suria

Cemas jam 3.20 pagi! Suami tiada di rumah, kelam kabut ibu selamatkan 4 anak... Tedung ‘usha line’ nak masuk bilik

Ular tedung yang menceroboh kediaman Erra.

"ALHAMDULILLAH... seperti Allah kejutkan dari tidur dan gerakkan hati saya untuk bangun."

Demikian kata wanita ini ketika bercerita mengenai insiden kediamannya yang terletak di Kampung Sri Aman, Puchong, 'dicerobohi' seekor ular tedung, awal pagi Sabtu.

Menurut Erra Izni, ketika kejadian sekitar pukul 3.20 pagi Sabtu itu, hanya dia bersama empat orang anaknya berada di rumah manakala suaminya mempunyai urusan di luar bersama bapa saudara.

"Sebelum itu anak-anak saya main permainan video di dalam bilik mereka. Memandangkan esoknya (Ahad) cuti sekolah, mereka tidur sedikit lewat.

"Sebenarnya saya dah terlelap sekejap tapi tiba-tiba terjaga. Saya pun bangun nak check anak-anak dalam bilik sama ada dah tidur ke belum. Ketika menuju ke bilik mereka yang terletak tepi dapur, mata saya ternampak satu benda bergerak.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelik belut yang dibeli suami, hitam bersisik kepalanya kembang dalam singki! Rupanya ular sedang ratah ayam

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita tergamam tengok darah menitis dari bahagian enjin, rupa-rupanya ada ‘makhluk tumpang’! - “Dalam bilik boleh terhidu bau bangkai”

"Tergamam saya apabila nampak kelibat seekor ular berwarna hitam di antara ruang dapur dan bilik anak-anak. Bilik mereka pula tepi dapur, lebih cuak, pintu bilik terbuka!" kongsinya kepada mStar.

Wanita ini berkata, dia segera mengambil telefon bimbit untuk menghubungi suaminya dan memaklumkan mengenai kejadian tersebut.

"Tapi saya putuskan talian tanpa sempat suami angkat pun... saya terus jerit kepada anak yang berada dalam bilik, supaya tutup pintu bilik mereka dan jangan keluar. Saya beritahu ada ular di luar.

ular 2

Anggota bomba berjaya menangkap ular tedung itu dalam tempoh masa lima minit.

"Saya cepat-cepat capai apa sahaja kain yang sempat untuk tutup kepala dan dalam masa yang sama 'monitor' ular tu. Saya nampak ia bergerak ke ruang dapur dan tak menghala ke bilik.

"Cepat-cepat saya buka pintu sliding depan dan pagar. Selepas itu saya jerit suruh anak-anak keluar... anak yang sedang tidur pun saya kejutkan. Kami lima beranak terus keluar dan tunggu di garaj," ujar wanita berusia 33 tahun ini.

Ujarnya, ketika semuanya sudah berada di luar rumah, dia sempat merakam video ular tersebut menerusi pintu sliding yang dibiarkan terbuka.

Saya lega bila ular berjaya ditangkap tapi sejujurnya masih trauma.

ERRA IZNI

"Ketika itu, suami menelefon kembali dan saya ceritakan apa yang berlaku. Suami terus menghubungi bomba dan sekitar 20 minit kemudian, bomba tiba di rumah.

"Saya beritahu mereka, ular mungkin masih berada di dapur sebab tak nampak ia menuju ke ruang hadapan.

"Lebih kurang lima minit saja, bomba dapat tangkap ular tersebut. Memang pantas... mungkin sebab ular tu hanya merayau sekitar dapur dan ia tidak agresif.

"Bila dapat tangkap dan tengok dekat-dekat, terkejut juga sebab saiznya besar juga. Menurut bomba, ular itu spesies tedung," ujarnya yang merupakan seorang peniaga makanan.

Erra menambah, kejadian tersebut adalah yang pertama kali berlaku sejak dia menghuni rumah tersebut.

ular 3

Ular tedung hitam yang menyelinap masuk di ruang dapur.

"Mungkin ular itu datang dari kawasan parit dan semak yang terletak berhampiran taman perumahan. Musim panas pula sekarang, mungkin ia keluar nak cari tempat perlindungan.

"Saya lega bila ular berjaya ditangkap tapi sejujurnya masih trauma. Nak masuk dapur pun rasa was-was. Selepas kejadian itu, kami sekeluarga 'gotong-royong' kemas bahagian dapur takut pula kalau ada barang banyak, boleh jadi tempat ia bersarang.

"Saya share di TikTok antaranya untuk beri peringatan kepada orang lain agar sentiasa alert dan ambil langkah pencegahan supaya dapat elakkan kejadian seperti ini.

"Akhir sekali, terima kasih tak terhingga kepada pihak bomba yang bertindak pantas, dan jiran yang prihatin dan ada bersama-sama ketika itu," akhirinya.

Untuk rekod, video yang dikongsikannya di TikTok sehingga kini meraih lebih 67,000 jumlah tontonan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain