suria

Nasyid mendayu-dayu tak ‘jalan’, papa sado tukar rentak rock dodoi anak tidur... Rupanya gelisah rancangan nak pergi ‘ride’ terbantut!

Video Bell ketika dia berusaha mendirukan anaknya tular di media sosial.

VIDEO seorang bapa yang menyanyikan lagu nasyid berjudul Rasulullah dendangan asal kumpulan Hijjaz ketika mendodoikan anaknya tular di media sosial.

Pada awalnya dia menyanyikan lagu itu dalam nada biasa sebelum mengubah suaranya seperti seorang penyanyi rock kerana gagal menidurkan anak bongsunya itu.

"Anak pun confuse. Bapa aku ni ustaz ke rockers?

"Berdekah akak gelak. Nasib tak bertukar jadi Hulk abahnya.

"Ganas tapi dalam iman," tulis beberapa netizen berseloroh.

Bercakap kepada mStar, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikenali sebagai Bell Deto, 33, itu mengakui ia merupakan senario biasa yang sering terjadi dalam rumahnya.

Selepas kahwin, anak-anak jadi keutamaan kerana mereka merupakan amanah dan anugerah Allah.

BELL DETO

"Isteri yang rakam video tu sebenarnya. Saya memang dah terbiasa menyanyi dan berzikir ketika mendodoikan anak. Kebetulan hari tu, mood tak berapa baik. Sepatutnya saya nak pergi ride, tapi isteri minta tidurkan anak nombor dua dahulu.

"Anak saya meragam tak nak tidur. Saya nasyid tak jalan, mengaji tak jalan, itu yang bertukar suara jadi lagu rock. Tapi sampai sudah dia tak tidur. Akhirnya, saya pun tak pergi ride. Puncanya anak tak tidur," ujarnya berseloroh.

Senang disapa Bell, dia yang menetap di Puncak Alam, Selangor sama sekali tidak menyangka video tersebut akan meraih lebih setengah juta tontonan di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Fuh! Duda sado bikin panas berniaga durian tayang badan - “Saya bukan jual maruah, masih pakai seluar”

ARTIKEL BERKAITAN: Abang bomba sado belanja biceps terkejut tiba-tiba jadi ‘famous’, netizen jumpa akaun IG... Rupanya bertugas di balai Puchong je!

Tambah bapa kepada dua cahaya mata lelaki itu, dia turut terhibur membaca komen netizen dan berharap kaum bapa terus bersemangat untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

"Dunia sekarang mencabar. Kita tak tahu kat taska macam mana, apabila kita kena jaga sendiri baru tahu ragam budak. Tapi Alhamdulillah semua komen netizen positif, tiada kecaman.

"Sejujurnya memang berbeza hidup ketika bujang dan berkahwin. Selepas kahwin, anak-anak jadi keutamaan kerana mereka merupakan amanah dan anugerah Allah. Jadi kita kena dahulukan anak.

bell2

Bell bersama anak bongsunya.

"Hobi dan minat jatuh nombor dua atau nombor tiga. Paling penting, kita jangan harapkan isteri semata-mata. Jangan ambil sikap lepas tangan, sebaliknya kena bantu isteri," pesannya lagi.

Mengenai dua putera kesayangannya, Bell berkata kedua-dua mereka diberi nama klasik yang ringkas sahaja iaitu Ali dan Abu.

"Isteri saya merupakan seorang guru. Dia mengadu susah nak tulis nama anak murid sekarang. Jadi kami bersetuju letak nama anak Ali (abang) dan Abu (adik). Tak nak susahkan orang," ujarnya.

bell 3

Bell juga aktif dalam bidang bina badan.

Bercerita tentang dirinya, Bell yang berasal dari Terengganu berkata dia juga aktif dalam bidang kecergasan dan pernah bergelar sebagai atlet bina badan.

Namun, dia berhenti daripada menyertai sebarang pertandingan bina badan pada tahun 2019 untuk memberi fokus terhadap dua anaknya yang berusia tiga tahun dan setahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain