suria

Bapa buat persiapan tinggalkan keluarga! Beri nombor pin bank, renew khairat kematian - “Kamu tak perlu keluar 5 sen pun”

Arwah mendedahkan segala maklumat penting sebelum dia meninggal dunia bagi memudahkan urusan anak-anak.

KISAH seorang bapa yang berusaha untuk memudahkan urusan anak-anaknya sehingga ke nafas terakhir meraih perhatian ramai di media sosial.

Menerusi video tular, terpapar tangkap layar mesej Mohd Hanafie Salim, 60, yang membuat 'persiapan awal' sebelum dia menghembuskan nafas terakhir pada 14 Jun lalu.

Si bapa bukan sahaja menyelesaikan bayaran khairiat kematian untuk dirinya, malah dia turut berkongsi kata kunci akaun bank serta nombor telefon majikan kepada salah seorang anaknya.

kematian2

Antara mesej yang pernah dihantar oleh arwah kepada Esya.

"Ayah dah renew khairiat kematian ayah dan ibu. Kalau ayah mati kamu tak perlu keluar lima sen pun. Duit tahlil tiga hari untuk ayah pun dah siapkan," tulis arwah kepada salah seorang anakya yang dikenali sebagai Esya.

Menurut Esya, 24, arwah bapanya yang menghidap sakit jantung dan paru-paru berair sering bercakap soal mati, seolah-olah tahu masanya sudah tidak panjang di dunia ini.

"Dia pernah mesej cakap dia dah nak mati pada tahun 2020. Dia memang selalu cakap yang dia rasa tak lama dah. Tapi kita anak-anak tak layan, sebab tak nak pun benda tu berlaku.

Kalau mak ayah kita dah tua dan kalau mereka tak maklumkan pada kita maklumat-maklumat penting tu semua, kita sebagai anak pun boleh ambil langkah untuk tanya dulu.

ESYA MOHD HANAFIE

"Apa-apa urusan, ayah selalu dengan saya. Sebab hanya saya dan adik menetap dengannya. Apa-apa info dia akan bagi kepada saya, termasuklah dia bagi password bank dan nombor telefon majikan sebelum dia meninggal.

"Khairiat kematian juga ayah dah buat awal-awal, dia selesaikan terus untuk dia dan ibu. Jadi apabila ayah meninggal, urusan kami anak-anak jadi mudah. Dia meninggal sesak nafas sebelum Subuh, Alhamdulillah menjelang tengah hari semua dah selesai," ujarnya kepada mStar.

Menurut Esya yang menetap di Taman Putera Perdana, Dengkil, Selangor, dia melihat usaha arwah bapanya itu sebagai satu tindakan yang wajar bagi memudahkan urusan keluarga sekiranya berlaku kematian.

ARTIKEL BERKAITAN: Freestyler bola terkilan hajat bapa tak kesampaian, meninggal selepas hantar mesej ‘nak tengok show’ - “Tak terfikir nak ajak ayah”

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sempat tatap wajah anak, bapa minta tengok lokasi kemalangan... Hasrat arwah mahu rawat mata ayah akhirnya tercapai!

Malah, Esya berkata golongan anak-anak juga perlu cakna akan maklumat-maklumat penting bagi mengelakkan sebarang kesulitan apabila ibu bapa meninggal dunia suatu masa nanti.

"Saya sebenarnya berkongsi kisah tentang ayah di aplikasi TikTok untuk simpan sebagai kenangan saja. Tapi pada masa yang sama, nak bagi orang tengok juga, apa yang perlu kita sediakan untuk masa akan datang.

"Kalau mak ayah kita dah tua dan kalau mereka tak maklumkan pada kita maklumat-maklumat penting tu semua, kita sebagai anak pun boleh ambil langkah untuk tanya dulu. Sekurang-kurangnya kita boleh bersedia, mudah urusan keluarga," ujar anak keempat daripada lima beradik itu.

kemaitan43

Arwah bapa Esya meninggal dunia pada 14 Jun.

Dalam pada itu, video yang dikongsi Esya meraih hampir setengah juta tontonan di aplikasi TikTok dan turut dihujani komen netizen yang menitipkan ucapan takziah serta memuji persiapan awal yang dibuat arwah.

"Dia sungguh bersedia. Inilah contoh bapa yang baik.

"Salam takziah. Arwah permudahkan segala urusan anak-anak," tulis beberapa netizen.

arwah1

Perkongsian Esya tentang kematian bapanya raih perhatian netizen di TikTok.

Menurut Esya, dia turut mengalirkan air mata membaca komen netizen dan akan terus mengenang segala kenangan bersama arwah sepanjang hayatnya.

"Saya baca semua komen sampai meleleh habis. Terima kasih yang mendoakan arwah ayah. Paling diingati tentunya sikap ayah yang suka bergurau dan buat lawak.

"Kalau kita tengah situasi serius, dia akan buat lucu. Dia nak semua keluarga ada untuk borak-borak cerita lawak," ujar Esya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain