suria

Masa intern sewa hotel, lepasan UiTM kini selesa duduk kondo! Berbaloi datang KL gadai gelang, boleh beli Myvi guna duit sendiri

Balqis memiliki kereta sendiri dengan membuat simpanan dan berniaga secara kecil-kecilan.

BUKAN kereta mewah yang dikejar, cukup sekadar berusaha untuk mendapatkan sesuatu dengan hasil titik peluh sendiri.

Begitulah prinsip seorang gadis yang berjaya memiliki kereta Myvi menggunakan pendapatan sendiri selepas menamatkan pengajian di universiti.

Mengakui bukan semudah yang disangka, lepasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini terpaksa menggadaikan gelang tangan demi mencari rezeki di Kuala Lumpur (KL).

Kini selepas dua tahun, Nurfateha Balqis Basri mampu tersenyum kerana mempunyai kenderaan sendiri untuk ke mana-mana terutama tempat kerja.

Balqis dapat memiliki kereta sendiri selepas dua tahun mencari rezeki di Kuala Lumpur.

Untuk rekod, mStar sebelum ini pernah membuat liputan mengenai kisah Balqis yang menjadi perhatian ramai gara-gara menginap di sebuah hotel selama enam bulan ketika menjadi pelajar universiti dan menjalani latihan praktikal.

"Habis intern, saya mendapat tawaran kerja di KL. Saya gadai gelang tangan kepunyaan saya untuk bayar deposit bilik sewa dan perbelanjaan lain.

"Saya tak pernah tinggal di KL, jadi kena survive dengan sewa bilik, makan minum dan pergi balik ke tempat kerja naik LRT," katanya yang berasal dari Segamat, Johor.

Menyedari cabaran yang begitu besar hidup di ibu kota, gadis berusia 26 tahun ini menjadi ejen menjual takoyaki sejuk beku sebagai pendapatan sampingan.

Balqis turut memperoleh pendapatan menerusi video mempromosi aksesori kereta.

Mesra disapa Balqis, dia mengakui gaji permulaannya dalam bidang khidmat pelanggan pada 2021 tidak cukup untuk menampung segala kos meskipun menyewa bilik di pangsapuri.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar intern tinggal di hotel 6 bulan, kelakar pula dikata ada sugar daddy - "Saya jual apa yang boleh, mudah"

ARTIKEL BERKAITAN: Geng pelajar 'otak bisnes' ulang kejayaan zaman matrikulasi, masuk UiTM terus raih jualan RM130,000... baju dijual laku keras

"Susahnya hidup masa tu terutama lima bulan pertama. Tapi Alhamdulillah, jualan takoyaki frozen laku keras. Seminggu saya boleh dapat untung bersih kira-kira RM200.

"Lama-kelamaan kedudukan kewangan saya semakin stabil dan saya dapat menyimpan sekurang-kurangnya RM500 sebulan," ujarnya yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Pengurusan Rekod dan menghadiri majlis konvokesyen di UiTM di Shah Alam, pada Disember lalu.

Ibu bapa merupakan idola Balqis.

Dengan hasil simpanan itu juga, anak kedua daripada enam beradik ini dapat membeli kereta Myvi bagi memudahkan pergerakannya di Kuala Lumpur dan pulang ke kampung.

Siapa sangka, minat membuat video reviu aksesori kereta sendiri di TikTok membuka satu lagi pintu rezekinya.

Dulu saya intern nak dapat segenggam ijazah. Sekarang nak balas jasa ibu bapa.

NURFATEHA BALQIS BASRI

"Saya sekadar suka-suka buat video aksesori kereta yang saya beli untuk kereta sendiri. Buat kenangan sebab saya dapat beli kereta tu dengan usaha sendiri.

"Alhamdulillah, ada pihak yang tertarik dengan video tu dan menawarkan saya peluang untuk mempromosikan aksesori kereta yang dijual mereka," katanya yang sebelum ini menjual choco jar bagi menampung perbelanjaan sepanjang menjalani latihan praktikal termasuk caj penginapan di hotel selama enam bulan.

Balqis mengimpikan untuk mengusahakan bisnes restoran sendiri.

Selepas dua tahun juga, Balqis kini dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dengan menyewa bersama tiga rakan serumah di sebuah kondominimum di Kuala Lumpur.

"Dari dulu, saya tak nak menyusahkan mak ayah saya. Tapi mereka menjadi idola saya untuk berusaha keras dengan berniaga. Alhamdulillah, sudah tiga bulan berpindah di rumah baharu.

"Ada tempat parking kereta sendiri, rumah lebih selesa dengan kemudahan gim dan kolam renang," katanya yang bakal memulakan kerja di tempat baharu dalam bidang khidmat pelanggan pada bulan depan.

Mengimpikan untuk mengusahakan bisnes restoran sendiri, Balqis berusaha keras demi membalas jasa ibu bapanya dan mengejar cita-cita.

"Dulu saya intern nak dapat segenggam ijazah. Sekarang nak balas jasa ibu bapa pula, yang mana saya mahu menyenangkan mereka dengan saya usahakan sendiri.

"Tinggal di kondo bukan macam duduk di hotel. Apa yang penting adalah usaha sendiri. Ibu berpesan, jangan berkira dengan duit kerana usaha tidak akan mengkhianati setiap hasil kerja keras kita," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain