suria

Kereta mewah, poket B40! Ada T20 kedekut bayar parkir, netizen kata nak jimat untuk ‘top-up’ kekayaan

Beberapa kereta mewah yang diletakkan di tepi jalan di kawasan elit popular di Kuala Lumpur.

ADA duit tapi berkira!

Mungkin itu yang dapat digambarkan terhadap sikap segelintir masyarakat T20 yang tinggal di kawasan elit.

Mana tidaknya, ada antara mereka mampu memiliki kereta mewah yang berharga lebih setengah juta ringgit, tapi tetap mahu meletakkan kenderaan di tepi jalan sehingga menyusahkan pengguna yang lalu lalang.

Menerusi satu perkongsian video yang merakam situasi di kawasan elit yang popular di Kuala Lumpur, seorang pemuda menunjukkan beberapa kereta mewah yang dilihat diparkir di tepi jalan.

"Saya langsung tak faham kenapa golongan kayangan semua suka parking dekat tepi jalan?

"Sejam RM2 pun mereka semua nak jimat. Mungkin ini golongan 'kayangan B40'," katanya.

Selain kawasan perumahan, kereta mewah turut dikesan parkir di tepi jalan dekat pusat komersial.

Dalam video berdurasi 15 saat itu, kelihatan beberapa kenderaan mewah seperti Mercedes, BMW, Toyota Vellfire dan Audi diletakkan di tepi jalan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada geng T20 anggap B40 makan oyster mentah di gerai sebagai berangan! Harap tak keracunan makanan

ARTIKEL BERKAITAN: Perodua Axia baik punya parkir di tempat cas kereta elektrik, tak nak mengalah dengan T20 - "Saya datang dulu, saya punya la"

Menerusi satu video berasingan, pemuda itu turut merakamkan beberapa kereta mewah lain yang diletakkan di tepi jalan pada awal pagi.

"Pagi, pagi sudah datang cari parking percuma. Walaupun kereta mahal tapi masih nak jimat," katanya lagi.

Situasi tersebut bukan hanya berlaku di premis komersial, malah berlaku di kawasan perumahan apabila segelintir mereka meletakkan kenderaan di tepi jalan.

"Malam ni 'tangkap' (kesan) tiga Mercedes yang nak jimat parking. Mungkin mereka ada tiga atau empat kereta (satu rumah) tapi tak nak sewa parking dengan jiran," katanya yang merujuk kepada segelintir penghuni di kondominium mewah.

Di ruangan komen, rata-rata netizen memberi pandangan dan reaksi masing-masing berhubung situasi yang sering berlaku di kawasan elit.

Antara komen netizen.

"Duduk rumah kondominium tapi kereta sampai enam hingga lapan buah, memang parking di luarlah.

"Sebab mereka mampu bayar saman parking dan kompaun tunda.

"Kereta sudah mahal, mahu simpan duit. Mahu bayar duit ansuran bulanan kereta.

"Duit kecil tak ada, dalam dompet semua kad bank je," demikian antara komen netizen.

Malah, terdapat netizen yang menyifatkan bukan semua yang tinggal di kawasan elit itu berpendapatan tinggi atau dalam kalangan golongan T20, sebaliknya hanya terikut gaya hidup mewah.

"Biar papa asalkan bergaya.

"Macam inilah mereka jadi kaya!

"Cara ini buat mereka jadi jimat dan jadi golongan kayangan," komen netizen berunsur sindiran.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain