suria

Rezeki jumpa orang baik hati, siap bagi ‘rasmi’ helmet baharu! Mat motor sanggup ride jauh hantar pakcik tak dikenali balik rumah

Lelaki ini membantu seorang lelaki lanjut usia yang keseorangan di tepi jalan.

BERBUAT baik tidak akan membawa kepada kerugian.

Itulah apa yang sering dipraktikkan lelaki ini apabila dia ringan tulang dan bermurah hati membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan.

Dikenali sebagai Andy Pikachu di TikTok, dia yang sememangnya sinonim dengan sifatnya yang dermawan baru-baru ini tular kerana menolong seorang lelaki lanjut usia di sebuah perhentian bas.

Andy cuba mendekati seorang lelaki lanjut usia di stesen bas.

Menurut Andy, dia ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah apabila melihat seorang pakcik hanya duduk berseorangan di pondok berkenaan.

"Kebetulan saya baru siap masak nasi ayam, on the way nak balik rumah nampak pakcik ni dekat bus stop. Hujung minggu dekat sini teksi memang kurang.

"Itu yang patah balik tanya pakcik ni nak balik mana," kata Andy yang sering dilihat dalam videonya memakai topi keledar menyerupai karakter kartun Pikachu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sebak baca nota tulisan ibu, tak marah keputusan SPM anak kurang baik... Pesan minta sambung belajar, hati-hati merantau di KL

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan suami isteri tumpang meja pelanggan lain ‘layan’ nasi campur, sudahnya dapat makan free! Jumpa orang baik pun satu rezeki

Selepas bertanya barulah dia tahu pakcik berkenaan mahu pulang dari hospital selepas selesai menemani isterinya di wad dan sudah menunggu berjam-jam lamanya untuk pengangkutan awam tiba.

"Pakcik tu kata nak balik ke rumah di Kerayong, Bera, Pahang. Dari 7.30 pagi pakcik tu tunggu dekat bus stop. Tapi tak ada satu pun teksi yang lalu. Sekarang saya tengok jam dah pukul 9 lebih, sedihnya.

"Pakcik tu cakap dia dari hospital, jaga orang rumah (isteri) dekat wad. Tapi hari ni pakcik nak balik sebab anak datang ganti jaga dekat hospital.

Terima kasih pakcik tak putus-putus doakan saya dan keluarga. Semoga pakcik selamat sampai rumah pakcik.

ANDY

"Alhamdulillah pakcik masih tunggu dekat sini. Rezeki saya nak hantar pakcik ni balik," cerita Andy yang menetap di Temerloh, Pahang.

Mementingkan faktor keselamatan, Andy pulang dulu ke rumahnya dan kembali membawa bersama topi keledar tambahan untuk digunakan lelaki tersebut.

"Disebabkan jauh nak hantar pakcik ni balik, saya balik rumah dulu ambil helmet untuk keselamatan saya dan pakcik.

Andy menawarkan bantuan untuk menghantar pakcik ini pulang ke rumahnya.

"Kali ni tak risau sebab dah beli helmet spare dekat motosikal. Kebetulan helmet ni baru sampai semalam, jadi pakcik orang pertama yang pakai.

"Bismillah semoga perjalanan kami selamat sampai ke Kerayong," kata Andy sambil lelaki itu dilihat membonceng di belakangnya.

Sebelum memulakan perjalanan, Andy sempat disapa oleh seorang lelaki berbaju hijau yang mengaku mengenali dirinya.

Perbualan Andy dengan seorang pakcik yang pernah mengenalinya.

"Tak sangka pakcik baju hijau ni masih ingat saya. Dulu pernah bantu dia masa kereta rosak. Saya pun dah lupa tapi pakcik ni masih ingat," kata Andy teruja.

Tiba di Kerayong, lelaki itu meminta dia diturunkan di simpang masuk sahaja kerana kediamannya terletak jauh di pedalaman.

"Alhamdulillah selamat sampai. Pakcik cakap hantar sampai sini je sebab rumah dia jauh lagi masuk ke dalam kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

"Kejap lagi anak pakcik lalu sini, balik dari hantar buah sawit. Nanti boleh tumpang anak sampai rumah. Saya sempat ajak pakcik minum kopi sambil borak-borak.

Andy mengajak pakcik itu untuk meluangkan masa sebentar di sebuah restoran.

"Terima kasih pakcik tak putus-putus doakan saya dan keluarga. Semoga pakcik selamat sampai rumah pakcik," ujar Andy menutup perkongsian.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya memuji keperibadian Andy yang sangat ringan tulang untuk membantu.

"Semoga setiap perjalanan awak malaikat tolong jagakan. Hatinya baik, rupa pun kacak.

"Macam member dah dengan pakcik tu. Seronok tengok orang muda yang senang mesra dengan orang-orang tua ni.

"Moga Allah luaskan lagi rezeki dan permudahkan semuanya untuk kamu," ujar sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain