suria

Komen negatif di TikTok jadi asbab perkenalan dengan Sifu Lentik! Abang sado kagum arwah tak sombong, boleh terima teguran

Ilham (kanan) memuji sikap positif arwah Sifu Lentik.

SIAPA sangka bermula daripada komen berbaur negatif di laman sosial, dua TikToker berbaik sebelum salah seorang daripadanya dijemput Ilahi.

Begitulah permulaan hubungan baik seorang jejaka berbadan sado dengan usahawan dan personaliti media sosial yang lebih dikenali sebagai Sifu Lentik.

Menerusi perkongsian story di TikTok yang turut memaparkan tangkap layar komen tersebut, Muhammad Nurilham Mohd Razali meluahkan kesyukuran dan memuji penampilan arwah Situ Lentik pada penghujung hayatnya.

"Alhamdulillah, semoga arwah Situ Lentik ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah," tulisnya mengenai Sifu Lentik atau Allahyarham Muhammad Irfan Abdullah.

Menerusi perkongsian story di TikTok, Ilham mendoakan arwah.

Muhammad Nurilham berkata, dia hanya mengenali arwah begitu singkat susulan salah satu video yang dimuat naiknya di TikTok, awal tahun ini, menerima komen berbaur negatif menyentuh tentang fizikalnya yang berbadan sado.

Namun pemuda berusia 27 tahun itu kagum dengan kesediaan arwah menerima teguran dengan hati yang terbuka.

"Saya pun manusia biasa, masing-masing tak sempurna. Yang buruk kita tolak tepi, yang baik kita ambil.

"Saya dengan arwah hanya kenal secara singkat di TikTok sebelum dia meninggal dunia, tapi nampak perubahan dia ke arah lebih baik. Alhamdulillah," katanya ketika dihubungi mStar.

Arwah disifatkan seorang yang bersikap positif.

Selain bersikap positif terhadap teguran, dia yang mesra disapa Ilham berkata, arwah juga mempunyai keperibadian yang disenangi ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Pendedahan wajah terakhir Sifu Lentik raih 2 juta tontonan! Ramai puji perubahan arwah sebelum dijemput Ilahi

ARTIKEL BERKAITAN: TikToker Sifu Lentik meninggal dunia, pengikut setia luah rasa tak percaya - "Patutlah dah lama tak nampak dia live"

"Arwah seorang yang tak sombong, orangnya peramah. Kerana sikap positif itu, dia berubah demi kebaikannya.

"Begitu juga dengan saya, walaupun terima komen negatif daripada orang lain, saya menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk meneruskan minat dalam bidang kecergasan," ujarnya yang berasal dari Kuantan, Pahang.

Ilham (dua, kiri) ketika menyerai Mr Pahang 2022.

Berpengalaman dalam bidang kecergasan selama lebih 12 tahun, Ilham rajin bersenam di gim demi kesihatan dan mempunyai penampilan yang menarik.

Malah, dia yang berkhidmat sebagai polis ini juga pernah menyertai lebih 10 pertandingan badan cantik dan bina badan seawal usianya 16 tahun.

Yang buruk kita tolak tepi, yang baik kita ambil.

MUHAMMAD NURILHAM MOHD RAZALI

Ilham pernah menjuarai pertandingan Mr Pahang 2022 dan mengungguli Top 5 dalam Mr Malaysia 2022.

"Dulu saya merupakan jurulatih kecergasan sepenuh masa dan kini menumpukan sepenuhnya kepada kerjaya sebagai anggota polis," katanya yang bersenam di gim lima kali seminggu.

Ilham mengungguli Top 5 Mr Malaysia 2022. -Gambar TegavTV.com

Seperti arwah Sifu Lentik, bapa kepada tiga cahaya mata ini juga sedia menerima teguran dan kritikan.

"Ada je orang kata saya badan je sado, tapi tak ada rupa. Kalau orang cakap yang negatif pasal kita, buat tak tahu je dan bersyukur selalu.

"Hanya fokus pada diri sendiri dan berusaha apa yang kita nak, seperti saya mahu badan yang sihat. Jangan cari pasal dengan orang dan yang paling penting kita tidak menyusahkan orang lain," katanya lagi.

Untuk rekod, berita pemergian Sifu Lentik tersebar selepas rakan TikToker seperti Haqiem Stopa serta Aizat Abdul Razak membuat pengumuman duka menerusi media sosial pada Rabu malam.

Ramai sayu dengan pemergian Allahyarham Muhammad Irfan Abdullah.

Hebahan tentang khabar duka di Instagram itu turut dihujani ucapan takziah daripada selebriti seperti Zoey Rahman, Datuk Seri Vida, Zarina Zainuddin, Roslan Shah dan Hatta Dolmat.

Malah netizen turut meluahkan rasa tidak percaya dengan pemergian itu memandangkan arwah kerap membuat siaran langsung di aplikasi TikTok sebelum ini.

Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah dan semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain