimpannya dalam gobok (almari) di bilik," tambahnya.

Wawa bersama adik-beradik membeli beberapa perabot dan mengecat dinding bilik.

Tidak menyangka video 'makeover' itu meraih perhatian ramai sehingga lebih 3 juta tontonan, Wawa yang bekerja sebagai ketua juruwang di Singapura itu tampil menjelaskan berhubung pertanyaan ibunya mengenai tilam lama.

"Banyak barang di dalam bilik kami adik-beradik dah buang termasuk tilam lama. Kami terpaksa buang sebab tilam tu ada pepijat.

"Ramai netizen kata mak sayangkan tilam lama tu sebab dia simpan banyak duit di bawah tu. Jujurnya tak ada langsung pun duit bawah tilam atau katil melainkan batu-bata.

"Mak tanya sebab masa tu dia rasa tilam yang dia duduk ketika kejutan dibuat sangat empuk. Itu yang dia terkejut sebab dia tahu itu bukan tilam lama," katanya sambil menambah ibunya merupakan suri rumah, manakala bapanya yang berusia 53 tahun bekerja sebagai chef bakeri.

Wawa (tudung coklat, duduk tiga dari kanan) bersama keluarga.

Jelas Wawa lagi, penat lelah dia bersama adik-beradik mengubah suai bilik tidur bapanya yang melibatkan belanja kira-kira RM2,000 meliputi kos mengecat dan membeli beberapa perabot baharu seperti katil, almari baju dan meja solek ternyata berbaloi.

"Walaupun kami tak mampu beli set bilik tidur mewah dan mahal macam orang lain, tapi ini cara kami untuk membalas jasa ibu bapa dengan memberi lebih keselesaan kepada mereka," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain