suria

Dugaan bertukar rezeki! ‘Makcik amazing’ ajak 3 siswi balik rumah, beri layanan ‘tip top’ macam program anak angkat

Tiga sahabat itu bertemu seorang warga emas yang baik hati ketika mereka singgah ke masjid.

PERTEMUAN yang tak disangka-sangka.

Begitulah kisah tiga penuntut bidang Kejuruteraan Awam dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang bertemu dengan seorang wanita warga emas di sebuah masjid baru-baru ini.

Bercerita kepada mStar, Nur Farahim Che Rahim, 23, berkata dia dan rakan-rakannya singgah ke sebuah masjid gara-gara kereta yang dinaiki mengalami sedikit masalah sebelum bertemu dengan wanita itu yang melayan mereka seperti ahli keluarga sendiri.

farahim2

Tiga penuntut UMP ini bersyukur dipertemukan dengan warga emas berkenaan.

"Sebenarnya kejadian itu berlaku pada 23 Mei, tapi saya baru kongsi video pada 19 Jun. Pada waktu itu, rumah sewa kami tiada elektrik. Cuaca pula agak panas, jadi saya bersama dua rakan iaitu Anis Nabihah dan Hanif Sofia keluar untuk makan roti canai.

"Kedai di kawasan Gambang itu buka pukul 3 pagi. Selepas makan, lampu kereta kawan saya tak menyala. Jadi kami buat keputusan untuk pergi ke masjid berdekatan. Masa tu dalam pukul 5 pagi. Bilal masjid je yang ada, imam belum sampai. Jadi kami pun duduk di situ tunggu solat Subuh.

"Sewaktu nak solat, makcik-makcik di masjid tegur kami. Selepas solat berjemaah, kami baca Yassin pula sampai 7 pagi. Kami memang niat nak tunggu cerah sebab lampu kereta tak menyala. Tiba-tiba makcik Saripah atau Cik Pah tu ajak kami balik ke rumahnya," ujar Farahim.

Makcik tu adalah ibu yang amazing. Dia boleh layan stranger dengan baik.

NUR FARAHIM CHE RAHIM

Mengimbas pertemuan spontan itu, Farahim berkata dia dan rakan-rakannya segan untuk menerima pelawaan berkenaan, namun akhirnya akur dengan permintaan wanita itu yang melayan mereka dengan mesra.

Setibanya di rumah wanita itu, mereka bukan sahaja dijamu dengan sarapan, malah turut dibantu untuk menghantar kereta ke sebuah bengkel berdekatan.

"Selepas bacaan Yassin, makcik tanya kami tak ada kelas ke? Kami cakap tak ada. Terus dia ajak balik rumah. Kami menolak sebab segan. Lepas tu dia ajak lagi, jadi kami pun ikutlah dia ke rumah. Dia umur dalam 60-an, duduk dengan anak menantu, suami pula dah meninggal.

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki penunggu masjid! Seorang jemaah sanggup berbuka makan nasi dan kuah, jamu semua lauk kepada kucing - “Dia minta simpati, tak ada yang layan”

ARTIKEL BERKAITAN: Tangan, kaki terlipat ke belakang... ramai sebak tengok OKU berguling ke masjid - “Di akhirat nanti berlari selaju kilat”

"Makcik tu ada jual kuih frozen, jadi dia goreng untuk kami. Masa makan tu, kami cerita hal sebenar yang kami singgah masjid sebab lampu kereta tak hidup. Lepas tu, menantunya yang dikenali sebagai Kak Nani bawa kami ke pasar pagi. Kemudian dia bawa ke bengkel kereta.

"Mujurlah tukar fius yang terbakar saja, sekejap je baiki. Kemudian kami balik semula ke rumah makcik. Masa tu pukul 10 pagi. Dia ajak makan sekali lagi. Sementara nak tunggu waktu makan tengah hari, kami belajar bungkus ketupat dengan makcik. Kami juga tolong dia memasak.

"Memang rezeki kami dapat rasa gulai ayam, ikan goreng, budu, petai dan macam-macam lagi. Akhirnya pukul 4 petang baru kami balik rumah sewa. Sebelum balik, makcik minta kami pilih tudung, dia jual tudung juga. Dia bagi percuma kepada kami," imbasnya lagi.

farahim3

Mereka dijamu dengan sarapan di rumah wanita itu selepas menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid.

Menurut Farahim lagi, dia sama sekali tidak menyangka video pertemuan mereka bersama warga emas itu akan meraih perhatian ramai sehingga menerima lebih setengah juta tontonan di aplikasi TikTok.

"Walaupun kejadian bulan lepas, saya baru ada masa untuk kongsi ke TikTok. Saja kongsi video untuk buat kenangan, tak sangka jadi perhatian ramai. Mula-mula, saya risau orang fikir kami menyusahkan makcik tu. Tapi Alhamdulillah semua komen positif.

"Ramai yang puji kebaikan makcik tu. Saya dan rakan-rakan saya pun berterima kasih atas kebaikan makcik dan keluarganya. Makcik tu adalah ibu yang amazing (menakjubkan). Dia boleh layan stranger (orang asing) dengan baik. Kami rancang untuk melawat dia tak lama lagi," ujar Farahim.

farahim4

Selain dijamu makanan, mereka juga berpeluang menganyam ketupat di rumah warga emas itu.

Video berkenaan turut dihujani lebih 2,000 komen netizen dan rata-ratanya menganggap tiga siswi itu sebagai insan bertuah kerana dipertemukan dengan warga emas itu.

"Seronoknya macam program anak angkat yang budak universiti masuk kampung-kampung tu.

"Macam tu je Allah temukan kita dengan orang baik. Punca lampu kereta je. Indahnya pertemuan yang Allah susun untuk kita.

"Dari blackout, terus jadi kenangan yang terindah. Jaga ukhuwah dengan makcik tu," tulis beberapa netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain